Pearls in the sand

Pearls in the sand

Wednesday 17 December 2008

Menyelami makna pengorbanan

Hari Raya Aidil Adha sudah seminggu berlalu, selalu sangat aku terlewat menghitung bicara namun kupanjatkan syukur, kerana masih diberi izin olehNya untuk mengetuk kekunci laptop dan merakam sesuatu buat tatapan semua.
Selalunya waktu-waktu beginilah aku melapangkan sedikit masa, menghitung setiap detik yang berlalu, menghisab setiap langkah, dan dengan belas ihsanNya, mampu memperbaiki apa yang cacat, mewujudkan apa yang tiada, menambah apa yang kurang dan tentu sekali melempar jauh apa yang keji.
Aku teringat wajah-wajah yang terlalu sinonim dengan makna pengorbanan. Tanpa perlu menunggu bulan pengorbanan tiba, mereka sentiasa melakukan pengorbanan tanpa perlu diminta, tanpa kadang-kadang mahu diterima. Keringatnya, kasih sayangnya, airmatanya sekalipun....semuanya mengiringi pengorbanan yang dilakukannya untuk orang-orang yang dikasihinya. Selalu sangat aku rasa tersentuh bila teringat wajah-wajah itu, dan aku tahu setiap kali musim raya (yang secara tak langsung membawa harapan untuk berkumpul bersama-sama) airmatanya akan tumpah lagi.
Duhai...sianak yang sanggup berkorban wang ringgit menumbangkan lembu (untuk menyelami makna pengorbanan pastinya) tidak pula redha mengorbankan masa mendail nombor mananya khabar siibu.
Duhai...siisteri yang sanggup mengorbankan wang gajinya untuk dihulur kepada orangtua, selalu benar terlupa mengorbankan penat menghulur senyum kepada sisuami.
Duhai...sisuami yang sanggup mengenepikan wang simpanannya untuk bersedekah, tidak terdaya mengorbankan keegoannya memohon maaf atas kesilapannya kepada siisteri.
Dan duhai...duhai.....betapa ramai hamba Allah yang terleka dari menghisab diri yang sudah terlalu alpa...
Ramai antara kita yang sentiasa sibuk berterima kasih dengan oranglain sedang kita lupa kepada siapa yang perlu kita halakan keikhlasan itu terlebih dahulu. Ramai juga yang mampu berkorban untuk banyak perkara, namun terlalai dari memahami makna pengorbanan itu sendiri.
Mungkin kita perlu memahami peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakanda baginda, Nabi Ismail AS dari setiap sudut dan menghalusinya agar makna pengorbanan yang sebenarnya tidak hanya terhenti dengan amalan mengorbankan lembu, kambing atau unta setahun sekali itu. Sesungguhnya ia lebih dan lebih dari itu.....
Dan dalam waktu-waktu begini, ketika menanti kepulangan lelaki yang kucintai itu dari masjid, aku terasa sayu mengenangkan makna pengorbanan yang telah diadaptasinya ke dalam kehidupan kami sekeluarga. Mudah-mudahan ingatan itu akan sentiasa menyuntik semangatku, walau dengan sekurang-kurangnya mengikhlaskan diri menunggunya di muka pintu dengan senyuman....

Saturday 11 October 2008

Bingkisan syawal

Ramadhan sudah berlalu dengan seribu satu kisah ibadat yang diikhlaskan atau hanya suatu adat yang mesti disempurnakan oleh umatnya. Kuakhiri Ramadhan dengan suatu suara yang jauh berbisik di hati....entah adakah bulan rahmat ini di tahun hadapan, entah adakah lagi usia untuk kupahatkan amalan yang bersandar pada keikhlasan....
Syawal seperti biasa amat dinantikan. Inilah masa untuk bertemu sanak-saudara, rakan-taulan, berkumpul bersama dan memuhibbahkan amalan bermaafan setahun sekali itu. Aku melihat rahmatNya untuk sekian kali. Secara ikhlas, aku mampu menzahirkan kasih yang tak pernah terucap pada bonda dan ninda, dan untuk sekian kalinya juga aku dapat merasai kepahitan tanpa seorang insan yang telah banyak mendidikku dan menjadikan aku seperti aku di hari ini, tapi tak mampu jua aku melahirkan kesyukuran yang melimpah ruah atas kehadiran seorang hamba Allah yang merangkak dlam perjalanan mengenali kewujudan yang Esa, dan kini mampu tersenyum dengan sekulumit iman yang paling manis.
Setelah bertahun juga, aku akhirnya dengan izin dan rahmat Allah, membuka ruang untuk ahli keluargaku membuka semula lembaran kekeluargaan dan memujuk rajuk bonda saudaraku yang sudah sekian lama tidak membuka pintu hati dan sekaligus rumahnya untuk kami. Peluk rindu dan tawa bahagia bergaung semula di segenap ruang. Duhai rahmat syawal, betapa manisnya nikmat kasih sayang yang dicampakkanNya ke hati hamba-hamba yang lemah ini, lebih manis dari kuih wajik yang dijamah puas olehku di rumahnya.
Dan hari ini, setelah lebih seminggu syawal menegur umat Islam, aku menyedari satu hakikat. Masjid yang dulunya meriah dengan ahli qariahnya sewaktu ramadhan, kini lesu dengan wajah-wajah tua yang masih setia meghidupkan amalan berjemaah. Amalan beribadat sebulan sekali dalam setahun tinggal jadi lagenda untuk dimenungkan oleh atuk-atuk yang bersadai di kaki lima masjid. Namun dalam sedih melihat hakikat yang mesti ditelan ini, aku meraih senyum kesyukuran....nun di antara nafas-nafas yang sudah senja itu, kulihat seorang lelaki gagah di kelompok jemaah, masih setia mencari redhaNya, masih kental dengan iman yang ingin diteguk. Sayup-sayup ada sekulumit doa untuk lelaki itu, cinta Allah untukmu, redhaNya padamu...kau kan bisa mencari jalannya...suatu hari nanti suamiku......

Sunday 5 October 2008

Siapalah Aku Tuhanku

siapalah aku Tuhanku
yang Kau dengarkan bisik hatinya
siapalah aku
akan Kau toleh dengan rahmatMu
siapalah aku
untuk Kau kasihani dengan ikhsanMu

dosa kian membakar langkah hidup
noda terus menghidu hembusan nadi

siapalah aku
duhai Tuhan
untuk kuhampar sebuah taubat
menuntut redha
menagih keampunan

sedang dosa kian menghirup usia
sedang noda terus membakar masa

siapalah aku
duhai.....
siapalah aku Tuhanku,
memeluk tiang kasihMu
menyelam kolam redhaMu

andai noktah penghujung ampunMu
andai talkin penamat ikhsanMu
kuredha segalanya Tuhanku
kurenangi jua lautan dugaanMu...

-Neeza, 4 Sept 2008