Pearls in the sand

Pearls in the sand

Friday 23 October 2015

Mengingati mati - suatu prolog perjalanan


Lumrah manusia....bila sakit, berkeluh kesah. Kekadang yg sakit hanya sebatang gigi, tapi seharian tak jadi kerja dibuatnya. Kalau naik angin,  benda sehalus kuman pun boleh jadi sebab terletusnya kemarahan. Bila hendak mengira pertolongan yang dihulurkan, seperti oranglain tidak pernah berbuat apa-apa. Bila hendak menghukum salah pula, seperti diri kita maksum dari segala dosa.

Apakah memang resam manusia, bila berjalan sering tidak melhat bumi yang dipijak, malah sentiasa mendongak mengagumi langit dan keindahan semesta. Apakah begitu anehnya manusia....tidak pernah gagal merasa takjub dengan segala keindahan dan kelebihan tetapi sentiasa lupa mensyukuri Pemberi pada kenikmatan itu.

Kita selalu menghitung rezeki melimpah, sudah ke mana kita habis dan belanjakan, dan ternanti-nanti duit yang lebih banyak lagi untuk diusahakan. Namun sering kita terlupa untuk menghitung usia yang sudah dikelek saban tahun, bulan, hari dan detik.....terlupa kita untuk menghisab dan menimbang perlakuan dan amalan selama mana kita meminjam nafas itu..

Sungguh begitulah lumrah kita, manusia...selalu lalai, leka dan cuai, seakan kitalah yang memegang perbendaharaan hidup dan tidak akan mati sampai bila-bila.

Tidak matikah kita?
Semua kita akan mengatakan pasti kematian itu akan datang.
Namun menyebut mati seakan menyebut satu fasa kehidupan yang lumrah. Ketika menziarahi orang yang telah meninggal dunia dan menghantar pula hingga ke liang lahad, kita beraksi seperti ia salah satu rutin yang biasa. Tidak terdetik di hati, tidak tercuit rasa....bahawa itulah KITA. Itulah kita yang sedang menghadapi sakaratul maut, itulah kita yang berhempas-pulas menghabiskan nafas terakhir, itu jualah kita yang dihimpit di liang lahad...dan itulah kita yang akan berseorangan dalam kegelapan alam kubur, menghadap perhitungan dengan dua Malaikat Allah yang setia menanti.

Apakah dengan mengingati mati, kita akan menjadi jumud dalam kehidupan dan pemikiran? Apakah kita tidak akan lagi mahu keluar mencari nafkah, menutup rapat pintu dari dunia luar dan berteleku tanpa noktah di satu sudut dengan sejadah dan tasbih di tangan? Apakah itu prinsip mengingati kematian dan menghisab diri yang Rasulullah Sallallahhu'alai hiwassalam ajar dan sunnahkan?


Iman al-Termizi telah mengeluarkan hadith riwayat Shidad bin Aus katanya;
sabda Nabi s.a.w.“الكيس من دان نفسه ، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من اتبع نفسه هواها ، وتمنى على الله “.
 “Orang yang sempurna akalnya ialah orang yang sentiasa memeriksa dirinya, dan beramal untuk bekal sesudah mati, sedangkan orang yang lemah akalnya ialah orang yang mengikut hawa nafsunya, dan  bercita-cita untuk mendapat  keredaan  Allah tanpa beramal”.

Inilah prinsip mengingati mati yang datangnya dari orang yang sempurna akalnya iaitu memperbanyakkan amalan. Setiap anggota dan pancaindera akan kita pergunakan semaksimum mungkin untuk menghimpun amalan sebagai persiapan untuk perjalanan yang panjang kelak. Kelalaian dan kelekaan menghirup kelazatan dunia akan kita kawal dan awasi. Tiada lagi keutamaan pada perkara sia-sia, malah setiap tindak-tanduk akan kita hisabkan. Tiada apa yang lebih penting membawa nafas ini melainkan untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.

Sungguh hidup di dunia ini hanyalah seperti sepohon pokok untuk kita berteduh sementara waktu..,.suatu masa kita kan pergi meninggalkan ia jua. Kita adalah sidagang yang merantau di dunia ini, bukan untuk bersenang-lenang tapi hanya untuk mencari bekal sebanyak-banyaknya untuk dibawa pulang ke kampong akhirat nanti. Kalau kita sipendatang ini hanya mahu bersuka-ria, maka percayalah...akan pulanglah kita ke tanahair asal nanti sebagai simuflis yang tidak membawa apa-apa. Wa'Iyazubillah.

