Pearls in the sand

Pearls in the sand

Wednesday, 6 June 2018

Rahmat Allah Itu Luas



Pandanglah ke bawah
untuk sedar nikmat yang melimpah
pandanglah ke atas
untuk insaf amalmu yang terbatas
moga di situ nanti takut dan harapmu bersemi


Kekadang mahmudah tidak dapat dicapai dengan amalan
tapi harus ditempa oleh kerikil ujian
sering kali kealpaan dan mazmumah diri 
diperingatkan oleh kesempitan rezeki


Sejauh mana kita mengasihi manusia
dibatasi oleh seutuh mana kasih kita pada Yang Esa
hitung kesyukuranmu
bukan kesukaranmu


Kekadang Tuhan menyempitkan
agar engkau tidak hanyut dalam kesenangan
kekadang Dia melapangkan
agar engkau tidak selalu dalam kesempitan
kekadang Dia melepaskan kau daripada kedua-duanya
agar engkau tidak bergantung kepada
sesuatu selainNya!


-Pahrol Mohd Juoi
(Petikan buku Di Mana Dia Di Hatiku)


Thursday, 24 May 2018

"Kalau seseorang itu tidak bersyukur kepada Allah, adakah itu dikatakan baik?


Sedangkan Allah memberikan segala-galanya secara percuma kepada kita, tapi kita tak pernah cuba untuk mentaatiNya.


Allah yang paling banyak berbudi kepada kita, tapi kita tak pernah mengenangNya.


Siapakah yang lebih jahat, setelah diberikan nikmat segalanya, kemudian dia menafikan segala nikmat itu daripada Tuhannya dengan melakukan bangkangan terhadap perintahNya?"


-Dr Mohd Shafiee Hamzah
(Bismillah Yang Hilang)


Nota diri : Kalau tak mahu buat apa yang Allah suruh, nak ikut siapa lagi? Kalau tak mahu berubah sekarang, nak tunggu bila lagi?

Thursday, 29 March 2018

Nukilan seorang pendosa

Ini lagu seorang pendosa
ketika mulutnya suka menuturkan dusta, fitnah dan makian semata,
dan telinganya selalu dahagakan mungkar dan lagha,
ketika matanya hanya menginginkan keasyikan dan kehendak nafsu,
dan seluruh anggota zahirnya memilih untuk tidak tunduk
sementara hati tidak menyanggah,
malah mengangguk setuju.

Inilah syair seorang pendosa
mengharap sinar pada musim kelabu
mencari setitis air di tanah gersang
mengangankan berteman bintang di langit
sedang debu di bumi pun tidak ingin menyelimuti.

Ini sesungguhnya sendu seorang pendosa
berkali-kali menghirup murka
berulang kali juga menagih redha,
berkali-kali tertawa di pagi hari
berulang kali juga merintih di dini hari.

Masih adakah ruang untuk sempitnya nafas seorang pendosa
masih mampukah mengheret langkah di hujung tebing,

Masih adakah keampunan di akhir penderhakaan...

















Thursday, 8 March 2018

Jika kita tidak boleh bersabar dengan kesusahan,
apakah mungkin kita boleh bersyukur bila dikurniakan kesenangan?
Yang sedikit pun kita sering berkeluh-kesah, pasti yang banyak pun tidak akan cukup buat kita.

Hakikat nafsu - tidak mungkin cukup, tidak pandai bersyukur, susah pula untuk bersabar. Menyalahkan takdir sudah menjadi kebiasaan. Menghukum oranglain sudah menjadi seperti lauk harian.

Ke manakah sebenarnya tujuan kita dalam hidup ini?
Apakah yang kita inginkan sebenarnya?
Bagaimanakah pengakhiran hidup yang kita angankan?

Atau semua ini hanya berlegar di luar kotak fikiran, kerana ianya soal remeh yang tak punya jawapan?

Berlarilah...mungkin kita belum terasa lelah lagi. Kerana itu mungkin kita belum lagi belajar akan hakikat sabar dan syukur. Mungkin juga kita hanya terikut-ikut dengan acuan hidup yang nafsu kita dan oranglain telah bentukkan. 

Mungkin nanti - mudah-mudahan, akan ada perhentian yang Allah pilihkan untuk kita di hadapan.
Dan mungkin waktu itu kita akan memahami hakikat hidup yang sebenarnya. Dan mungkin...mungkin waktu itu kita baru akan bermula untuk menanamkan iman, mematuhi syariat dan menyempurnakan akhlak. Bukankah itu maksud sebenar menjadi Islam dan mukmin sejati?

