Pearls in the sand

Pearls in the sand

Wednesday 11 October 2017

Kita suka menjadikan orang yang berjaya, kaya dan cantik sebagai idola. Kita cenderung meniru semangat juang mereka, susah payah mereka dan kekentalan jiwa mereka. Kita mahu meneladani sejarah mereka dari biasa kepada superpower.
Mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama kepada para Nabi yang telah menunjuk secara percuma jalan menuju kepada Tuhan. Mengapa kita memandang contoh tauladan para sahabat Nabi dengan sebelah mata? Apa yang menghalang kita dari melakukan taat dan tunduk kepada suruhan Tuhan?
Sedangkan harta tidak dibawa, pangkat dan kebesaran akan ditinggalkan, cantik dan glamour tidak berkekalan, hanya dibalut kain kapan dan berseorangan.
Bagaimana mungkin kita ingin berangan mendapat syafaat Nabi, jauh sekali keampunan dan keredhaan Allah?
Solat seumur hidup itu selalu lintang pukang, malah ada yang tanpa rasa bersalah ditinggalkan. Quran dibaca hanya pada bulan Ramadhan, malah ada yang tidak pernah ingin mempelajarinya. Aurat tidak dijaga, malah bangga mempamerkannya. Ibubapa tidak lagi dikasihi dan dihormati, malah diderhakai semahunya. Hanya bersahabat dengan orang yang berkepentingan, anak-anak yatim dan fakir miskin dibiarkan dan dipandang hina.
Syurga mana yang kita angankan, neraka mana yang akan kita hindarkan...sedangkan amalan dan akhlak tidak membawa kita hampir sedikit pun pada redha dan kecintaan Allah?
Apa sebenarnya yang kita inginkan?
Dunia dan segala isinya?
Atau Allah dan RasulNya?
Sungguh...sungguh! Kita adalah pendosa yang terleka...
"Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami yang benar itu benar, dan kurniakanlah kami untuk dapat mengikutinya. Dan perlihatkanlah kepada kami yang salah itu salah, dan kurniakanlah kami untuk dapat menghindarinya. Janganlah Engkau menjadikannya samar di hadapan kami sehingga kami tersesat."

Wednesday 4 October 2017

Bertemu Berpisah Hanya keranaMU

Saat ini oh TUHAN...
Kami menilai di dalam hati sendiri
Saatnya pasti tiba untuk kami merasai
Apa itu perpisahan abadi
Apa itu pergi yang tidak akan kembali

Saai ini wahai TUHAN...
Kami tidak mampu menghitung lagi
Kerana terasa kecil benar amalan kami
Apakah sudah cukup sebagai mahar untuk meraih syurgaMU
Kami sendiri tidak pasti

Saat ini wahai TUHAN...
Kami muhasabah kembali
Rasulullah telah lama kembali pergi
Kini yang tinggal hanya kami untuk mengikut sunnahnya
Sedangkan ingin benar kami menemuinya kekasih yang sejati

Saat ini TUHAN...
Kami memohon agar KAU tabahkan hati kami
Daripada saat ini hinggalah KAU takdirkan
kami harus pergi
Agar tetap sentiasa berada di dalam agamaMU
Jua supaya kami tidak akan tersesat ketika nyawa tiada lagi

namun TUHAN...
Andai telah tiba perpisahan abadi
Mohon kami Ya ALLAH...
Temukan kami semua di syurga menanti
Seperti yang telah ENGKAU janjikan kepada kami
Bahawa bertemu dan berpisah hanyalah keranaMU

-Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
(Bicara ini Demi Ilahi)

*bila tiba-tiba aku mengingati dan merindui amanah dan tutur katamu...

Wednesday 27 September 2017

Bagaimanakah kita...?

Azan Isya' sudah 1 jam berlalu. Kita masih di hadapan tv, menghadam slot cerekarama yang belum tamat, sambil mulut mengunyah mesra keropok yang hampir habis.


"Kejap aa..jap lagi baru gi solat," tingkah hati kecil kita.
Sekejap kita itu sudah pun melalut lebih 1 jam. Rasa bersalah pula kalau kita berhenti menonton separuh jalan.

Ada jaminankah kita akan bersolat selepas itu? Atau pastikah masih ada nafas selepas 1 jam?