"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan"
(Surah Hud, ayat 15-16)




Tuesday 13 October 2015

Berat sungguh ujian...demi ujian...


Apakah pernah terlintas di fikiran bahawa suatu hari nanti suami akan dipanggil menghadap Sang Pencipta di saat kita sangat memerlukannya? Atau lebih sakitnya bila kita mendapat tahu diri diberi pemberian 'madu' oleh suami yang kita sangkakan tidak berupaya mengasihi selain dari diri kita sebagai isterinya? Rasanya lebih rela Allah yang mengambilnya dari diambil oleh perempuan lain kan?

Berat sungguh ujian ini sekiranya ia ditimpa ke atas pundak seorang perempuan.

Atau mampukah kita bertahan sekiranya menerima panggilan telefon mengabarkan bahawa anak yang ditatang bertahun-tahun menghembuskan nafasnya yang akhir dalam kemalangan...anak yang kita doakan kesolehannya dan mendoakan kita, anak yang logiknya diharapkan menguruskan jenazah kita, kini takdir menghadirkan sebaliknya.

Bukankah terasa seperti direnggut segenap jantung dan urat nadi....Allahhuakbar.

Dan sejuta satu lagi masalah yang seperti tak mungkin cukup untuk disenaraikan satu persatu, dan tak mampu juga untuk dihitung beratnya bahu menanggung, jauh sekali untuk ditimbang kesabaran yang perlu diraih. Acap kali kita mengatakan kering sudah airmata, tapi setiap kali itu juga ujian yang datang tidak pernah gagal membuat kita tersedu-sedan. Kekadang terasa hati sudah keras dan kebal tapi ibarat air terjun yang jatuh ke atas batu yang sama tanpa hentinya, pasti akan berlekuk juga ia dibuatnya.

Kita hanya insan biasa, ada hati dan perasaan yang amat kerdil...sejauh mana 'sado'nya kita, akan terhempuk juga jika dilanda gesaan dugaan yang perlbagai.

Tapi percayalah...! Seberat mana pun ujian itu, kita pasti dapat menempuhnya.

“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…     ( Al-Baqarah: 286)

Kita masih ada orang sekeliling, suami/isteri, anak-anak, ibubapa, sahabat dan jiran tetangga untuk berkongsi rasa, mengadu duka. Yang paling utama kita masih mampu berbisik menyeru "Ya Allah..Ya Allah..", masih terdaya memohon kekuatan dan kesabaran dariNya, masih mampu meyakini bahawa di sebalik kesukaran itu, pasti Allah akan menguniakan kesenangan yang tidak terduga.

Sungguh ujian yang kita rasakan sangat berat dan sakit itu, ada lagi ujian yang amat berat...ujian yang terakhir Allah janjikan kepada kita, namun ujian itu perlu kita harungi seorang diri, Tiada lagi yang mampu membantu walau mereka berada sangat hampir dengan kita dan tersangat ingin meringankan beban kita. Malah lebih dasyat, tidak lagi mampu kita menyeru kekuatan dari Allah. Apakah ujian yang lebih dasyat selain dari ujian menghadapi sakaratul maut....bila dada sudah berombak, bila hati sudah kaku, bila nafas semakin pendek dan terlampau sukar. Campaklah emas permata, hamparkanlah segala kesenangan dunia dan isinya, semuanya tidak menjadi keinginan lagi. Sungguh waktu itu airmata sudah tiada, sungguh kita tidak mampu merasai apa-apa lagi...hanya berperang antara amalan baik dengan kufurnya akidah.

Itulah ujian yang terakhir di dunia ini sebelum kita bergelar jenazah, itulah ujian yang paling berat, mengatasi segala keberatan ujian yang kita tempuh selama ini. Dan sungguh itulah ujian yang perlu kita lulus dengan jayanya sebagai langkah pertama kepada perjalanan panjang yang bakal kita tempuhi.

Maka hati...duhai hati, tidak apa lah dengan ujian yang sikit-sikit ini. Kalau ingin menangis, menangislah. Kita tetap insan....tapi katakanlah pada hati itu, bahawa ujian ini tidak seberapa, ujian ini adalah wadah untuk membawa kita dekat pada Yang Memberi, ujian inilah yang perlu direbut untuk dijadikan salah satu bekalan amalan mahmudah yang perlu dikumpul sebanyak-banyaknya.

"Setiap yang hidup akan merasakan mati, dan Kami menguji kamu dengan keburukan dan kesenangan sebagai cobaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)











Friday 11 September 2015

Didiklah hawa nafsumu...!