Atau...
Atau apakah penangguhan yang 'mungkin' berpanjangan itu akan didahului oleh kematian yang menjengah di pertengahan jalan?
Mungkinkah.....?



Tuesday, 6 March 2018

Di Balik Tabir Kematian

...mengapa ia menjadi lupa akan kematian?
Bagaimana ia boleh tertipu oleh sarana-sarana kesenangan yang tidak bermakna itu?
Bagaimana ia membanggakan kekuatan masa mudanya?
Kenapa ia boleh begitu ceria dan bersenang-senang sehingga lalai dari kematian yang datang begitu cepat, dan dari kehancuran yang telah menanti di hadapannya?
Dan bagaimana ia pernah pergi ke sana ke mari, lalu sekarang kaki dan tulang-tulang sendinya sudah membusuk di dalam kubur?
Dulu ia sangat fasih berbicara, tetapi sekarang ulat-ulat telah habis memakan lidahnya.
Ia yang dulu gemar tertawa terbahak-bahak, kini tanah telah melumat habis gigi-giginya.
Bagaimana ia dulu pernah mempersiapkan sesuatu yang sebenarnya yang sudah tidak berguna dalam waktu sepuluh tahun mendatang, padahal saat itu antara ia dan kematian terpisah oleh waktu satu bulan saja, sementara ia dalam keadaan lalai terhadap sesuatu yang telah direncanakan untuk dirinya sendiri, sehingga akhirnya kematian menjemputnya pada saat yang sama sekali tidak ia perhitungkan?
(Di Balik Tabir KeMATIan - Imam Al-Ghazali)
* ...di atas bait-bait nafas yang kian lelah, tidak inginkah lagi menghisab diri..?



Friday, 23 February 2018

Sempena Jumaat, penghulu hari, jom kita tanam niat baru dan laksanakan ia serta-merta :

Mulai hari ini, detik ini, kita hanya akan menggunakan mulut ini hanya untuk menyebut yang baik-baik, bercakap yang murni sahaja, jauh lagi untuk mengata, mengumpat dan menyumpah sesiapa.

Mulai hari ini, saat ini, jari jemari kita akan menaip yang baik-baik dan tidak lagi berjemaah untuk berprasangka, mengutuk dan mengherdik sesiapa.

Kalau tidak bermula sekarang, bila lagi?

Selalu sahaja niat itu ada, rasa lelah juga asyik menyimpan rasa marah dan tidak puas hati, tapi kaki masih kaku, belum mahu melangkah.

Jom...! Jom kita...!
Jangan bertangguh lagi. Berhenti berkata 'nanti' atau 'ini tidak salah' atau 'memang betul apa'. Itu skrip nafsu yang dibisikkan oleh syaitan yang dilaknat oleh Allah. Kita tidak mahu terjebak lagi dengan permainan syaitan yang mencari kawan di dalam neraka.

Jom rayu bantuan Allah.
Mulai hari ini, detik dan saat ini...
mulut dan tangan kita hanya untuk mencari redhaNya, dan bukan sesekali menjemput murkaNya.

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...jom sama-sama!





Tuesday, 13 February 2018

Berlantai dan berbumbungkan tanah

Sedang apakah aku sekarang?

Makan spaghetti aglio olio di Restoran Vivo yang aku gemari. Sedapnya memang tak terbanding di mana-mana restoran lain. Sekurang-kurangnya itulah pendapat tekak aku.

Makan seorang? Semestinya tidak.
Ada ahli keluarga seramai satu bas jumlahnya. Riang ria makan sambil bergurau senda. Family bonding mengikut katanya. Sesekali berkumpul, bukan senang nak menghimpun kesemuanya. Bila dah berjaya menemukan kesemua ranting pokok dalam family tree ni, havoc dibuatnya restoran besar ini.

Indahnya ketika berlantaikan tanah dan berbumbungkan langit, aku masih mampu melakukan semua ini.
Makan di mana mahu, apa yang termampu.
Berkawan dengan sesiapa, di mana jua.
Berjalan ke mana sahaja, selagi ada daya.
Malah mampu menghiburkan diri, secara percuma atau perlu menelan belanja.