Jika kita diizinkan Allah untuk dapat bersolat selepas itu, pastinya kita melakukannya tanpa rasa berdosa. Asal boleh solat sudah cukup baik untuk kita. 5 minit di sejadah sudah cukup untuk menempah pahala ke syurga. Itupun, dalam masa 5 minit bersolat itu, segala isi dunia berada dalam fikiran kita. Mulut hanya menuturkan bacaan solat, hati dan fikiran sudah mengembara beratus-ratus kilometer. Sudahlah lewat, lalai pula.

Apakah hati kita merasa apa-apa? Tidak. Tak pernah.

Suatu masa lain kita mendapat tahu artis lelaki yang kita minat (and kita ni perempuan misalnya) akan datang ke tempat berhampiran kita. Kita akan pastikan kita akan pergi..no matter what. Tak dapat bergambar pun tak apa, asal boleh tengok live dari jauh pun jadilah. Kalau dapat bertentang mata dah macam dapat bonus 1 juta. Tiba masa, ada saja aral menghalang (padan muka kita!) Tertengok pulak kawan kita update di fb, dia dapat bergambar berdua, malah dapat bersalaman pula. Macam nak meletup dada menengoknya. Meraung separuh gila kita, it's like...that's it! I'm finished!

Berbuat dosa tidak merasa sedih, tetapi mampu mengeluarkan airmata kerana terlepas melakukan dosa!

Bagaimanakah kita ini?
Hendak mencari redha Allah atau tidak peduli pada murkaNya?
Mahu tunduk atau biar ingkar?
Dunia ini mahu ditunggang semahunya, akhirat seperti tak akan ditempuh?
Syurga..? Atau neraka..?
Mukmin? Munafik? Atau kufur?

Kita perlu memilih. Sekarang. Jangan diperdaya lagi dengan bisikan syaitan yang selalu membisikkan 'nanti'. Kita tidak tahu apakah 'nanti' itu akan tiba. Dan entah bagaimana pula bentuk 'nanti' itu. Semuanya kita tidak tahu. Maka berhenti berfikir seperti kita tahu apa akan berlaku selepas saat ini. Kalau mahu berubah, sekarang. Mulakanlah pencarian ilmu untuk merubah diri. Mohon Allah tunjukkan jalannya, mohon kekuatan hati untuk bermujahadah, mohon belas kasihanNya agar dapat kekal di jalanNya. Bukan perubahan separuh jalan, bukan suam-suam kuku lepas tu lesu.

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"
(Al-An'am 6:32)




Thursday 14 September 2017

Esok (apa yang pasti)



Enaknya hidangan makan tengahari ini.
Udang sambal, kobis masak lemak dan ikan goreng.
Mungkin tidak semewah mana,
namun kasih sayang dari tangan yang memasak dan menghidangnya,
ibarat hidangan diraja yang tiada tolak bandingnya.

Seronoknya perbualan petang ini.
Gurauan dan usikan bersilih ganti.
Begitu rupanya nikmat bersahabat,
teman yang sentiasa di sisi,
susah dan senang diharung bersama.

Damainya malam ini.
Nyenyaknya tidur beralaskan tilam dan bantal empuk.
Alat penghawa dingin mengulik lagi tidur yang lena.
Episod hari ini melabuhkan tirai,
dalam dengkuran yang panjang dan gagah.

Esok.

Esok tiada lagi kasih sayang dalam lauk yang enak.
Tiada lagi tangan yang menyenduk nasi dan lauk.
Tiada lagi hidangan mewah menjamah mata.

Esok.
Esok hilang sudah nikmat hilai tawa.
Sahabat sejati tidak lagi menunggu.
Sendirian, sepi menggigit segenap ruang.

Esok.
Esok malam yang damai tidak lagi menjemput lenanya tidur.

Tilam dan bantal empuk sudah berganti kepalan tanah.
Episod hari ini membuka tirai pada perjalanan yang maha panjang.

Tak mungkin dapat berpatah kembali.

Kekal, sangat kekal.






Monday 4 September 2017

Epilog Kehidupan

Pejamkan matamu.
Bayangkan.
Fikirkan.
Perlahan-lahan...
Satu persatu.

Kau terbaring di atas katil...lemah, hilang segala daya.
Mata terpejam. Tubuh terbungkang.
Ibu ayah ada di sisi. Suami atau isteri sedang memegang erat tanganmu. Anak-anak sedang meratap hiba.