Betapa sukarnya menguruskan hawa nafsu.

Benar...malah sangat benar. Belum lagi memperkatakan menundukkan hawa nafsu, menguruskannya pun jadi lintang-pukang kita dibuatnya. Huru-hara hidup hendak memikirkan nafsu mana yang perlu diurus, dididik atau dibenam terus. Memikirkannya pun sudah satu hal, melakukannya....?

Tak payah pening-pening memikirkan nafsu mana yang sukar kita didik. Cuba lihat sekeliling rumah kita. Ada perabot yang berbagai, alat elektrik yang berbagai jenama, hiasan rumah yang serba indah dan kemilauan, rumah besar yang luas mata memandang (sehingga perlu dipasang loceng rumah berelektrik di pintu pagar). Mungkin kita boleh bertanya - yang mana satukah keperluan, dan banyak manakah kepuasan . Tengok pula di luar rumah, pada kereta yang kita yang beberapa buah...kecil, besar, kancil, gajah...semuanya ada label, kereta untuk ke pasar, kereta ke pejabat, kereta untuk melancong sekeluarga...Subhanaullah, besarnya kepuasan nafsu yang perlu diturut.

Kemampuan membolehkan segalanya? Duit yang susah payah dicari kalau bukan untuk kesenangan keluarga, untuk siapa lagi...? Bukannya mintak duit orang pun, sekadar buat pinjaman bank yang tidak menyusahkan kita membayar ansuran bulanan (eh...betul ke tak susah...?). Alah, sedekah pun kita buat jugak, bukannya kita lupakan oranglain pun. Orang Melayu perlu buktikan kepada bangsa lain, bahawa kita pun boleh menguasai ekonomi negara dan hidup senang dengan usaha kita.(..cerita bangsa pulak dah....)

Come on la..(inipun biasa didengar jugak), takkan lah nak tunjuk zuhud sangat...Nampak sangat orang Islam ni lemah...!

Astaghfirullahhal'azim.

Ini baru tengok nafsu kebendaan, belum dijengah nafsu makan, nafsu tidur, nafsu perhiasan, nafsu bercakap dan seribu satu nafsu yang tidak pernah dididik, apatah lagi dikawal. Nafsu inilah yang lahir bersama kita, dibekalkan bersama sebagai salah satu ujian, yang dengan kejayaan mendidik dan memandunya ke arah yang betul akan memacu kita kepada jalan kerahmatanNya. Namun kita - aku yang sedang mengetuk kekunci keypad ini atau kamu di luar sana, tanpa segan silu, menakhodakan perintah nafsu, dari sekecil-kecil kuman hingga sebesar-besar dinasour.

Tidak berilmukah kita? Tidak pernahkah duduk di majlis ilmu untuk mengetuk kejahilan? Tidak mahukah duduk menyelak kitab-kitab agama yang melambak? Atau paling tidak....membaca wahyu Allah di dalam kitabNya yang telah diwasiatkan oleh Junjungan kekasihNya...?

Sungguh....!
Marilah kita mengendalikan hidup ini dengan seadanya...seada yang membawa kita ke matlamat kita dihidupkan, kepada pengabdian dan penyerahan kepadaNya semata-mata, kepada kampung akhirat yang pasti kita menemuinya.

Didiklah nafsu yang liat membaca Al-Quran. Tarbiahlah nafsu yang sentiasa dahagakan hiburan yang melalaikan. Hempuklah nafsu yang tidak pernah puas, yang tidak kenal perkataan cukup, yg sentiasa melagukan perkataan lagi...lagi...dan LAGI. Tanyakanlah pada qalbumu yang paling dalam, apakah di dalam memenuhi kemahuan nafsumu itu, terkandung hak oranglain yang sepatutnya kau tunaikan. Perlahan-lahan perhatikanlah diri dan kehidupan...apakah telah berlandaskan syariat atau berkerajaankan nafsu dan bisikan syaitan...kerana sesungguhnya aku sedang mengingatkan diriku dan kamu, bahawa bukan kelazatan dunia ini yang akan membantu kita menghadapi sakaratul maut, dan tidak sekali-kali jua ia akan menemani kita di alam kubur, tidak juga membantu kita ketika dihisab....dan tidak sekali-kali ia sebagai mahar untuk ke syurga.


أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلا كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلا
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?. Atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu).” (Surat Al-Furqon 43-44)











Thursday 6 August 2015

Menangis lagi.....kerana apa?


Hari ini kita menangis lagi. Dada terasa ketat seperti ada batu yang menghimpit. Semalam airmata yang sama telah keluar. Bezanya semalam airmata kita seperti hujan renyai. Kalau setakat berjalan dalam hujan sebegini, kita masih relax lagi. Hari ini pulak airmata kita macam hujan lebat. Boleh kuyup kita dibuatnya walaupun berlari dalam hujan lebat begini. Esok kalau difikir-fikirkan lagi, mungkin kita akan menangis lagi. Mungkin hujan airmata kita esok lebih lebat lagi, ibarat petir dan kilat mengiringi, usahkan berlari, berada dalam kenderaan atau rumah pun kita terasa takut.

Begitulah dasyatnya airmata ini. Terlalu banyak perkara di dunia ini yang boleh mendesak airmata kita keluar. Nak jadi seperti hujan renyai ke, hujan lebat atau dengan guruh berdentum, semuanya bergantung pada tahap kedukaan dan beberapa faktor lain. Terasa payah mengharungi liku-liku hidup di dunia yang macam-macam ini.

Persoalannya.....apakah selepas hujan airmata itu, pelangi indah kan muncul? Apakah ianya akan seperti menyuburi hati yang tandus? Apakah lautan resah kan tenang dan mendung akhirnya akan berarak pergi?

Tiada kepastian untuk semua persoalan itu. Airmata kan tinggal sebagai airmata...samada kesakitan kita akan terubat atau semakin parah, tidak bergantung pada banyaknya airmata yang tertumpah, tidak juga terletak pada simpati oranglain. Kalau kita bijak mengendalikan persoalan, mungkin akan terlerailah pertikaian dan airmata kan bertukar menjadi senyum tawa. Sejauh mana ia bertahan....wallahhu'alam.

Mungkin sudah masanya kita perlu berhenti atau sekurang-kurangnya menghitung airmata yang keluar kerana dunia, isinya dan permasalahan di dalamnya. Mungkin kita perlu menghitung semula airmata yang keluar kerana dunia yang lebih kekal abadi dan perhitungan di dalamnya. Kalau direnung-renungkan pasti terhempuklah kita dengan hakikat bahawa kita lebih banyak berkeluh-kesah dan menangisi untuk sesuatu yang pasti kita akan tinggalkan - dunia fana ini.

"Tidak ada sesuatu yang lebih Allah sukai selain dua titis dan dua jejak, titisan air mata kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang mengalir di jalan Allah." (Riwayat Tirmizi)

Inilah airmata yang paling disukai Allah...airmata yang akan menyapa ketenangan di dalam hati malah akan dapat memadamkan api neraka. Sungguh terlalu banyak dosa dan kelalaian kita yang seharusnya kita tangisi kerana takutkan pembalasan Allah dan jauhnya kita dari rahmat dan pengampunanNya. Namun kita dengan dosa dan kelalaian itulah yang sentiasa mengheret kita menangisi perkara-perkara lain lebih dari tangisan takutkan Allah dan kemurkaanNya.

Percayalah....apabila kita lebih menghiraukan tangisan untuk hari kebangkitan lebih dari kesedihan untuk hari ini, hati kita yang sentiasa berkeluh-kesah itu akan lebih tenang, lebih bahagia. Terasa sia-sia menangisi teman-teman yang menyakiti hati, pada kekasih yang memungkiri janji, atau pada pangkat yang tidak naik-naik walaupun bekerja separuh mati, pada motor cabuk yang kita naiki walau kawan-kawan menderam dengan kereta besar, pada suami yang tidak lagi berlemah-lembut, pada isteri yang sudah pandai berkurang ajar, atau pada anak-anak yang kepalanya keras melebihi batu.

Dan yang lebih utama....airmata kita tidak lagi sia-sia tertumpah ke bumi, kita tidak lagi berseorangan bersedih dan berkeluh-kesah, tiada lagi jalan penyelesaian yang tergantung di sana-sini. Airmata kita sedang dihitung oleh Allah, Dia sedang mendengar suara kesedihan kita dengan kasih sayangNya....dan di hadapan sana terbentang lautan kedamaian, tasik harapan....percayalah!

Sunday 2 August 2015

Sabar dan Syukur

Sukarnya memujuk hati yang sedang menanggung keperitan. Airmata yang terhambur memang tidak boleh dikawal. Rasa nak menjerit pun ada. nak baling bantal atau buku di tangan pun sanggup rasanya. Jangan gusar...bukan kau seorang yang pernah dan selalu merasai sakit dan lukanya hati. Tak ada orang dalam dunia ini yang 24 jam tersenyum dan ketawa. Malah percayalah....kalau kau fikir sakit hatimu macam dirobek pedang tajam, ada oranglain di luar sana yang lebih teruk menanggung kelukaan itu.

