Pearls in the sand

Pearls in the sand

Wednesday 6 November 2019

Nota seorang pendosa



Malam yang sendu menyapa tubuh yang terbaring lesu di pembaringan.
Mata yang lesu melirik ke arah jendela yang ternganga kecil, menyapa angin malam yang dingin dan mengamankan.
Tidak pernah terasa indahnya malam seperti malam ini.
Tidak pernah teringin merenung ke arah diri sebelum ini.

Malam ini tidak seperti malam-malam yang sudah.
Sungguh malam ini seperti episod terakhir sebuah cerekarama hidup yang panjang,
sangat panjang dan membosankan.

Episod 1 - masuk kerja on-time, prestasi tip-top, waktu solat kelaut, kitab al-Quran memadai letaknya di rak mahal, tinggi tak tercapai.
Episod 2 - bersantai di panggung wayang setiap minggu satu kemestian, tidak lupa melanggan siaran2 hebat di TV, ermmm...ceramah agama...?Ya Rabbi, membosankan!
Episod 3 - prestasi pelajaran anak-anak dipantau rapi, pelbagai buku tambahan, tuisyen dan segala macam. Kerja sekolah anak dipantau ibarat tentera menjaga barisan. Solat anak...? Allah...nanti-nanti solatlah dia.
Episod 4 - pukul 3 pagi sanggup tinggalkan selimut bantal untuk melayan sebiji bola direbut 22 pemain di padang. Terasa berat mendahului jaga dengan solat dua malam, ia datang dengan keperluan.
Episod 5 - ibu bapa yang tua seperti muzium tinggalan untuk dilawati bila sampai musim lawatan, Boss di pejabat lebih disantuni dan dihormati dari dua nyawa pembuka pintu syurga.
Episod 6 - berkhidmat untuk suami dirasakan satu beban yang diwarisi turun-temurun, warisan yang menidakkan 'women's right', amalan yang sudah basi dan membosankan!
Episod 7....
Episod 8.....
dan lagi...dan lagi.....dan lagi....

Lalai
Leka
Alpa
Kemaruk dengan dunia dan isinya

Dan perlahan-lahan
pagi berlalu menjemput petang
petang kian beralih menjemput senja....

Nafas yang penuh lagha, kini jadi secebis ingatan yang menggigit keinsafan di pembaringan ini.
Masa itu tak mungkin kembali, sudah lama ia tersadai di benua pengumpulan dosa-dosa sekian lama.Tinggal diheret di hadapan Tuhan untuk pengadilan yang pasti sangat adil.

Bagaimanakah untuk memulai segalanya...hanya sekali, sekali lagi.......

Detik malam ini terus berlalu. Kedinginan angin mengigit sehingga ke tulang sulbi. Namun sekujur tubuh di pembaringan tidak mahu peduli.

Terasa diri jauh terbenam di lubuk keinsafan. Namun kudrat sudah seakan tidak mampu menggapai walau sehela nafas. Sungguh tidak ada dayanya di pembaringan - lesu, lemah, keseorangan menghitung detik yang sudah bertahun-tahun pergi.

Dosa dan penyesalan.
Lalai dan menyiksakan.

Di pembaringan yang maha sepi ini,
sekeping hati mula merangkak menagih kasih Rabb yang Satu,
yang Maha Luas keampunanNya,
yang Maha Besar kemurkaanNya.

...dalam ketakutan dan pengharapan,
hati itu berbisik sayu...

Ya Rabb, Ya Rabb..

Aku sendiri Tuhan
Tak punya sesiapa
Berkeluh kesah padaMu
MenyeruMu walau dosa menyelimuti seluruh tubuh

Aku ingin kembali padaMu Tuhan.
Aku ingin sujudku lebih lama dari tidurku.
Aku ingin bacaan Quranku lebih banyak dari lekaku melayan hiburan dunia.
Aku ingin sedekahku lebih kerap dari makanku di restoran mewah.

Aku ingin, terlalu ingin
cintaku padaMu melebihi dari dunia dan segala isinya.

Ambillah semuanya, aku tidak akan menagih lagi,
hanya sehela nafas sujud yang tidak ada bangunnya,
cuma nafas semata-mata keranaMu Tuhanku

Walau sebentar.
Walau sedetik cuma!