Namun semuanya bisu. Dingin dan beku. Kau tidak mendengar apa-apa. Kau tidak merasakan apa-apa. Masa seakan terhenti. Dunia seakan berhenti berputar.

Kau tahu maksudnya. Kau faham kini. Inilah yang pernah kau baca dan dengar. Mungkin ini juga pernah kau saksikan. Sekarang kaulah watak utamanya - sinazak yang sedang menghadapi sakarat.

Tak mungkin boleh berpatah balik. Untuk meminta penangguhan pun pasti tidak. Ini bukan mahkamah dunia. Ada rayuan, ada ulangan perbicaraan, ada penangguhan hukuman. Ini hanya pelaksanaan yang pasti akan berlaku. Tiada awal sesaat, tidak lewat sedetik pun.

Kau mula terfikir detik-detik akhir sewaktu kau masih mampu membetulkan yang salah dan memulakan kebaikan yang tertangguh. Solat yang masih lintang-pukang, puasa yang masih terhutang, zakat yang dilupakan dan haji yang selalu ditangguhkan.

Sebelum kau terlantar begini, kau sedang seronok bersuka-ria dengan kawan-kawan. Majlis ilmu tidak pernah kau duduki. Nasihat baik selalu sangat kau tolak ketepi. Lidahmu banyak menuturkan yang bukan haq, Adabmu selalu kelaut.

Mana kebaikan yang kau harapkan dapat membantu menghadapi sakarat ini?
Mana amal soleh yang akan membelamu di hadapan mahkamah Allah kelak?
Segala penyaksian akan membongkar kedurhakaanmu sebagai hamba Tuhan!

Dadamu sedang berombak kencang. Nafasmu sudah hilang iramanya. Kau sedang dilambung sakarat yang maha dasyat. Siiblis datang bergerombolan untuk tugasan yang penghabisan.

Ke mana halamu kini?

Baru kau teringat apa yang pernah diberitahu kepadamu akan azabnya maut. 
Baru kau terasa akan sepi dan sempitnya di kuburan.
Baru sekarang....barulah sekarang kesalan memanjat pada hati kecilmu.

Bukankah sekarang mahu kau campakkan segala apa yang kau miliki dan kejar tanpa henti. Kalau boleh kau mahu gadai semuanya hanya untuk membeli sekelumit masa untuk kau hempukkan dahi ke tanah. Kalaulah boleh kau memohon malaikat Izrael datang ketika kau berendam airmata dalam sujudmu. Kalaulah...

Tidak, kau tahu tak mungkin. Pasti tak mungkin.

Perlahan-lahan
Satu persatu.
Fikirkanlah.
Bermulalah.
Lakukanlah.
Sekarang.

Sekarang juga!



Saturday 2 September 2017

La Tahzan

La Tahzan,
La Tahzan.
Janganlah airmatamu hari ini melupakan engkau pada banyaknya nikmat yang telah membuat engkau ketawa.
Lihatlah pada mentari yang menyinar, pada malam yang merehatkan, segalanya telah diseimbangkan..
Seperti itu juga dukamu, pasti ada bahagia yang menanti.
Sabarlah....sungguh besar nikmat penantian sabarmu, percayalah.


Sungguh, percayalah..!
Usah dipandang pada megahnya rumah, gagahnya kenderaan, meriahnya anak-pinak, melimpahnya duit ringgit,
Jangan kau ukur kebahagiaan oranglain serupa denganmu,
Ketenanganmu ada pada sekeping hatimu, bajakanlah dengan iman, siramlah dengan sabar dan syukur, kelak akan kau tuai dengan redhanya Tuhan.

Fahamilah,
Sungguh...fahamilah..!
...bahawa apa yang diberi olehNya kepadamu
melebihi harapan dan doamu sendiri.

Wednesday 23 August 2017

Solatlah, mintalah  belas kasihan dari Allah,
agar seluruh hati dan jiwa ragamu hadir di dalam solat itu.
Solatlah, seakan Malaikat Maut bersamamu
dan sedang menunggu salam akhir di dalam solatmu.

Berusahalah, carilah rezeki untukmu dan keluarga,
mohonlah pertolongan Allah agar ada keberkatan dalam usahamu.
Berusahalah, janganlah kau fikir
apakah ada esok untuk menuai hasilmu.

Pandanglah orang-orang di sekelilingmu,
Jika mereka orang yang kau kasihi,
panjatkanlah doa agar Allah merahmati kasih sayang itu hingga ke syurgaNya;
Jika mereka orang yang pernah kau sakiti dan menzalimimu,
mohonlah hati yang tawadhuk yang mampu memohon maaf dan mengampuni.

Kita hanya pengembara,
Jangan diulik mimpi untuk kekal di sini.


Wednesday 9 August 2017

Sepasang mata dan telinga,
Sepasang kaki dan tangan,

Lidah yang boleh menuturkan kata,
Akal yang mampu berfikir,
Hati yang berupaya memahami.

Sudah mulakah mensyukuri anugerah Tuhan..
Sudah belajarkah menggunakannya mengikut acuan iman..

Sedang apakah matamu sekarang,
Ke manakah haluan kakimu melangkah,
Apakah yang dikerjakan oleh si tangan,
Bicara apa yang sedang lidahmu lontarkan,
Sudah berfikirkah akalmu sebelum mengarah tindakan,
Fahamkah sudah hatimu akan taqarrub kepada Tuhan..,?

Cukuplah pandangan mata yang tidak dijaga,
Akan telinga yang tidak dihalusi pendengarannya,


Tidak cukupkah  lidah yang sewenangnya berbicara dosa,
Kau tambah pula saham jari mengutuk dan mencela.

Sudah terjaminkah keampunan Allah buatmu,
Lupakah pada kesaksian anggota tubuhmu nanti,
ketika taubat sudah terlambat,
ketika maaf sudah tidak berguna.

Dunia kian membongkok tua,
Modal usiamu kian susut,
Belajarlah mensyukuri,
Mulakan dengan segenap ruang tubuhmu,
Sekarang.
Sekarang.
SEKARANG.





Thursday 3 August 2017

Alasan demi alasan

Berhentilah memberi alasan!

A : Bila nak solat ni, azan dah pun dilaungkan.
B : Eh, kejaplah..sikit lagi ni..drama ni dah nak habis, 10 minit pun tak sampai, Kang tengah solat
      teringat pulak apa yang jadi kat hero yang tengah kena belasah ni.

A : Jom gi dengar ceramah, tajuknya memang nak kena setepek kat muka - 'Sudahkah bersedia
      untuk mati?'
B : Allah...betul ke? Esok kerja pagi, pukul 6 nak kena gerak dah dari rumah. Takut ceramah habis
     lambat, balik pun dah lewat, risau melalut pulak tidurnya nanti.

A : Cubalah tutup aurat dengan sempurna, belajar-belajar labuhkan tudung, pelan-pelan pakai stokin,
      in shaa Allah lama-lama sempurnalah nanti.
B : Issh...ni dah pakai tudung dah ok apa..cuba banding dengan orang yang langsung togel 
      je..tengoklah esok-esok bila Allah dah gerakkan hati.

A : Dah la tu, tak payahlah nak panjang-panjangkan cerita pasal orang..mengumpat dah namanya ni,
      kang jenuh pulak merangkak nak mintak maaf.
B : Ada pulak mengumpat...ni kebenaran ni, kalau tak betul tak adanya orang nak bercakap. Untuk
      pengajaran kita jugak ni.

Inilah antara alasan-alasan yang aku dan kau selalu ucapkan. Alasan yang kadang-kadang kita sendiri kagum bagaimana kita mampu memikirkannya. Kreatif, penuh inovasi - tetapi bebal. Bebal kerana kita lupa kadang-kadang alasan yang kita beri memakan diri sendiri. Dan semestinya bebal kerana kita mencari alasan untuk mengelak dari berbuat kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

Segala macam drama yang kita nak tonton, awal-awal dah pasang niat nak duduk depan tv sebelum cerita bermula. Siap dengan air limau segelas dengan keropok berbagai perasa. Siap bagi amaran 'do not disturb'. Punyalah kita nak menghadam cerita tu. Tak ada pulak terpasang niat nak bersedia depan sejadah bila masuk waktu solat. Seakan-akannya kita beritahu Sang Pencipta ..'kejap ya Tuhan, Kau kan Maha Pengampun...aku memang nak solat, Kau pun tau niat aku...'. Akhirnya kita pun bersolat. Solat ala-ala mencuri. Curi waktu rukuk, curi waktu sujud...punyalah macam kilat kita nak habiskan solat. Drama satu jam kita boleh hadap, solat 5 minit pun macam lama sangat nak selesaikan.

Bebalkah kita? Betul - bebal.