Sabarlah....bukankah itu yang selalu engkau dengar? Dah muak mendengarnya kan? Dalam menyuruh sabar, ada pulak hamba Allah yang menyuruh bersyukur dengan apa yang kau ada. Siap keluar hadis dan ayat quran tentang keutamaan sabar dan syukur. Teringin jugak nak bertanya adakah mereka merasai apa yang kau rasa...atau lebih teruk lagi nak saja kau hempuk kipas kat kepala mereka. Cakap senanglah...cuba kena sekali!

Kalau kau rasa marah, kalau kau rasa nak hempuk kipas atau apa-apa sajalah, atau sekurang-kurangnya kalau kau dengan lemah lembut mempersilakan mereka meninggalkan kau, sebenarnya kaulah yang kurang cerdik. Nasihat tentang sabar dan syukur adalah mutiara yang sangat indah...masakan tidak indah, ia datang dari ajaran Rasulullah sallaullah hu'alai hiwassalam, malah ia diambil dari ayat-ayat Tuhanmu yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang.

Sabar......sabarlah, kerana Allah Azza Wajalla sedang menghadiahkan kau ujian yang manis. Dia Yang Maha Luas kasih sayangNya sedang menunggu kau untuk diselimuti dengan kerahmatan. Tuhanmu itu sedang merindui rintihanmu mengadu rasa kepadaNya. Dengan kesakitan inilah, baru terasa sangat tulus sujudmu, akan kau korbankan masamu yang sebelumnya ini sangat sempit untuk kau rayu ketenangan hati. Dan sanggupkah kau tidak mengakui bahawa sungguh hatimu terasa lapang dan indahnya setiap kali kau berteleku di sejadah itu? Bukankah semua itu hanya termampu kau lakukan sekiranya kau bersabar di atas ujian sakitnya hatimu itu?

Dan percayalah, perlahan-lahan kau akan terasa bersyukur kerana dipilih untuk menghadapi ujian itu. Bila kau menoropong kehidupanmu lebih jauh, kau akan terlihat betapa banyaknya nikmat dariNya yang kau tidak belajar mensyukurinya. Kau terlalu sibuk dengan ketawa dalam hidupmu, sehingga bila kau terpaksa menangis kesakitan, kau rasakan itulah penghujung segalanya.

Lihatlah indahnya perjalanan takdir ini untukmu. Berjalanlah dengan sisa hidupmu bertongkatkan sabar dan syukur. Terbanglah merentas lautan hidup ini bersayapkan keduanya..pasti sakit yang kau rasa hanya tinggal sakit yang kau rela menghadapinya, kerna kau kini tahu....cukuplah Allah bagimu!

Thursday 30 July 2015

Memohon maaf dan Memaafkan

Pohonlah kemaafan dan maafkanlah...!

Percayalah...! Tidak akan runtuh gunung kekayaanmu dengan ucapan keramat ini. Tak mungkin cacat anggota tubuhmu jika kau hulurkan kemaafan itu, Dan pasti pula tidak akan tersiat harga dirimu sekiranya engkau memohon kemaafan dahulu.

Berhati lunaklah dengan kekhilafan oranglain. Lihatlah diri sendiri yang pernah juga terlanjur dengan sikap dan perkataanmu. Maafkanlah mereka walau mereka tidak pernah memohonnya daripadamu, mudah-mudahan kesilapanmu juga akan dimaafkan oleh oranglain pula tanpa kau memintanya.

Kau tidak kalah dengan kelembutan, kasih sayang mu bukan lauk basi yang akan memudaratkan. Usahlah melantik diri sendiri menjadi hakim mengadili siapa yang bersalah dan siapa yang perlu mempertahankan diri. Tiada hinanya merendahkan dirimu memohon kemaafan terlebih dahulu. Mungkin dalam betulmu ada kata-kata dan tindaklaku yang telah mengguris hati, apatah lagi dalam salahmu (yang tidak mahu kau akui), sudah pasti ada kebinasaan yang telah kau lakukan.

Percayalah....! Akan tenanglah tasik hatimu, akan terasa lapang lopak pemikiranmu...malah akan kau hirupi madu kerahmatan Tuhanmu...!

Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa, (yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan mema’afkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” 
- (QS. Al-Imran: 133-134)

Sungguh...kau telah pun menang,
di saat dengan jujur kau memohon kemaafan,
dan dengan ikhlas pula kau memaafkan...

 
 
 

Monday 27 July 2015

Rahmat kebaikan...senyumlah!



Duhai aku....dengar, dengar! Dengar!!

Jangan berkira dengan kebaikan yang engkau harus lakukan untuk oranglain. Jangan sesekali bertanyakan soalan pemusnah itu :
- mengapa asyik-asyik aku? Oranglain mana?
- mengapa waktu susah, aku saja yang dicari? Waktu senang nama aku pun tak ingat?

Jangan...! Jangan sekali-kali...!
Alangkah bodohnya engkau, wahai aku, jika kebaikan yang pada mulanya ikhlas kau lakukan dan pertolongan yang dengan rela kau hulurkan, engkau palitkan dengan secalit keluhan.

Tidakkah engkau sedar bahawa engkau dipilih oleh Allah untuk melakukan kebaikan itu....engkau! Dan bukan sianu itu...atau sianu ini. Allah pilih engkau untuk asyik-asyik diingati bila pertolongan diperlukan. Bukankah dengan kebaikan dan pertolonganmu itu akan membuka rahmat Allah ke atasmu? Bukankah amal jariahmu ke atas seorang hamba Allah yang lain akan dihisab sebagai amal kebaikan di akhirat kelak? Tidak inginkah pada redha Allah? Tak mahukah mengejar rahmat dan kasihNya? Itupun nak berkira?

Aduhai aku...aduhai....kasihannya kalau kau masih dengan kedunguanmu. Bukalah mata, celikkah hati, bersihkan akalmu. Seharusnya kau mengucap syukur kerana Allah terbitkan hati yang halus dalam dirimu bila kau merasa simpati dan ingin membantu. Sepatutnya kau gembira bila Allah melapangkan masamu mendengar keluh-kesah dan rintihan oranglain. Allah memilihmu antara sekelian hambaNya...duhai...beruntungnya engkau duhai aku...!

Biarlah orang hanya mengingatmu waktu susah, biarlah semua jari menuding kepadamu bila bantuan diperlukan. Senyumlah.....kerana pintu kebaikan sedang terbuka di hadapanmu, Segeralah engkau mengetuk pintu ikhlas sebelum memulakan langkah. Beristighfar dan bertasbihlah dalam perjalananmu kepada pintu rahmat Allah itu. Senyumlah....senyumlah, sungguh...Dia Yang Maha Rahman telah memilihmu lagi...dan lagi...dan lagi....

Friday 23 January 2015

Persoalan bangsa...di manakah kita?

Membaca beberapa post dan komen2 'mendebarkan' di laman fb yang menyentuh beberapa isu sejak kebelakangan ini mengetuk perlahan pintu hatiku, memaksa minda berputar 360 degree...yang akhirnya membawa jari-jemari menari untuk merealisasikan pemikiran.

"Lu apa...boleh balik India la, jangan buat samseng ini Malaysia"
"Wei, tak tau sejarah, jangan cerita. Ini Malaysia kalau tak da orang India datang, lu Melayu pun tak ujud oo"
"Kita Cina kalau tak datang ini tanah, ini Malaysia tak boleh maju woo"

Inilah antara komen2 separuh pedas menyahut post dari perkembangan terkini, Entah di mana salahnya suis dalam kepala seseparuh dari kita yang suka mencetuskan perbalahan dengan percuma. Pantang ada berita yang hangat sedikit, kepala pun berspin nak mengeluarkan komen yang boleh mencetuskan isu-isu sensitif. Lagi parah bila bahasa2 yang tidak diajar oleh nenek moyang pun sanggup diselitkan. Masing2 nak jadi lawyer tak bertauliah yang melayakkan mereka menjadi 'keyboard warrior' tak bergaji.

Akhirnya, ke manakah peperangan maya ini akan dijuruskan?
Mungkinkah ada piala pusingan untuk dibawa balik?
Atau ada gelaran 'keyboard warrior of the universe'?

Aku bukanlah seorang pakar sejarah untuk mengupas 'ketuanan Melayu' di bumi Malaysia ini, jauh sekali seorang hakim untuk mengadili siapa benar dan siapa yang salah. Hanya seorang manusia biasa, dilahirkan untuk menghargai keamanan, tiada kegemaran mengutip mana-mana salahfaham secara sengaja, tiada kecenderungan menjadi juara pada pertandingan yang tidak bertujuan...and seriously never ever want to pick up a habit as a 'keyboard warrior'!

Namun sebagai seorang yang meminati sejarah sepenuh raga, aku tak mampu menolak hakikat bahawa pengaruh kerajaan Hindu-Buddha adalah yang terawal di kepulauan Melayu. Ia bermula dari kerajaan Srivijaya di Palembang hinggalah di mana ia berkait dengan Parameswara yang membuka Melaka. Candi yang terdapat di Lembah Bujang di Kedah pun banyak dipengaruhi oleh budaya Hindu dan Buddha. Dan jika hendak menyingkap persoalan bahasa, maka Bahasa Melayu moden yang kita guna sekarang ini adalah perolehan dari Bahasa Melayu klasik yang dulunya berasal dari Bahasa Melayu kuno yang dipengaruhi pula oleh sistem bahasa Sanskrit yang menjadi bahasa perantaraan agama Hindu dan Buddha. Persoalan Parameswara yang dikatakan memeluk agama Islam dan dipertikaikan oleh ramai orang Hindu di bumi ini tidak mampu hendak kupersoalkan di sini kerana itulah sejarah yang tercatat di buku-buku teks dan diajar di sekolah sejak dulu. Samada sejarah itu telah dimanipulasikan, hanya pakar sejarah yang telah lama bersemadi di perut bumi yang mengetahuinya. Di atas semua kenyataan ini, aku nyatakan sebagai pembaca dan pemikir sejarah yang setia, jika tersilap ia adalah kerana aku bukan pakarnya - my understanding could be wrong but I know what I read (senyum sumbing)

Inilah hakikat sejarah yang boleh diulang-ulang membaca dan mengupasnya. Inilah jua fakta jika mahu memahaminya.  Dan itu bukan persoalannya di sini. Persoalan bangsa dan ketuanannya sering menjadi isu yang suka dipermainkan. Hanya menunggu sepuluh jari kepunyaan SEORANG manusia yang memulakan tarian, maka adalah yang akan melatah dan menari sama. Yang menjadi ketidakfahamanku, mengapakah isu ini menjadi satu yang universal di bumi bertuah ini? Mengapa kita tidak mampu mengatakan bumi ini milik kita bersama...kita yang Melayu, India dan Cina dan apa jua suku kaum yang sama-sama bernafas di bumi yang sama. Apakah kehebatannya mengatakan 'ketuanan' bangsa masing-masing...apakah akan ada emas menggunung datang menggolek kepada bangsa itu, atau nanti bangsa itu akan dikalungkan pingat 'juara bangsa' terhebat generasi ini? Melainkan semua ini...percayalah, hanya mengundang kebencian dan dendam yang akan menghapuskan 'ketuanan bangsa' itu sendiri!

Marilah kita yang beragama Islam ini kembali kepada sejarah Islam yang menjadi contoh tauladan terbaik melalui Nabi Junjungan. Marilah kita pula yang bukan beragama Islam menjengah sejarah agama masing2. Tidak ada tercatat dalam mana2 agama atau bangsa di dunia ini yang menghendaki persengketaan secara fitrahnya. Letakkanlah soal bangsa di dalam kotak yang tidak akan ditendang hempuk oleh sesiapa. Bagi yang Islam, ingatlah bahawa soal bangsa tidak akan ditanya di hari akhirat kelak, Tidak ada dalam mana2 ayat AlQuran atau hadis baginda Rasulullah yang mengatakan bangsa yang hebat akan menempatkan dirinya dalam syurga. Risalah Rasulullah bukan hanya untuk membangunkan sisi tauhid tetapi juga membangunkan sendi dan dasar akhlak mulia. Maka akhlak mulia inilah yang perlu kita pakai dalam menjalani kehidupan ini. Dan akhlak mulia ini jauh sekali mencaci dan mengherdik, mahupun memandang rendah pada oranglain dan sekalian sifat yang hodoh dan dibenci. Sekiranya kita menterjemahkan akhlak mulia ini dalam kehidupan, maka bukan sahaja agama dihormati malah bangsa juga tidak akan dicaci.

Mungkin aku hanya pandai berbahasa, tetapi inilah terjemahan dari pengalaman yang sejak di bangku sekolah berada di kalangan berbagai bangsa dan akhirnya mempunyai suami yang juga bukan sebangsa, sekufu dan sekaum. Namun aku yang bukan seagama dengan keluarga besar ini(hanya suamiku yang beragama Islam), yang ke sana sini bersama mereka dalam keadaan aurat yang dijaga, Alhamdulillah masih dihormati dan diterima di kalangan mereka, masih dikasihi dan dipeluk cium ketika berjumpa. Dan yang paling penting, tiada sekalipun ada halangan untuk mempraktikkan suruhan agama (solat, mengaji dan sebagainya) ketika bersama.

