Pearls in the sand

Pearls in the sand

Monday 26 September 2016

Banding dan fikirkan, dan lakukan...sesuatu!

Mari kita buat perbandingan,

Alah, macam la tak biasa.
Kita kan biasa membandingkan exam result dengan kawan-kawan sekelas, rumah besar kita dengan rumah kurang besar oranglain, girlfriend cun kita dengan girlfriend sememeh abang kita, anak-anak kita yang dapat straight A dengan anak-anak jiran yang kertas Pendidikan Jasmani pun terlingkup.

Banyak lagi kalau hendak difkirkan, sehari suntuk nak menyenaraikannya pun tak mungkin cukup.

Hari ini, kita masuk era perbandingan yang lebih simple, yang kadang-kadang kerana terlampau simple itulah, kita tak terperasan pun nak membandingkannya.

Tiap-tiap hari majoriti kita akan sibuk dengan gadget - handphone (yg ini juara gadget), tab dan sewaktu dengannya, desktop dan sejenis dengannya, headphone dan MP3/MP4 dan apa-apa yang tidak terfikir di benak kepala ini di waktu ini.

Tiap-tiap hari majoriti kita juga akan berteleku di depan televisyen yang dari sekecil-kecil saiz hinggalah hampir sebesar-besar layar di panggung wayang

Tiap-tiap hari ada di antara kita akan cuba mengkhatam sebuah novel, atau menamatkan stage game yang mencabar skill, dan ada pula sebilangan kecil dari kita akan mewajibkan diri sendiri melepak dengan kawan-kawan di kedai mamak di hujung minggu atau meriadahkan badan di padang bola dan gelanggang badminton. Malah ada die hard fan untuk sekian-sekian pasukan bolasepak yang tanpa mengira waktu dan tempat, akan memastikan diri menonton perlawanan apabila musim bola sudah tiba.

Salahkah semua ini? Hampir tidak...tetapi bukan itu point nya di sini. Soalnya...

Boleh berfacebook, berinsta, main games berjam-jam lamanya dengan gembira, solat 5 minit itu pun terasa lama dan siksa,
Boleh menghadap movie atau drama bersiri berhari-hari, bosan pula mendengar ceramah dan program agama.
Boleh mengkhatam berpuluh-puluh novel dan majalah, tapi malas benar nak membuka kitab Allah apatah lagi membacanya walau sebaris ayat.
Boleh bergelak tawa dan ber'outing' dengan rakan, tak ada masa pulak nak berjemaah di masjid walau tangga masjid berhadapan dengan pintu pagar rumah.
Dan boleh pula bersengkang mata pukul dua,tiga pagi menghadap perlawanan bolasepak, tetapi tak mampu menghampar sejadah dan menunaikan solat dua rakaat.

Buatlah perbandingan dan kiraan...berlaku jujur dan bijaksana. dan tak perlu pekikkan hasilnya di mana-mana, Tanyakan pada diri, kerana jawapan dan dan pilihan hanya ada pada kita.

Dan tolonglah...jangan memanjang bagi alasan yang Allah mengetahui niat dan amalan masing-masing, atau usia masih muda, atau hidayah belum sampai. Alasan itu sudah tiada tamadunnya lagi, dah basi. Aku tahu...kerana aku juga adalah kalian. Merangkak, berjalan, berlari, tersungkur, tersembam dan bangun lagi....dan lagi...dan lagi....

Mari kita muhasabah diri, tekadkan azam dan cekalkan iman. Semuanya ini tidak akan berguna lagi suatu masa nanti. Sedarlah, kita sedang menuju ke hujung perjalanan.

Thursday 22 September 2016

Mensyukuri Nikmat


Rutin hari ini.
Mengerjakan solat subuh jam 6 pagi. Bersegera pulak bersiap-siap untuk ke pejabat. Sambar paket milo 3 in 1, bancuh dalam air suam-suam panas supaya boleh segera diminum. Semalam lidah kemerahan kerana menghirup milo panas. Belajar dari kesilapan, pagi ni boleh hirup milo suam dengan aman. Start engin kereta and off we go!

Trafik hari ni sedikit aman dari semalam. Hujan renyai tak semena-mena turun. Mendung ke tadi? Issh...tak sempat pulak mendongak ke langit masa melompat masuk ke kereta tadi. Ah...! Renyai sikit sahaja, Pejabat pun dalam 2 kilometer lagi nampaklah kelibatnya. Awal lagi ni...tak perlu risau tak pasal-pasal. Rekod cantik punch-card masih boleh dipertahankan.

Hari ini urusan berjalan seperti biasa di pejabat. Biasalah, ada hari seronok, ada hari bengang. Ada ketika macam nak campak fail, di lain waktu pulak rasa sampai macam nak peluk makcik cleaner sebab boss tak habis-habis puji. That is a normal working life....dah biasa lah!

Balik kerja lewat sikit hari ni. Mesyuarat lambat habis sebab pengurus cawangan panjang pulak ceramahnya kali ni. Punya panjang berpuluh-puluh kilometer, tak jumpa koma, noktah jauh lah sekali. Masa tu terasa nak baling pen dalam mulut dia. Rasanya oranglain pun macam tu. Akibatnya, dekat pukul 8 baru buka pintu pagar rumah. Rasa penat bercampur lapar, tambah sedikit geram yang belum habis....tak dapat nak bayang apa yang akan dibuat kalau ada sesiapa yang saja-saja menyengih waktu ini.

Baik, kisah routine hidup ini berhenti sampai di sini.

Ini adalah kisah kita - aku, kau dan kita semua. Mungkin tidak semuanya sama, tapi kaedahnya tetap serupa - bangun pagi...bla...bla...bla...hingga mata dipejam di malam hari, dan esok rakaman hidup bermula sekali lagi.

Persoalannya - kita tak pernah gagal bangun pagi (buktinya kita masih hidup hingga hari ini), tak pernah gagal menyempurnakan fitrah badan dan kehidupan, diselang-seli dengan solat yang sudah terbiasa dari kecil, tetapi lupa 'merutinkan' satu perkara - bersyukur dengan apa yang kita ada dan kecapi semalam, hari ini dan saat ini.

Berapa kerap kita bersyukur dapat membuka mata, bersarapan dan ke tempat kerja dan sekian, sekian..Bersyukur Allah masih memberi nafas, memberi kita rezeki..dapat meneguk milo setiap pagi, dapat berkenderaan ke destinasi pilihan, dapat pula pulang semula merehatkan badan di rumah dan memejamkan mata dengan aman di atas katil di malam hari.

Boleh saja Allah menakdirkan kita tidur selama-lamanya malam itu - tak usah mimpilah nak minum milo atau menyumpah heavy traffic, atau nak peluk anak bini, suami sekalipun. Dan tak mustahil untuk kenderaan kita buat ragam pada hari itu, rosak pula di tengah jalan, atau melanggar dan dilanggar kenderaan lain. Boleh jaminkah kita akan menutup engin kereta di hadapan pejabat atau agaknya membuka mata di wad hosipital atau terbaring terkaku di peti mayat? Sungguh, mudah saja pada Allah untuk menyukar dan memberhentikan urusan hidup kita,

"Sesungguhnya perkataan Kami terhadap sesuatu apabila Kami menghendakinya, Kami hanya mengatakan : "Kun (jadilah), maka jadilah ia." (An-Nahl 16:40)

Betapa baiknya Allah. Sangat baik, walau dalam derhakanya kita padaNya, Dia masih memberi segala apa yang kita ada pada waktu ini. Nikmat nafas, nikmat udara, nikmat berkasih sayang...masyaAllah, banyak sungguh yang Dia beri....dan berapa banyak pula kita mengkufuri nikmat itu, jauh sekali untuk mensyukurinya. Sudahlah tidak bersyukur dan berterima kasih, merungut dan menyumpah adalah kemestian kita dalam menerima segala nikmat itu.

"Dan Dia memberikan kepadamu (keperluanmu) daripada segala apa yang kamu mohonkan kepadaNya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah)" (Ibrahim 14:34)

Marilah kita cantikkan routine hidup ini...tanamkan, amalkan, wajibkan diri mensyukuri segala nikmat yang Allah hadiahkan kepada kita setiap detik ini. Bersyukur dalam apa yang kita suka dan kita benci, semuanya adalah anugerah yang hanya Allah lebih mengetahui rahsia dan hikmahnya. Sedarkan diri kita dengan sifat kehambaan yang sentiasa redha dan bersyukur dengan setiap pemberian, yang dengan bersifat begitu pun kita masih mendapat anugerah pahala....Subhanallah! Betapa Rahman dan Rahimnya Allah pada kita.

Maka tunggu apa lagi.....jom kita bersyukur dengan segala nikmat ini sekarang...now!At this right second..lets start!


Monday 19 September 2016

Bermula Sebelum Ia Berakhir

Mencari titik permulaan untuk melakukan pembaharuan dalam hidup sememangnya satu cabaran. Bukan seperti cabaran mendaki Gunung Broga untuk silembik macam aku. Atau bersyarah selama 10 minit di atas pentas untuk sipemalu yang sangat penyegan,

Bukan. Ini cabaran jauh lebih tercabar, walau kadang-kadang pembaharuan yang baik itu hanya melibatkan diri sendiri. Ya, diri sendiri dan pencabar yang paling kental - nafsu.

Aku teringat suatu kisah. Kisah penyanyi Yusuf Islam (dulunya Cat Stevens) yang mendapat hidayah ketika sedang bergelut dengan maut ketika hampir lemas di lautan. Ramai juga orang Islam yang melihat sendiri bagaimana mayat dikafankan dan akhirnya dibaringkan di dalam lubang semuat-muat tubuh badan, tetapi tidak terusik hatinya, tidak langsung terbayang itulah juga tempat pembaringan terakhir sipenonton jenazah.

Kematian?
Inilah topik paling aku gemari. Bukan saja-saja menyukai. Tapi ia ibarat pengetuk pada kelalaianku, ibarat alarm bila aku hilang dalam solatku, malas bermuhasabah, seronok melayan kehendak yang entah apa-apa. Kematian kerana sesungguhnya dengan berasa ia terlalu hampir, aku mula mencari titik permulaan yang entah kali keberapa itu.

Selalu aku terfikir (bila mendapat khabar kematian), apakah agaknya yang difikir dan diinginkan oleh simati sekiranya dia tahu dia akan pergi meninggalkan dunia dan segala keseronokannya sebentar lagi. Sekiranya dia berada di kelab malam, apakah itu tempat yang akan dipilihnya untuk dijemput oleh malaikat Izrael? Kalau sedang mengumpat dan mengeji, apakah itu aksi terakhir yang diingininya sewaktu nyawa direntap oleh Sang Pencabut Nyawa?

Okey, tak perlu sibuk bertanya kepada oranglain. Tanyakan pada si'aku' ini..

Benar, kalau boleh aku nak berada di atas sejadah, sedang sujud, atau ketika membaca ayat-ayatNya, atau kurang-kurang ketika berwudhuk, atau setidak-tidaknya ketika tidak melakukan kelalaian malah dosa. Tapi apa guna berangan kalau tidak mahu mengusahakannya. Kalau rasa berdosa, taubatlah. Kalau selalu lalai, sedarlah. Dan takkan termampu aku melakukan semua itu kalau tidak mendapat pertolongan dari Allah. Maka pohonlah...dan pohonlah hanya kepadaNya, tanpa penat dan putus asa!

Aku adalah pendosa. Kalian yang membaca juga, malah kita semua. Aku tidak mahu berkata dengan selambanya, "Alah, semua orang pun mati..so what?" Aku mahu berbisik pada kalbu yang paling dalam - mati itu hanya permulaan pada perjalanan yang sangat panjang. Ia mungkin jadi rehat yang mendamaikan kalau amalan baikku yang menjawab persoalan. Atau ia akan menjadi pembuka pada penyiksaan yang maha dasyat kalau dosa-dosaku yang menjadi bekalan.

Bagaimana mungkin sipendosa seperti aku dan kalian dapat mengharungi perjalanan yang panjang itu kalau hanya leka membayangkan kebaikan sikit yang kita pernah lakukan itulah yang akan menjadi penyelamat. Tak mungkin...!Percayalah....Takkan mungkin!

Marilah kita cari titik permulaan itu....bermulalah! Mulalah belajar mendirikan solat dan bukan hanya melakukannya. Mulalah beramal dengan ajaran Al-Quran dan bukan hanya membacanya. Mulalah meninggalkan perkara yang sia-sia dan bukan menangguhkannya. Mulalah bermujahadah dengan beribadah di waktu tengah malam dan bukan hanya mengangankannya. Marilah bermula duhai aku, kau dan mereka. Dan pohonlah kekuatan daripada Alah, Yang Maha Rahman untuk terus melakukannya. Jika tersungkur, bangun semula, mulakan lagi...dan lagi.....dan lagi, selagi nafas masih diizinkanNya.

"Dan bersegeralah kamu mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa. (Iaitu) orang yang menafkahkan (hartanya) di waktu senang mahupun susah, orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak lagi meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui."  (Ali-'Imran, 3:133-135)