Pearls in the sand

Pearls in the sand

Thursday 6 August 2015

Menangis lagi.....kerana apa?


Hari ini kita menangis lagi. Dada terasa ketat seperti ada batu yang menghimpit. Semalam airmata yang sama telah keluar. Bezanya semalam airmata kita seperti hujan renyai. Kalau setakat berjalan dalam hujan sebegini, kita masih relax lagi. Hari ini pulak airmata kita macam hujan lebat. Boleh kuyup kita dibuatnya walaupun berlari dalam hujan lebat begini. Esok kalau difikir-fikirkan lagi, mungkin kita akan menangis lagi. Mungkin hujan airmata kita esok lebih lebat lagi, ibarat petir dan kilat mengiringi, usahkan berlari, berada dalam kenderaan atau rumah pun kita terasa takut.

Begitulah dasyatnya airmata ini. Terlalu banyak perkara di dunia ini yang boleh mendesak airmata kita keluar. Nak jadi seperti hujan renyai ke, hujan lebat atau dengan guruh berdentum, semuanya bergantung pada tahap kedukaan dan beberapa faktor lain. Terasa payah mengharungi liku-liku hidup di dunia yang macam-macam ini.

Persoalannya.....apakah selepas hujan airmata itu, pelangi indah kan muncul? Apakah ianya akan seperti menyuburi hati yang tandus? Apakah lautan resah kan tenang dan mendung akhirnya akan berarak pergi?

Tiada kepastian untuk semua persoalan itu. Airmata kan tinggal sebagai airmata...samada kesakitan kita akan terubat atau semakin parah, tidak bergantung pada banyaknya airmata yang tertumpah, tidak juga terletak pada simpati oranglain. Kalau kita bijak mengendalikan persoalan, mungkin akan terlerailah pertikaian dan airmata kan bertukar menjadi senyum tawa. Sejauh mana ia bertahan....wallahhu'alam.

Mungkin sudah masanya kita perlu berhenti atau sekurang-kurangnya menghitung airmata yang keluar kerana dunia, isinya dan permasalahan di dalamnya. Mungkin kita perlu menghitung semula airmata yang keluar kerana dunia yang lebih kekal abadi dan perhitungan di dalamnya. Kalau direnung-renungkan pasti terhempuklah kita dengan hakikat bahawa kita lebih banyak berkeluh-kesah dan menangisi untuk sesuatu yang pasti kita akan tinggalkan - dunia fana ini.

"Tidak ada sesuatu yang lebih Allah sukai selain dua titis dan dua jejak, titisan air mata kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang mengalir di jalan Allah." (Riwayat Tirmizi)

Inilah airmata yang paling disukai Allah...airmata yang akan menyapa ketenangan di dalam hati malah akan dapat memadamkan api neraka. Sungguh terlalu banyak dosa dan kelalaian kita yang seharusnya kita tangisi kerana takutkan pembalasan Allah dan jauhnya kita dari rahmat dan pengampunanNya. Namun kita dengan dosa dan kelalaian itulah yang sentiasa mengheret kita menangisi perkara-perkara lain lebih dari tangisan takutkan Allah dan kemurkaanNya.

Percayalah....apabila kita lebih menghiraukan tangisan untuk hari kebangkitan lebih dari kesedihan untuk hari ini, hati kita yang sentiasa berkeluh-kesah itu akan lebih tenang, lebih bahagia. Terasa sia-sia menangisi teman-teman yang menyakiti hati, pada kekasih yang memungkiri janji, atau pada pangkat yang tidak naik-naik walaupun bekerja separuh mati, pada motor cabuk yang kita naiki walau kawan-kawan menderam dengan kereta besar, pada suami yang tidak lagi berlemah-lembut, pada isteri yang sudah pandai berkurang ajar, atau pada anak-anak yang kepalanya keras melebihi batu.

Dan yang lebih utama....airmata kita tidak lagi sia-sia tertumpah ke bumi, kita tidak lagi berseorangan bersedih dan berkeluh-kesah, tiada lagi jalan penyelesaian yang tergantung di sana-sini. Airmata kita sedang dihitung oleh Allah, Dia sedang mendengar suara kesedihan kita dengan kasih sayangNya....dan di hadapan sana terbentang lautan kedamaian, tasik harapan....percayalah!

Sunday 2 August 2015

Sabar dan Syukur

Sukarnya memujuk hati yang sedang menanggung keperitan. Airmata yang terhambur memang tidak boleh dikawal. Rasa nak menjerit pun ada. nak baling bantal atau buku di tangan pun sanggup rasanya. Jangan gusar...bukan kau seorang yang pernah dan selalu merasai sakit dan lukanya hati. Tak ada orang dalam dunia ini yang 24 jam tersenyum dan ketawa. Malah percayalah....kalau kau fikir sakit hatimu macam dirobek pedang tajam, ada oranglain di luar sana yang lebih teruk menanggung kelukaan itu.

Sabarlah....bukankah itu yang selalu engkau dengar? Dah muak mendengarnya kan? Dalam menyuruh sabar, ada pulak hamba Allah yang menyuruh bersyukur dengan apa yang kau ada. Siap keluar hadis dan ayat quran tentang keutamaan sabar dan syukur. Teringin jugak nak bertanya adakah mereka merasai apa yang kau rasa...atau lebih teruk lagi nak saja kau hempuk kipas kat kepala mereka. Cakap senanglah...cuba kena sekali!

Kalau kau rasa marah, kalau kau rasa nak hempuk kipas atau apa-apa sajalah, atau sekurang-kurangnya kalau kau dengan lemah lembut mempersilakan mereka meninggalkan kau, sebenarnya kaulah yang kurang cerdik. Nasihat tentang sabar dan syukur adalah mutiara yang sangat indah...masakan tidak indah, ia datang dari ajaran Rasulullah sallaullah hu'alai hiwassalam, malah ia diambil dari ayat-ayat Tuhanmu yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang.

Sabar......sabarlah, kerana Allah Azza Wajalla sedang menghadiahkan kau ujian yang manis. Dia Yang Maha Luas kasih sayangNya sedang menunggu kau untuk diselimuti dengan kerahmatan. Tuhanmu itu sedang merindui rintihanmu mengadu rasa kepadaNya. Dengan kesakitan inilah, baru terasa sangat tulus sujudmu, akan kau korbankan masamu yang sebelumnya ini sangat sempit untuk kau rayu ketenangan hati. Dan sanggupkah kau tidak mengakui bahawa sungguh hatimu terasa lapang dan indahnya setiap kali kau berteleku di sejadah itu? Bukankah semua itu hanya termampu kau lakukan sekiranya kau bersabar di atas ujian sakitnya hatimu itu?

Dan percayalah, perlahan-lahan kau akan terasa bersyukur kerana dipilih untuk menghadapi ujian itu. Bila kau menoropong kehidupanmu lebih jauh, kau akan terlihat betapa banyaknya nikmat dariNya yang kau tidak belajar mensyukurinya. Kau terlalu sibuk dengan ketawa dalam hidupmu, sehingga bila kau terpaksa menangis kesakitan, kau rasakan itulah penghujung segalanya.

Lihatlah indahnya perjalanan takdir ini untukmu. Berjalanlah dengan sisa hidupmu bertongkatkan sabar dan syukur. Terbanglah merentas lautan hidup ini bersayapkan keduanya..pasti sakit yang kau rasa hanya tinggal sakit yang kau rela menghadapinya, kerna kau kini tahu....cukuplah Allah bagimu!