Nak dengar ceramah yang sekali setahun tu pun kita mengorek alasan. Ustaz mana yang bagi ceramah tu...best ke dia? Tajuk boring tak? Start pukul berapa...lepas isyak? Bila pulak nak habisnya? Seribu satu persoalan yang meligatkan kepala mencari alasan. Dah tu..masa musim bolasepak yang tayangannya pukul 2,3 pagi boleh pulak kita bertoleransi. Tak ada pulak fikir nak kena bangun awal pagi untuk ke pejabat. Sanggup pulak terhengguk-hengguk kat pejabat sebab kononnya tak cukup tidur. Rela bangun pukul 2,3 pagi untuk bolasepak, tak rela pulak untuk bangun mengerjakan tahajjud. 'Suci' benar pengorbanan kita demi melayan minat dan kegilaan pada sesuatu.

Bebalkah kita? Sunguh betul -bebal.

Kita selalu mencari alasan bila tidak mahu (bukan tidak mampu) berbuat sesuatu. Kita selalu merasa cukup dengan kebaikan dan kewajipan yang telah kita laksanakan. Kita yakin kekurangan kita akan diampunkan. Kita akan cuba bandingkan 'kelebihan' kita dengan orang yang kita rasa kurang dari kita. Bila kita terpaksa melihat ada orang lain yang lebih baik dari kita, kita akan cari alasan lain pulak - alah, nampak je bagus tu, entah-entah hati kat dalam macam kerang busuk. Kita terjemahkan ala-ala baik kita itu sebagai cukup murni dan sudah layak untuk digelar mukmin, mukminah sejati dan sudah menempah first class ticket untuk ke jannah.

Bebalkah kita? Sungguh...jawablah sendiri.

Sudah...sudahlah.
Berlapang dadalah dengan teguran, berlembut hatilah dengan nasihat. Berhentilah memberi alasan. Carilah kekuatan untuk melakukan. Tingkatkan amal. Tinggalkan yang mungkar. Perlahan-lahan, sedikit-sedikit. Kita tak perlu berlari, tetapi jangan berhenti. Yakinlah Allah melihat segala usaha kita. Dia sedang menghitung segalanya.





Wednesday 19 July 2017

Pujilah mahluk,
ayah ibu kita, 
suami mahupun isteri, 
anak beranak, adik beradik, saudara mara, rakan taulan;
pujilah kebaikannya,
kagumilah keluhuran budinya.

Tapi,
tanyakanlah jua pada sekeping hati kita yang paling kecil,
cukup indah jugakah pujian kita pada Allah,
sungguh benarkah syukur dan redha kita pada Maha Pengasih nya Allah,
pada Maha Pengampun
dan Maha Pemelihara nya...

Sayangilah mahluk,
sedia berkorban masa, tenaga, malah hati dan perasaan pun rela kita gulaikan - demi mereka,
sanggup menerima lebih dan kurang mereka,
tidak peduli dengan ketidaksempurnaan mereka,

Namun,
cukupkah jua kecintaan kita kepada Allah,
sanggupkah kita korbankan urusan dunia
demi menghadirkan hati ke sisiNya,
mahukah kita ikuti perintahNya tanpa sifir dan hujjah,
relakah tinggalkan keselesaan nafsu dan keghairahan kehendak kita
untuk kita buktikan cinta dan rindu padaNya...

Atau,
masihkah kita,
berangan-angankah syurgaNya,
menganggap diri sudah taat dan patuh,
merasa kehambaan sudah begitu tawadhuk,

sedangkan hakikatnya,
kita sudah begitu asyik dengan keindahan dunia dan isinya,
sedangkan realitinya,
kita kian membaja kecintaan kepada mahluk  melebihi dari Pencipta,

akan bagaimanakah kita akhirnya.....???




Thursday 1 June 2017

TERLENA

Waktu berlalu begitu pantas
menipu kita yang terlena.

Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang.
Belum sempat bersedkah pagi, matahari sudah meninggi.
Niat pukul 9.00 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan zohor sudah terdengar.
Teringin setiap pagi membaca 1 juzuk Al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat,
itu pun tidak dilakukan.
Rancangan untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajjud dan witir, walaupun hanya 3 rakaat,
semua tinggal angan-angan.

Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur?
Berseronok dengan usia?