Maka di manakah persoalan bangsa atau siapa yang menjadi tuan di Tanah ini bila kita mampu hidup bersama dalam percikan keamanan dan bernafas bersama dengan kasih sayang? Siapa pula mampu menidakkan bagaimana muhibbahnya saling bertukar2 pandangan dalam adab dan adat yang berbeza? Bukankah semua manusia secara fitrahnya menginginkan kebaikan dan kesejahteraan?

Maka aku dengan rasa rendah diri.....sebagai bukan pakarnya dalam sejarah mahupun bahasa, masih merangkak menghidupkan sunnah dalam cermin kehidupan, terlalu mendambakan agar isu bangsa ini tidak lagi diperhangatkan sesedap rasa. Marilah kita memartabatkan kemanusiaan yang ada dalam diri...kerana itulah hakikat insan yang cintakan keamanan, walau di atas apa jua nama dan bangsa yang dipakai.



Saturday 17 January 2015

Bergaduh, bertengkar, berselisih faham.......seumur hidupkah perlu dilalui?

Sedar atau tidak, mengaku atau menidakkan...itulah antara hakikat hidup yang mesti dirasai dan dihadapi oleh mahluk bernama insan di mukabumi ini.

Perbalahan sebenarnya telah wujud sejak awal kehidupan lagi. Waktu bayi, bergelut dengan ibu masa hendak disuapkan makan. Ada saja benda yang disuap ke mulut tak rasa berkenan di tekak seorang bayi, yang tak boleh dijamah dengan gigi yang belum tumbuh..itulah yang teringin.

Dah membesar sikit, mula merempan nakkan barang mainan yang harganya sama dengan periuk letrik ibu, yg kadang2 pun dah bersepah2 di ruang tamu. Bila dah ke sekolah mula berlatih jadi pelakon bila malas nak ke sekolah, jenuh pulak nak berbalah dengan ibu yang dah masak dengan telatah anak. Sekolah menengah...? Waktu ni dah advance berbalah dengan semua ahli keluarga plus kawan2 di sekolah. Ada saja yang tak kena, ada saja penyebab nak jadi cerita.

Perselisihan ketika hendak memilih kerjaya...? Mungkin tidak sehebat mana. Perbalahan waktu hendak memilih jodoh...? Yang ini selalunya akan diiringi drama airmata, rajuk berpanjangan atau degil yang tak boleh diasuh. Akan ada yang mengalah, peperangan yang pastinya ada kalah dan menang.

Walau apa perbalahan dan pertengkaran yang mungkin pernah dilalui, ianya tidak sesakit menghadapinya dengan darah daging sendiri. Berselisih faham sehebat manapun, ianya pasti lebih menyakitkan jika disakiti atau menyakiti orang yang disayangi.

Perlukah terus 'berjuang' jika rasa diri itu benar, atau perlukah mengalah sekiranya tidak mampu lagi menyakiti dan disakiti? Apakah ada mahkamah yang adil untuk mengadili perbalahan dua insan yang tidak merasa bersalah dan memegang hak dia atas apa jua nama..?

Mahluk yang bergelar insan ini adalah sesungguhnya sebaik-baik kejadian oleh Allah, dibekalkan akal fikiran, lengkap dengan perasaan dan nafsu, cukup pula dengan kemampuan fizikal yang boleh diajar melakukan sesuatu. Namun sebaik-baik kejadian inilah yang kadang2 mengalahkan mahluk lemah yang lain bila sampai kepada perbalahan...

Berhujahlah dengan bijak menggunakan akal fikiran, pujuklah kedegilan dengan bekalan perasaan yang penuh kasih sayang, pandulah nafsu ketika memberontak, dan mengalahlah bila jalan penyelesaian tidak kelihatan. Pertelingkahan tidak memerlukan pemenang, pertengkaran bukannya suatu pertandingan, kerana jika begitulah maksud perbalahan, kita telah menyamakan diri dengan mahluk bernama haiwan.

Akhirnya, mungkin kita hanya perlu menyedari suatu hakikat yang pasti.....bahawa kita sedang menyeberang kehidupan ini kepada suatu kehidupan yang sangat pasti, kehidupan yang mahkamahnya sangat adil dan diadili pula oleh Yang Maha Adil...maka percayalah, natijah perbalahan sewaktu di dunia akan terlihat akhirnya dalam kitab tebal yang akan dihisab. Pilihlah hasilnya sekarang...selagi masih diberi waktu berbuat demikian.