Pearls in the sand

Pearls in the sand

Monday, 4 September 2017

Epilog Kehidupan

Pejamkan matamu.
Bayangkan.
Fikirkan.
Perlahan-lahan...
Satu persatu.

Kau terbaring di atas katil...lemah, hilang segala daya.
Mata terpejam. Tubuh terbungkang.
Ibu ayah ada di sisi. Suami atau isteri sedang memegang erat tanganmu. Anak-anak sedang meratap hiba.

Namun semuanya bisu. Dingin dan beku. Kau tidak mendengar apa-apa. Kau tidak merasakan apa-apa. Masa seakan terhenti. Dunia seakan berhenti berputar.

Kau tahu maksudnya. Kau faham kini. Inilah yang pernah kau baca dan dengar. Mungkin ini juga pernah kau saksikan. Sekarang kaulah watak utamanya - sinazak yang sedang menghadapi sakarat.

Tak mungkin boleh berpatah balik. Untuk meminta penangguhan pun pasti tidak. Ini bukan mahkamah dunia. Ada rayuan, ada ulangan perbicaraan, ada penangguhan hukuman. Ini hanya pelaksanaan yang pasti akan berlaku. Tiada awal sesaat, tidak lewat sedetik pun.

Kau mula terfikir detik-detik akhir sewaktu kau masih mampu membetulkan yang salah dan memulakan kebaikan yang tertangguh. Solat yang masih lintang-pukang, puasa yang masih terhutang, zakat yang dilupakan dan haji yang selalu ditangguhkan.

Sebelum kau terlantar begini, kau sedang seronok bersuka-ria dengan kawan-kawan. Majlis ilmu tidak pernah kau duduki. Nasihat baik selalu sangat kau tolak ketepi. Lidahmu banyak menuturkan yang bukan haq, Adabmu selalu kelaut.

Mana kebaikan yang kau harapkan dapat membantu menghadapi sakarat ini?
Mana amal soleh yang akan membelamu di hadapan mahkamah Allah kelak?
Segala penyaksian akan membongkar kedurhakaanmu sebagai hamba Tuhan!

Dadamu sedang berombak kencang. Nafasmu sudah hilang iramanya. Kau sedang dilambung sakarat yang maha dasyat. Siiblis datang bergerombolan untuk tugasan yang penghabisan.

Ke mana halamu kini?

Baru kau teringat apa yang pernah diberitahu kepadamu akan azabnya maut. 
Baru kau terasa akan sepi dan sempitnya di kuburan.
Baru sekarang....barulah sekarang kesalan memanjat pada hati kecilmu.

Bukankah sekarang mahu kau campakkan segala apa yang kau miliki dan kejar tanpa henti. Kalau boleh kau mahu gadai semuanya hanya untuk membeli sekelumit masa untuk kau hempukkan dahi ke tanah. Kalaulah boleh kau memohon malaikat Izrael datang ketika kau berendam airmata dalam sujudmu. Kalaulah...

Tidak, kau tahu tak mungkin. Pasti tak mungkin.

Perlahan-lahan
Satu persatu.
Fikirkanlah.
Bermulalah.
Lakukanlah.
Sekarang.

Sekarang juga!



No comments: