Pearls in the sand

Pearls in the sand

Saturday, 17 January 2015

Bergaduh, bertengkar, berselisih faham.......seumur hidupkah perlu dilalui?

Sedar atau tidak, mengaku atau menidakkan...itulah antara hakikat hidup yang mesti dirasai dan dihadapi oleh mahluk bernama insan di mukabumi ini.

Perbalahan sebenarnya telah wujud sejak awal kehidupan lagi. Waktu bayi, bergelut dengan ibu masa hendak disuapkan makan. Ada saja benda yang disuap ke mulut tak rasa berkenan di tekak seorang bayi, yang tak boleh dijamah dengan gigi yang belum tumbuh..itulah yang teringin.

Dah membesar sikit, mula merempan nakkan barang mainan yang harganya sama dengan periuk letrik ibu, yg kadang2 pun dah bersepah2 di ruang tamu. Bila dah ke sekolah mula berlatih jadi pelakon bila malas nak ke sekolah, jenuh pulak nak berbalah dengan ibu yang dah masak dengan telatah anak. Sekolah menengah...? Waktu ni dah advance berbalah dengan semua ahli keluarga plus kawan2 di sekolah. Ada saja yang tak kena, ada saja penyebab nak jadi cerita.

Perselisihan ketika hendak memilih kerjaya...? Mungkin tidak sehebat mana. Perbalahan waktu hendak memilih jodoh...? Yang ini selalunya akan diiringi drama airmata, rajuk berpanjangan atau degil yang tak boleh diasuh. Akan ada yang mengalah, peperangan yang pastinya ada kalah dan menang.

Walau apa perbalahan dan pertengkaran yang mungkin pernah dilalui, ianya tidak sesakit menghadapinya dengan darah daging sendiri. Berselisih faham sehebat manapun, ianya pasti lebih menyakitkan jika disakiti atau menyakiti orang yang disayangi.

Perlukah terus 'berjuang' jika rasa diri itu benar, atau perlukah mengalah sekiranya tidak mampu lagi menyakiti dan disakiti? Apakah ada mahkamah yang adil untuk mengadili perbalahan dua insan yang tidak merasa bersalah dan memegang hak dia atas apa jua nama..?

Mahluk yang bergelar insan ini adalah sesungguhnya sebaik-baik kejadian oleh Allah, dibekalkan akal fikiran, lengkap dengan perasaan dan nafsu, cukup pula dengan kemampuan fizikal yang boleh diajar melakukan sesuatu. Namun sebaik-baik kejadian inilah yang kadang2 mengalahkan mahluk lemah yang lain bila sampai kepada perbalahan...

Berhujahlah dengan bijak menggunakan akal fikiran, pujuklah kedegilan dengan bekalan perasaan yang penuh kasih sayang, pandulah nafsu ketika memberontak, dan mengalahlah bila jalan penyelesaian tidak kelihatan. Pertelingkahan tidak memerlukan pemenang, pertengkaran bukannya suatu pertandingan, kerana jika begitulah maksud perbalahan, kita telah menyamakan diri dengan mahluk bernama haiwan.

Akhirnya, mungkin kita hanya perlu menyedari suatu hakikat yang pasti.....bahawa kita sedang menyeberang kehidupan ini kepada suatu kehidupan yang sangat pasti, kehidupan yang mahkamahnya sangat adil dan diadili pula oleh Yang Maha Adil...maka percayalah, natijah perbalahan sewaktu di dunia akan terlihat akhirnya dalam kitab tebal yang akan dihisab. Pilihlah hasilnya sekarang...selagi masih diberi waktu berbuat demikian.



No comments: