Pearls in the sand

Pearls in the sand

Friday 23 February 2018

Sempena Jumaat, penghulu hari, jom kita tanam niat baru dan laksanakan ia serta-merta :

Mulai hari ini, detik ini, kita hanya akan menggunakan mulut ini hanya untuk menyebut yang baik-baik, bercakap yang murni sahaja, jauh lagi untuk mengata, mengumpat dan menyumpah sesiapa.

Mulai hari ini, saat ini, jari jemari kita akan menaip yang baik-baik dan tidak lagi berjemaah untuk berprasangka, mengutuk dan mengherdik sesiapa.

Kalau tidak bermula sekarang, bila lagi?

Selalu sahaja niat itu ada, rasa lelah juga asyik menyimpan rasa marah dan tidak puas hati, tapi kaki masih kaku, belum mahu melangkah.

Jom...! Jom kita...!
Jangan bertangguh lagi. Berhenti berkata 'nanti' atau 'ini tidak salah' atau 'memang betul apa'. Itu skrip nafsu yang dibisikkan oleh syaitan yang dilaknat oleh Allah. Kita tidak mahu terjebak lagi dengan permainan syaitan yang mencari kawan di dalam neraka.

Jom rayu bantuan Allah.
Mulai hari ini, detik dan saat ini...
mulut dan tangan kita hanya untuk mencari redhaNya, dan bukan sesekali menjemput murkaNya.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...jom sama-sama!





Tuesday 13 February 2018

Berlantai dan berbumbungkan tanah

Sedang apakah aku sekarang?

Makan spaghetti aglio olio di Restoran Vivo yang aku gemari. Sedapnya memang tak terbanding di mana-mana restoran lain. Sekurang-kurangnya itulah pendapat tekak aku.

Makan seorang? Semestinya tidak.
Ada ahli keluarga seramai satu bas jumlahnya. Riang ria makan sambil bergurau senda. Family bonding mengikut katanya. Sesekali berkumpul, bukan senang nak menghimpun kesemuanya. Bila dah berjaya menemukan kesemua ranting pokok dalam family tree ni, havoc dibuatnya restoran besar ini.

Indahnya ketika berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit, aku masih mampu melakukan semua ini.
Makan di mana mahu, apa yang termampu.
Berkawan dengan sesiapa, di mana jua.
Berjalan ke mana sahaja, selagi ada daya.
Malah mampu menghiburkan diri, secara percuma atau perlu menelan belanja.

Mungkin kerana aku ditakdirkan bebas dan berupaya begini, aku selalu terlupa kehidupanku ketika nanti berlantai dan berbumbungkan tanah sahaja. Mungkin aku lupa ketika inilah aku sepatutnya berfikir siapakah yang akan menjadi temanku atau apa yang akan menghiburku di alam yang tidak akan kubawa ahli keluarga seramai satu bas itu. Walau bagaimana sayangnya mereka kepadaku, tiada siapa akan meminta untuk dikubur bersama. Walau semahal dan sebesar mana rumah yang kubina, hanya liang sempit akan kuhuni. Meski besar pangkat dan kedudukan yang kugalas, tak mungkin dapat kugunakan untuk merasuah sang malaikat yang akan menyoal. Malah duit yang berkepuk banyak di bank tak akan dapat membeli bau-bauan syurga di liang sepi ini.

Aku yang hanya menyediakan bekal suam-suam kuku.
Aku yang pada waktu yang sama menghimpun saham untuk ke neraka.
Aku yang menongkat segala dunia dan isinya.
Aku juga yang kononnya percaya pada hari akhirat, tetapi tidak mengimaninya.

Bagaimanakah aku sekarang?
Menunggu tanah menyelimutiku, tidak ingin merenung nasib di alam akhirat, belum mahu berbuat sesuatu?


"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah  kepada Allah, dan hendaklah setiap manusia itu melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan sebagai bekalan hari esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan."
(Al-Hasyr 59:18)




Thursday 8 February 2018



Ya Rabb,
di saat Kau mengujiku dengan kesenangan,
kurniakan aku kekuatan untuk bersyukur
dan tidak mengkufuri nikmatMu;
di saat Kau mendugaku dengan kesusahan,
rahmatilah aku kehebatan untuk bersabar
dan tidak menyalahi takdirMu.

Jadikanlah aku Ya Rabb,
hambaMu yang selalu ingin dinasihati oleh kematian
dan kerinduan untuk bertemu denganMu.