Mungkin kerana aku ditakdirkan bebas dan berupaya begini, aku selalu terlupa kehidupanku ketika nanti berlantai dan berbumbungkan tanah sahaja. Mungkin aku lupa ketika inilah aku sepatutnya berfikir siapakah yang akan menjadi temanku atau apa yang akan menghiburku di alam yang tidak akan kubawa ahli keluarga seramai satu bas itu. Walau bagaimana sayangnya mereka kepadaku, tiada siapa akan meminta untuk dikubur bersama. Walau semahal dan sebesar mana rumah yang kubina, hanya liang sempit akan kuhuni. Meski besar pangkat dan kedudukan yang kugalas, tak mungkin dapat kugunakan untuk merasuah sang malaikat yang akan menyoal. Malah duit yang berkepuk banyak di bank tak akan dapat membeli bau-bauan syurga di liang sepi ini.

Aku yang hanya menyediakan bekal suam-suam kuku.
Aku yang pada waktu yang sama menghimpun saham untuk ke neraka.
Aku yang menongkat segala dunia dan isinya.
Aku juga yang kononnya percaya pada hari akhirat, tetapi tidak mengimaninya.

Bagaimanakah aku sekarang?
Menunggu tanah menyelimutiku, tidak ingin merenung nasib di alam akhirat, belum mahu berbuat sesuatu?


"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah  kepada Allah, dan hendaklah setiap manusia itu melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan sebagai bekalan hari esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan."
(Al-Hasyr 59:18)




Thursday, 8 February 2018



Ya Rabb,
di saat Kau mengujiku dengan kesenangan,
kurniakan aku kekuatan untuk bersyukur
dan tidak mengkufuri nikmatMu;
di saat Kau mendugaku dengan kesusahan,
rahmatilah aku kehebatan untuk bersabar
dan tidak menyalahi takdirMu.

Jadikanlah aku Ya Rabb,
hambaMu yang selalu ingin dinasihati oleh kematian
dan kerinduan untuk bertemu denganMu.

Friday, 19 January 2018

Dunia ini fana.
Sungguh! Sejak kecil lagi aku sudah diberi ilmu tentang dunia ini. Ia fana - tidak kekal. Ada kereta, kereta akan berkarat. Ada rumah, lama-kelamaan akan reput. Ada mak, ayah, suami, isteri, anak-pinak... semua pun akan mati. Fana kesemuanya. Benar, ini yang aku tahu.

Dunia ini fatamorgana.
Mataku sering mendendangkan puisi akan keindahan dan kedamaiannya. Tapi ia tidak seindah mana. Keindahannya menyesakkan. Damainya selalu menyempitkan. Bayangan mata tak mungkin dapat menandingi hakikat. Sungguh benar. Semuanya adalah fatamorgana belaka.

Aku tahu. Tapi aku sidungu yang selalu tertipu.
Sering diberitahu tapi hati lebih suka membantah.

Kata, percaya pada yg ghaib. Percaya mati itu benar. Percaya siksa kubur itu benar. Percaya hari perhitungan itu ada. Syurga neraka itu pun aku yakini. Segala perkara ghaib yang diceritakan, dibaca dan dipelajari...semuanya ada pada pengetahuan dan keyakinan yang tidak berbelah bagi.

Percaya. Yakin. Diimani.
Tapi mengapa masih ingkar? Mengapa masih lalai? Mengapa masih bertangguh?

Selari dengan usia yang bertambah, semua perkara pun aku upgrade kan. Kereta, rumah, anak, kerjaya, harta, dan tubuh badan!

Namun.
Dulu solat 5 ke 10 minit, sekarang pun begitu juga. Masih dengan surah Fatihah dan 3 Qul yang senang dihafal. Masih dengan bacaan yang tak berapa berízhar'dan berídgham'.Masih dengan bacaan solat yang tak faham benar maksud dan ajaran.

Dulu tutup aurat mengikut syariah sebab sekolah agama. Sekarang disesuaikan dengan kehendak naluri semasa - fesyen, kerjaya, cuaca dan berbagai lagi, Gelihati pulak bila selak album lama dengan tudung meleret dan berbungkus segala macam...zaman bebudak dulu, kata hatiku.

Dulu biasalah tipu nakal dengan mak ayah. Nak beli aiskrim di sekolah, beritahulah nak bayar yuran persatuan. Bukannya dia orang datang check pun, kena goreng hidup-hidup orangtua tu. Sekarang upgrade sikit. Mak ayah, suami, isteri, boss, kawan-kawan...sesiapa sahaja, bila-bila masa saja. Boleh pulak aku cakap, 'zaman sekarang ni tak menipu, tak boleh hidup.'

Dulu gaduh dengan adik beradik, sekarang semua orang boleh jadi kawan gusti mulut. Bergaduh pun pakai perkataan biasa-biasa saja, sekarang upgrade sikit - semua bahasa sumpah seranah dunia pun aku guna. Tak cukup bergaduh berhadapan, tak cukup guna suara, guna jaripun seronok jugak bila nak tunjuk power.

