Pearls in the sand

Pearls in the sand

Wednesday 28 September 2011

Mengasihimu kerana Allah

Mengasihimu kerana Allah
kerna Dia membawa aku kepada takdir
suatu perjalanan hidup bersamamu
kerna Dia menganugerahi aku kekuatan
memandumu kepada perjalanan hidup kepada Nya

Mengasihimu kerana Allah
kerna kau mencetuskan rasa pengabdianku
kepada hidup dalam redha Nya
kerna kau menjadi kekuatan pada
kealpaanku demi kasih kepadaNya

Mengasihimu kerna Allah
dan selamanya keranaNya
kerna kasih ini adalah anugerah
dan rahmatNya....

Wajah Kematian.....menanti sebuah permulaan yang hakiki...

Pukul 6.17 petang - kisah perjalanan yang sudah menemui noktahnya untuk Maklang Sabri kuterima dari kekanda di Kuala Lumpur. Hidangan petang yg enak (walaupun tidaklah seberapa) bersama hubby kuteruskan walau hati terasa agak kelat. Dalam diam-diam aku mencongak...tak sampai dua tahun, sudah 3 kematian kuterima dari sebelah perkampungan keluarga di Dengkil. Dan dalam senyap2....kuhitung wajah kematian yang menunggu ku entah di mana.....sebuah kisah yg akan tamat di dunia yang amat sementara dan permulaan perjalanan yang sangat dan amat panjang di suatu kehidupan yang hakiki...

Dan bermulalah tazkirah untuk suatu diri yang kerdil ini....yang dosanya melata di merata bumi, yang masih merangkak kepada taubat yang istiqamah....

Kita pernah berada di tengah-tengah sedu-sedan dan kemuraman wajah kematian oranglain. Ketika wajah jenazah disingkap untuk ditatap buat kali terakhir, kita pernah menjadi salah seorang yang mengucup dahi siarwah. Kita jugalah antara orang yang menghadiahi bacaan yassin, mungkin kaki kita jugalah yang pernah sama menemani jenazah hingga ke liang lahad...dan selepas itu....selepas itu...di manakah kita....

Solat yang 5 minit dikerjakan 5 kali sehari itu rasanya sudah cukup buat kita...puasa sebulan yang dipaksa itu pun rasanya terlalu hebat untuk kita, daoat title 'Haji' dan 'Hajjah' itu pun rasanya cukup gah kerana dipilih Allah menjejakkan kaki ke tanah Mekah, sedekah yang ala kadar dan mengikut musim sudah memadai buat kita....dan cukuplah...cukup sajalah dengan amalan 'Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali'...yang semua ini seperti tiket free untuk ke mana-mana tingkat di syurga.

Rapuhnya pengertian iman buat kita....tololnya kita menjangka semua itu sudah cukup menangkis hasutan ahli kekal di neraka, yg tak pernah ambil cuti rehat memujuk kita menemani mereka di sana kelak. Dunia yang kita tongkatkan hari2 seperti syurga yang tak mahu dilepaskan, dan kematian yang akan menyapa bila2 masa seperti ada dateline yang kita tentukan.

Entah sedang apalah kita tika malaikat Izrael menyapa....sedangkan kisah mati adalah kisah menyayat hati, menyuramkan dan tak mahu diingat, sedang hati kecil mengatakan masih banyak perkara di dunia hendak digapai dan dilunaskan...

Sedarkah kita...dalam singkatnya waktu seharian, kita masih sempat menyelak akhbar harian, sedang sebaris ayat Al-Quran tak mampu kita zahirkan. Tiada sesalan berhabisan untuk hiasan dunia pada rumah, diri dan keperluan kita, tapi sayang benar nak menghulur pada saudara sendiri yang memerlukan. Kasihnya kita pada orang-orang yang menyahut impian duniawi kita, tak teringat pula pada dua nyawa tua yang membawa kita kepada dunia ini. Bangganya kita dapat mencontohi idola-idola pujaan hati, tak terasa malu sunnah Rasulullah tidak pernah langsung diingati dan dicontohi. Dan duhai...banyak dan berterabur lah perumpaan diri kita yang merasa hebat sebagai orang Islam...tapi kehebatan itu hanya disorak oleh para syaitan...

Duhai diri....kembalilah pada fikrahmu yang suci, yang hanya mahu membesarkan Allah dalam hidupmu, yang tindak-tandukmu hanya ingin mencari redha dan rahmatNya...kerana siapalah kita tanpa kasih sayangNya...

Wajah kematian...dan kematian....dan kematian.....suatu kepastian yang tiada bohongnya, suatu titik noktah yang pasti akan ketemu....apakah aku, apakah engkau dan kalian akan menantinya dengan suatu pengharapan dan kerinduan, atau masih berfantasi dalam mimpi yang dicipta sendiri.......

Sunday 28 August 2011

Kata-kata hati

izinkan hati berkata-kata,
kerana bisikannya tak mampu tedengar,
kerana lukisan keinginannya hanya terbenam tanpa suara

izinkan hati itu berkata2,
pasti akan tersenyum sang mentari
kerna pujian untuknya ikhlas semata2
kerana sungguh...tak pandailah ia berdusta

izinkan terus si hati itu berkata-kata
kerna mungkin suati hari yang tak pasti
seisi dunia akan mengerti, kalau pun cuba untuk tidak memperduli
akan nilai sebuah keikhlasan
yang tiada iramanya pada lidah yang tidak bertulang

izinkan lah hati itu menzahirkan segala-galanya..
dan akhirnya kau pasti akan tahu
cantik atau buruknya ia..
tanpa ada hijabnya....




Wednesday 20 July 2011

pelangi terakhir





mencari pelangi terakhir
di hujung kaki langit tidak bersempadan
sedang titis hujan sembunyi di balik awan
sedang mentari tak ingin menjadi kawan

menjejaki pelangi terakhir
di hujung lembah, gersang dan kontang
sedang sang bayu menyindir malu
sedang mentari menjeling megah

entah di mana...pelangi terakhir ku...
entah di hujung dunia, di lembah mana
sedang lelah sudah menyapa langkah
sedang keringat mengering sudah..