Lalu tiba-tiba menjelmalah usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan kemudian orang mula memanggil kita dengan panggilan "Tok Wan, Atok..Nek" menandakan kita sudah tua.

Lalu sambil menunggu Sakaratul Maut tiba, diperlihatkan catatan amal yang kita pernah buat...

Astaghfirullah, ternyata tidak seberapa sedekah dan infak cuma sekadarnya,
mengajarkan ilmu tidak pernah ada,
silaturrahim tidak pernah buat.

Justeru apakah roh ini tidak akan melolong, meraung, menjerit menahan kesakitan di saat berpisah daripada tubuh ketika Sakaratul Maut?

Tambahkan usiaku Ya Allah, aku memerlukan waktu untuk beramal sebelum Kau akhiri ajalku.

Belum cukupkah kita menyia-nyiakan weaktu selama 30, 40, 50 atau 60 tahun?

Perlu berapa tahun lagikah untuk mengulang pagi, siang, petang dan malam, perlu berapa minggu, bulan dan tahun lagi agar kita bersedia untuk mati?

Kita tidak pernah merasa kehilangan waktu dan kesempatan untuk menghasilkan pahala, maka 1000 tahun pun tidak akan pernah cukup bagi orang-orang yang terlena.

- Al Marhum Prof. Hamka

Wednesday 4 January 2017

Dunia sudah tidak aman?
Peperangan mungkin tidak meletus di bumi kita. Bom yang meledak secara tiba-tiba pun belum kita alami. Bila negara lain digegarkan dengan gempa bumi, kita masih steady di rumah dan pejabat, malah masih berselfie dengan aman di tanah-tanah tinggi. Cuma kita rasa tergugat sekali sekala kalau banjir kilat berlaku meraikan hujan lebat yang tak berhenti. Banjir setahun sekali di beberapa negeri sudah boleh kita jangka dan bersedia mana yang patut. Bumi kita aman? Tidak.

Tidak kerana kita bukan hidup sendiri di satu tanah kecil di planer besar bumi. Kita ada saudara seIslam di merata tanah di bumi ini. Masih ada insan lain yang kadang-kadang hanya memerlukan rasa kemanusiaan oranglain. Ada bumi yang tidak seaman kita. Masalah air bukan isu besar pada mereka. Terputus bekalan elektrik beberapa jam adalah perkara remeh pada mereka. Kereta rosak, kekasih menghilang, ibu ayah merajuk, kawan-kawan meminggir, adik-beradik tak peduli, suami ada affair, barang kemas kena curi, rumah terbakar....semua yang kita rasa macam hell of the world itu, bukan apa-apa pada mereka. Mereka (seperti di Palestin, Syria dan Rohingya) hanya memperdulikan satu perkara yang kita selalu leka untuk menghargai - nyawa mereka, nafas mereka!

Amankah kita? Tidak.

Tidak kerana kita hanya sibuk memikir apa lagi yang tidak kita perolehi.
Tidak kerana kita hanya sibuk menghitung kesilapan oranglain sekeliling.
Tidak kerana kita hanya sibuk memikirkan kebaikan kita yang belum dibalas.
Tidak, sama sekali tidak kerana kita adalah manusia yang hanya bersyukur di mulut tetapi merungut di hati. 

We are selfish.
We are arrogant.
We are surely dumb!

Masalah datang - kita jadi penyiasat tak bertauliah mencari pesalah, bukan jadi pemikir kepada punca dan solusi. Manusia lain adalah first class target, selagi tiada orang yang boleh dipersalahkan, selagi tidak melukakan hati oranglain, kita tidak duduk diam. Amankah hidup kita? Tidak.

And most of all, kita adalah sipenderhaka kepada Pencipta segalanya, Tak cukup manusia jadi sasaran, Yang Maha Berkuasa itu pun pun kita letak di dalam neraca kesalahan. Amankah pemikiran dan hati kita? Tidak.

Maka di manakah rasa 'aman' dan 'tenang' yang kian pupus dan tidak difahami itu?
Pada keluarga yang muafakat dan saling mengasihi?
Pada tempat tinggal yang jauh dari jenayah dan bencana alam?
Pada kerja yang halal dan lumayan?

Atau pada hati yang tunduk kepada Allah dan mengusahakan bekal di hari kemudian?

"Dialah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin untuk menambahkan keimanan di atas keimanan mereka yang telah ada. Dan milik Allah lah bala tentera langit dan bumi, dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Al-Fath 48:4)