Dulu bersedekah memang tak pandai. Kalau ada pun, masa jalan dekat pasar malam. Ayah bagi 10,20 sen suruh letak di tangan pengemis. Masa tu sedih bebenor menengok pengemis tu, baju lusuh, selipar tercabut, badan pun kurus melidi, Sekarang amalan bersedekah itu masih diteruskan. Upgrade sikit nilainya. Upgrade jugak pemberitahuan kepada seisi dunia. Eh...tak riyak, jadi contoh pada oranglain je, kata hatiku.

Beginikah diriku untuk dipersembahkan di hadapan Allah?
Beginikah amalan untuk dipertimbangkan di neraca mizan?
Amalan wajib diringankan, amalan sunat jauh sekali!
Dunia yang fana dikejar, dijunjung. Akhirat yang kekal dipandang sepi.

Relakah aku menggantikan kemalasan, kelalaian dan penangguhan berpanjangan itu dengan siksaan selama-lamanya di akhirat?

Sanggupkah aku menghitung ribuan tahun disiksa di dalam neraka dengan kesanggupan mentaati perintah Allah sepanjang usiaku yang singkat ini?

Siksa benarkah untuk berlaku taat?
Susah sangatkah akur pada larangan?

"Wahai manusia! Sesungguhnya janji Allah itu benar, maka janganlah kehidupan dunia memperdayakan kamu dan janganlah (syaitan) yang pandai menipu, memperdayakan kamu tentang Allah."
(Faatir 35:5)













Saturday, 13 January 2018

Musafir itu.....adalah aku

Hari ini dia memulakan perjalanannya,
kembara yang jauh, yang tiada kembalinya.

Aku pernah berada di sisi para musafir,
pernah menatap wajah yang pucat, kering kerana darah sudah menghentikan tugasnya.

Mereka, para musafir sudah menjamah usia pelbagai,
seusia bayi sehari,
seuzur nenek 90 tahun.

Aku yang sudah berdekad mengharung hidup,
aku yang sedang memegang jawatan dewasa,
aku yang baru menginjak remaja....

Apakah masih tidak mahu mengambil pelajaran..
Tiadakah rasa akan menjadi musafir sebentar lagi, seperti mereka..
Sudah cukupkah bekalan,
sudahkah amalan sia-sia ditinggalkan..?

Aku melihat kematian
Aku menghantar simati ke kuburan
Aku menangisi pemergian
Namun aku tidak menginsafi, tidak muhasabahkan diri,

Jenazah itu adalah aku,
liang sempit itu adalah rumahku,
simusafir tanpa bekalan itu adalah aku...!


مِنْهَا خَلَقْنٰكُمْ وَفِيْهَا نُعِيْدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرٰى 
Darinya (tanah) itulah Kami menciptakan kamu dan kepadanyalah Kami akan mengembalikan kamu dan dari sanalah Kami akan mengeluarkan kamu pada waktu yang lain. (Taha 20:55)






Wednesday, 11 October 2017

Kita suka menjadikan orang yang berjaya, kaya dan cantik sebagai idola. Kita cenderung meniru semangat juang mereka, susah payah mereka dan kekentalan jiwa mereka. Kita mahu meneladani sejarah mereka dari biasa kepada superpower.
Mengapa tidak kita lakukan perkara yang sama kepada para Nabi yang telah menunjuk secara percuma jalan menuju kepada Tuhan. Mengapa kita memandang contoh tauladan para sahabat Nabi dengan sebelah mata? Apa yang menghalang kita dari melakukan taat dan tunduk kepada suruhan Tuhan?
Sedangkan harta tidak dibawa, pangkat dan kebesaran akan ditinggalkan, cantik dan glamour tidak berkekalan, hanya dibalut kain kapan dan berseorangan.
Bagaimana mungkin kita ingin berangan mendapat syafaat Nabi, jauh sekali keampunan dan keredhaan Allah?
Solat seumur hidup itu selalu lintang pukang, malah ada yang tanpa rasa bersalah ditinggalkan. Quran dibaca hanya pada bulan Ramadhan, malah ada yang tidak pernah ingin mempelajarinya. Aurat tidak dijaga, malah bangga mempamerkannya. Ibubapa tidak lagi dikasihi dan dihormati, malah diderhakai semahunya. Hanya bersahabat dengan orang yang berkepentingan, anak-anak yatim dan fakir miskin dibiarkan dan dipandang hina.
Syurga mana yang kita angankan, neraka mana yang akan kita hindarkan...sedangkan amalan dan akhlak tidak membawa kita hampir sedikit pun pada redha dan kecintaan Allah?
Apa sebenarnya yang kita inginkan?
Dunia dan segala isinya?
Atau Allah dan RasulNya?
Sungguh...sungguh! Kita adalah pendosa yang terleka...
"Ya Allah, perlihatkanlah kepada kami yang benar itu benar, dan kurniakanlah kami untuk dapat mengikutinya. Dan perlihatkanlah kepada kami yang salah itu salah, dan kurniakanlah kami untuk dapat menghindarinya. Janganlah Engkau menjadikannya samar di hadapan kami sehingga kami tersesat."

Wednesday, 4 October 2017

Bertemu Berpisah Hanya keranaMU

Saat ini oh TUHAN...
Kami menilai di dalam hati sendiri
Saatnya pasti tiba untuk kami merasai
Apa itu perpisahan abadi
Apa itu pergi yang tidak akan kembali

Saai ini wahai TUHAN...
Kami tidak mampu menghitung lagi
Kerana terasa kecil benar amalan kami
Apakah sudah cukup sebagai mahar untuk meraih syurgaMU
Kami sendiri tidak pasti

Saat ini wahai TUHAN...
Kami muhasabah kembali
Rasulullah telah lama kembali pergi
Kini yang tinggal hanya kami untuk mengikut sunnahnya
Sedangkan ingin benar kami menemuinya kekasih yang sejati

Saat ini TUHAN...
Kami memohon agar KAU tabahkan hati kami
Daripada saat ini hinggalah KAU takdirkan
kami harus pergi
Agar tetap sentiasa berada di dalam agamaMU
Jua supaya kami tidak akan tersesat ketika nyawa tiada lagi

namun TUHAN...
Andai telah tiba perpisahan abadi
Mohon kami Ya ALLAH...
Temukan kami semua di syurga menanti
Seperti yang telah ENGKAU janjikan kepada kami
Bahawa bertemu dan berpisah hanyalah keranaMU

-Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
(Bicara ini Demi Ilahi)

*bila tiba-tiba aku mengingati dan merindui amanah dan tutur katamu...

Wednesday, 27 September 2017

Bagaimanakah kita...?

Azan Isya' sudah 1 jam berlalu. Kita masih di hadapan tv, menghadam slot cerekarama yang belum tamat, sambil mulut mengunyah mesra keropok yang hampir habis.


"Kejap aa..jap lagi baru gi solat," tingkah hati kecil kita.
Sekejap kita itu sudah pun melalut lebih 1 jam. Rasa bersalah pula kalau kita berhenti menonton separuh jalan.

Ada jaminankah kita akan bersolat selepas itu? Atau pastikah masih ada nafas selepas 1 jam?

Jika kita diizinkan Allah untuk dapat bersolat selepas itu, pastinya kita melakukannya tanpa rasa berdosa. Asal boleh solat sudah cukup baik untuk kita. 5 minit di sejadah sudah cukup untuk menempah pahala ke syurga. Itupun, dalam masa 5 minit bersolat itu, segala isi dunia berada dalam fikiran kita. Mulut hanya menuturkan bacaan solat, hati dan fikiran sudah mengembara beratus-ratus kilometer. Sudahlah lewat, lalai pula.

Apakah hati kita merasa apa-apa? Tidak. Tak pernah.

Suatu masa lain kita mendapat tahu artis lelaki yang kita minat (and kita ni perempuan misalnya) akan datang ke tempat berhampiran kita. Kita akan pastikan kita akan pergi..no matter what. Tak dapat bergambar pun tak apa, asal boleh tengok live dari jauh pun jadilah. Kalau dapat bertentang mata dah macam dapat bonus 1 juta. Tiba masa, ada saja aral menghalang (padan muka kita!) Tertengok pulak kawan kita update di fb, dia dapat bergambar berdua, malah dapat bersalaman pula. Macam nak meletup dada menengoknya. Meraung separuh gila kita, it's like...that's it! I'm finished!

Berbuat dosa tidak merasa sedih, tetapi mampu mengeluarkan airmata kerana terlepas melakukan dosa!

Bagaimanakah kita ini?
Hendak mencari redha Allah atau tidak peduli pada murkaNya?
Mahu tunduk atau biar ingkar?
Dunia ini mahu ditunggang semahunya, akhirat seperti tak akan ditempuh?
Syurga..? Atau neraka..?
Mukmin? Munafik? Atau kufur?

Kita perlu memilih. Sekarang. Jangan diperdaya lagi dengan bisikan syaitan yang selalu membisikkan 'nanti'. Kita tidak tahu apakah 'nanti' itu akan tiba. Dan entah bagaimana pula bentuk 'nanti' itu. Semuanya kita tidak tahu. Maka berhenti berfikir seperti kita tahu apa akan berlaku selepas saat ini. Kalau mahu berubah, sekarang. Mulakanlah pencarian ilmu untuk merubah diri. Mohon Allah tunjukkan jalannya, mohon kekuatan hati untuk bermujahadah, mohon belas kasihanNya agar dapat kekal di jalanNya. Bukan perubahan separuh jalan, bukan suam-suam kuku lepas tu lesu.

"Dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?"
(Al-An'am 6:32)




Thursday, 14 September 2017

Esok (apa yang pasti)



Enaknya hidangan makan tengahari ini.
Udang sambal, kobis masak lemak dan ikan goreng.
Mungkin tidak semewah mana,
namun kasih sayang dari tangan yang memasak dan menghidangnya,
ibarat hidangan diraja yang tiada tolak bandingnya.

Seronoknya perbualan petang ini.
Gurauan dan usikan bersilih ganti.
Begitu rupanya nikmat bersahabat,
teman yang sentiasa di sisi,
susah dan senang diharung bersama.

Damainya malam ini.
Nyenyaknya tidur beralaskan tilam dan bantal empuk.
Alat penghawa dingin mengulik lagi tidur yang lena.
Episod hari ini melabuhkan tirai,
dalam dengkuran yang panjang dan gagah.

Esok.

Esok tiada lagi kasih sayang dalam lauk yang enak.
Tiada lagi tangan yang menyenduk nasi dan lauk.
Tiada lagi hidangan mewah menjamah mata.

Esok.
Esok hilang sudah nikmat hilai tawa.
Sahabat sejati tidak lagi menunggu.
Sendirian, sepi menggigit segenap ruang.

Esok.
Esok malam yang damai tidak lagi menjemput lenanya tidur.

Tilam dan bantal empuk sudah berganti kepalan tanah.
Episod hari ini membuka tirai pada perjalanan yang maha panjang.

Tak mungkin dapat berpatah kembali.

Kekal, sangat kekal.






Monday, 4 September 2017

Epilog Kehidupan

Pejamkan matamu.
Bayangkan.
Fikirkan.
Perlahan-lahan...
Satu persatu.

Kau terbaring di atas katil...lemah, hilang segala daya.
Mata terpejam. Tubuh terbungkang.
Ibu ayah ada di sisi. Suami atau isteri sedang memegang erat tanganmu. Anak-anak sedang meratap hiba.

Namun semuanya bisu. Dingin dan beku. Kau tidak mendengar apa-apa. Kau tidak merasakan apa-apa. Masa seakan terhenti. Dunia seakan berhenti berputar.

Kau tahu maksudnya. Kau faham kini. Inilah yang pernah kau baca dan dengar. Mungkin ini juga pernah kau saksikan. Sekarang kaulah watak utamanya - sinazak yang sedang menghadapi sakarat.

Tak mungkin boleh berpatah balik. Untuk meminta penangguhan pun pasti tidak. Ini bukan mahkamah dunia. Ada rayuan, ada ulangan perbicaraan, ada penangguhan hukuman. Ini hanya pelaksanaan yang pasti akan berlaku. Tiada awal sesaat, tidak lewat sedetik pun.

Kau mula terfikir detik-detik akhir sewaktu kau masih mampu membetulkan yang salah dan memulakan kebaikan yang tertangguh. Solat yang masih lintang-pukang, puasa yang masih terhutang, zakat yang dilupakan dan haji yang selalu ditangguhkan.

Sebelum kau terlantar begini, kau sedang seronok bersuka-ria dengan kawan-kawan. Majlis ilmu tidak pernah kau duduki. Nasihat baik selalu sangat kau tolak ketepi. Lidahmu banyak menuturkan yang bukan haq, Adabmu selalu kelaut.

Mana kebaikan yang kau harapkan dapat membantu menghadapi sakarat ini?
Mana amal soleh yang akan membelamu di hadapan mahkamah Allah kelak?
Segala penyaksian akan membongkar kedurhakaanmu sebagai hamba Tuhan!

Dadamu sedang berombak kencang. Nafasmu sudah hilang iramanya. Kau sedang dilambung sakarat yang maha dasyat. Siiblis datang bergerombolan untuk tugasan yang penghabisan.

Ke mana halamu kini?

Baru kau teringat apa yang pernah diberitahu kepadamu akan azabnya maut. 
Baru kau terasa akan sepi dan sempitnya di kuburan.
Baru sekarang....barulah sekarang kesalan memanjat pada hati kecilmu.

Bukankah sekarang mahu kau campakkan segala apa yang kau miliki dan kejar tanpa henti. Kalau boleh kau mahu gadai semuanya hanya untuk membeli sekelumit masa untuk kau hempukkan dahi ke tanah. Kalaulah boleh kau memohon malaikat Izrael datang ketika kau berendam airmata dalam sujudmu. Kalaulah...

Tidak, kau tahu tak mungkin. Pasti tak mungkin.

Perlahan-lahan
Satu persatu.
Fikirkanlah.
Bermulalah.
Lakukanlah.
Sekarang.

Sekarang juga!



Saturday, 2 September 2017

La Tahzan

La Tahzan,
La Tahzan.
Janganlah airmatamu hari ini melupakan engkau pada banyaknya nikmat yang telah membuat engkau ketawa.
Lihatlah pada mentari yang menyinar, pada malam yang merehatkan, segalanya telah diseimbangkan..
Seperti itu juga dukamu, pasti ada bahagia yang menanti.
Sabarlah....sungguh besar nikmat penantian sabarmu, percayalah.


Sungguh, percayalah..!
Usah dipandang pada megahnya rumah, gagahnya kenderaan, meriahnya anak-pinak, melimpahnya duit ringgit,
Jangan kau ukur kebahagiaan oranglain serupa denganmu,
Ketenanganmu ada pada sekeping hatimu, bajakanlah dengan iman, siramlah dengan sabar dan syukur, kelak akan kau tuai dengan redhanya Tuhan.

Fahamilah,
Sungguh...fahamilah..!
...bahawa apa yang diberi olehNya kepadamu
melebihi harapan dan doamu sendiri.

Wednesday, 23 August 2017

Solatlah, mintalah  belas kasihan dari Allah,
agar seluruh hati dan jiwa ragamu hadir di dalam solat itu.
Solatlah, seakan Malaikat Maut bersamamu
dan sedang menunggu salam akhir di dalam solatmu.

Berusahalah, carilah rezeki untukmu dan keluarga,
mohonlah pertolongan Allah agar ada keberkatan dalam usahamu.
Berusahalah, janganlah kau fikir
apakah ada esok untuk menuai hasilmu.

Pandanglah orang-orang di sekelilingmu,
Jika mereka orang yang kau kasihi,
panjatkanlah doa agar Allah merahmati kasih sayang itu hingga ke syurgaNya;
Jika mereka orang yang pernah kau sakiti dan menzalimimu,
mohonlah hati yang tawadhuk yang mampu memohon maaf dan mengampuni.

Kita hanya pengembara,
Jangan diulik mimpi untuk kekal di sini.


Wednesday, 9 August 2017

Sepasang mata dan telinga,
Sepasang kaki dan tangan,

Lidah yang boleh menuturkan kata,
Akal yang mampu berfikir,
Hati yang berupaya memahami.

Sudah mulakah mensyukuri anugerah Tuhan..
Sudah belajarkah menggunakannya mengikut acuan iman..

Sedang apakah matamu sekarang,
Ke manakah haluan kakimu melangkah,
Apakah yang dikerjakan oleh si tangan,
Bicara apa yang sedang lidahmu lontarkan,
Sudah berfikirkah akalmu sebelum mengarah tindakan,
Fahamkah sudah hatimu akan taqarrub kepada Tuhan..,?

Cukuplah pandangan mata yang tidak dijaga,
Akan telinga yang tidak dihalusi pendengarannya,


Tidak cukupkah  lidah yang sewenangnya berbicara dosa,
Kau tambah pula saham jari mengutuk dan mencela.

Sudah terjaminkah keampunan Allah buatmu,
Lupakah pada kesaksian anggota tubuhmu nanti,
ketika taubat sudah terlambat,
ketika maaf sudah tidak berguna.

Dunia kian membongkok tua,
Modal usiamu kian susut,
Belajarlah mensyukuri,
Mulakan dengan segenap ruang tubuhmu,
Sekarang.
Sekarang.
SEKARANG.





Thursday, 3 August 2017

Alasan demi alasan

Berhentilah memberi alasan!

A : Bila nak solat ni, azan dah pun dilaungkan.
B : Eh, kejaplah..sikit lagi ni..drama ni dah nak habis, 10 minit pun tak sampai, Kang tengah solat
      teringat pulak apa yang jadi kat hero yang tengah kena belasah ni.

A : Jom gi dengar ceramah, tajuknya memang nak kena setepek kat muka - 'Sudahkah bersedia
      untuk mati?'
B : Allah...betul ke? Esok kerja pagi, pukul 6 nak kena gerak dah dari rumah. Takut ceramah habis
     lambat, balik pun dah lewat, risau melalut pulak tidurnya nanti.

A : Cubalah tutup aurat dengan sempurna, belajar-belajar labuhkan tudung, pelan-pelan pakai stokin,
      in shaa Allah lama-lama sempurnalah nanti.
B : Issh...ni dah pakai tudung dah ok apa..cuba banding dengan orang yang langsung togel 
      je..tengoklah esok-esok bila Allah dah gerakkan hati.

A : Dah la tu, tak payahlah nak panjang-panjangkan cerita pasal orang..mengumpat dah namanya ni,
      kang jenuh pulak merangkak nak mintak maaf.
B : Ada pulak mengumpat...ni kebenaran ni, kalau tak betul tak adanya orang nak bercakap. Untuk
      pengajaran kita jugak ni.

Inilah antara alasan-alasan yang aku dan kau selalu ucapkan. Alasan yang kadang-kadang kita sendiri kagum bagaimana kita mampu memikirkannya. Kreatif, penuh inovasi - tetapi bebal. Bebal kerana kita lupa kadang-kadang alasan yang kita beri memakan diri sendiri. Dan semestinya bebal kerana kita mencari alasan untuk mengelak dari berbuat kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

Segala macam drama yang kita nak tonton, awal-awal dah pasang niat nak duduk depan tv sebelum cerita bermula. Siap dengan air limau segelas dengan keropok berbagai perasa. Siap bagi amaran 'do not disturb'. Punyalah kita nak menghadam cerita tu. Tak ada pulak terpasang niat nak bersedia depan sejadah bila masuk waktu solat. Seakan-akannya kita beritahu Sang Pencipta ..'kejap ya Tuhan, Kau kan Maha Pengampun...aku memang nak solat, Kau pun tau niat aku...'. Akhirnya kita pun bersolat. Solat ala-ala mencuri. Curi waktu rukuk, curi waktu sujud...punyalah macam kilat kita nak habiskan solat. Drama satu jam kita boleh hadap, solat 5 minit pun macam lama sangat nak selesaikan.

Bebalkah kita? Betul - bebal.

Nak dengar ceramah yang sekali setahun tu pun kita mengorek alasan. Ustaz mana yang bagi ceramah tu...best ke dia? Tajuk boring tak? Start pukul berapa...lepas isyak? Bila pulak nak habisnya? Seribu satu persoalan yang meligatkan kepala mencari alasan. Dah tu..masa musim bolasepak yang tayangannya pukul 2,3 pagi boleh pulak kita bertoleransi. Tak ada pulak fikir nak kena bangun awal pagi untuk ke pejabat. Sanggup pulak terhengguk-hengguk kat pejabat sebab kononnya tak cukup tidur. Rela bangun pukul 2,3 pagi untuk bolasepak, tak rela pulak untuk bangun mengerjakan tahajjud. 'Suci' benar pengorbanan kita demi melayan minat dan kegilaan pada sesuatu.

Bebalkah kita? Sunguh betul -bebal.

Kita selalu mencari alasan bila tidak mahu (bukan tidak mampu) berbuat sesuatu. Kita selalu merasa cukup dengan kebaikan dan kewajipan yang telah kita laksanakan. Kita yakin kekurangan kita akan diampunkan. Kita akan cuba bandingkan 'kelebihan' kita dengan orang yang kita rasa kurang dari kita. Bila kita terpaksa melihat ada orang lain yang lebih baik dari kita, kita akan cari alasan lain pulak - alah, nampak je bagus tu, entah-entah hati kat dalam macam kerang busuk. Kita terjemahkan ala-ala baik kita itu sebagai cukup murni dan sudah layak untuk digelar mukmin, mukminah sejati dan sudah menempah first class ticket untuk ke jannah.

Bebalkah kita? Sungguh...jawablah sendiri.

Sudah...sudahlah.
Berlapang dadalah dengan teguran, berlembut hatilah dengan nasihat. Berhentilah memberi alasan. Carilah kekuatan untuk melakukan. Tingkatkan amal. Tinggalkan yang mungkar. Perlahan-lahan, sedikit-sedikit. Kita tak perlu berlari, tetapi jangan berhenti. Yakinlah Allah melihat segala usaha kita. Dia sedang menghitung segalanya.