Pearls in the sand

Pearls in the sand

Friday, 11 September 2015

Didiklah hawa nafsumu...!

Betapa sukarnya menguruskan hawa nafsu.

Benar...malah sangat benar. Belum lagi memperkatakan menundukkan hawa nafsu, menguruskannya pun jadi lintang-pukang kita dibuatnya. Huru-hara hidup hendak memikirkan nafsu mana yang perlu diurus, dididik atau dibenam terus. Memikirkannya pun sudah satu hal, melakukannya....?

Tak payah pening-pening memikirkan nafsu mana yang sukar kita didik. Cuba lihat sekeliling rumah kita. Ada perabot yang berbagai, alat elektrik yang berbagai jenama, hiasan rumah yang serba indah dan kemilauan, rumah besar yang luas mata memandang (sehingga perlu dipasang loceng rumah berelektrik di pintu pagar). Mungkin kita boleh bertanya - yang mana satukah keperluan, dan banyak manakah kepuasan . Tengok pula di luar rumah, pada kereta yang kita yang beberapa buah...kecil, besar, kancil, gajah...semuanya ada label, kereta untuk ke pasar, kereta ke pejabat, kereta untuk melancong sekeluarga...Subhanaullah, besarnya kepuasan nafsu yang perlu diturut.

Kemampuan membolehkan segalanya? Duit yang susah payah dicari kalau bukan untuk kesenangan keluarga, untuk siapa lagi...? Bukannya mintak duit orang pun, sekadar buat pinjaman bank yang tidak menyusahkan kita membayar ansuran bulanan (eh...betul ke tak susah...?). Alah, sedekah pun kita buat jugak, bukannya kita lupakan oranglain pun. Orang Melayu perlu buktikan kepada bangsa lain, bahawa kita pun boleh menguasai ekonomi negara dan hidup senang dengan usaha kita.(..cerita bangsa pulak dah....)

Come on la..(inipun biasa didengar jugak), takkan lah nak tunjuk zuhud sangat...Nampak sangat orang Islam ni lemah...!

Astaghfirullahhal'azim.

Ini baru tengok nafsu kebendaan, belum dijengah nafsu makan, nafsu tidur, nafsu perhiasan, nafsu bercakap dan seribu satu nafsu yang tidak pernah dididik, apatah lagi dikawal. Nafsu inilah yang lahir bersama kita, dibekalkan bersama sebagai salah satu ujian, yang dengan kejayaan mendidik dan memandunya ke arah yang betul akan memacu kita kepada jalan kerahmatanNya. Namun kita - aku yang sedang mengetuk kekunci keypad ini atau kamu di luar sana, tanpa segan silu, menakhodakan perintah nafsu, dari sekecil-kecil kuman hingga sebesar-besar dinasour.

Tidak berilmukah kita? Tidak pernahkah duduk di majlis ilmu untuk mengetuk kejahilan? Tidak mahukah duduk menyelak kitab-kitab agama yang melambak? Atau paling tidak....membaca wahyu Allah di dalam kitabNya yang telah diwasiatkan oleh Junjungan kekasihNya...?

Sungguh....!
Marilah kita mengendalikan hidup ini dengan seadanya...seada yang membawa kita ke matlamat kita dihidupkan, kepada pengabdian dan penyerahan kepadaNya semata-mata, kepada kampung akhirat yang pasti kita menemuinya.

Didiklah nafsu yang liat membaca Al-Quran. Tarbiahlah nafsu yang sentiasa dahagakan hiburan yang melalaikan. Hempuklah nafsu yang tidak pernah puas, yang tidak kenal perkataan cukup, yg sentiasa melagukan perkataan lagi...lagi...dan LAGI. Tanyakanlah pada qalbumu yang paling dalam, apakah di dalam memenuhi kemahuan nafsumu itu, terkandung hak oranglain yang sepatutnya kau tunaikan. Perlahan-lahan perhatikanlah diri dan kehidupan...apakah telah berlandaskan syariat atau berkerajaankan nafsu dan bisikan syaitan...kerana sesungguhnya aku sedang mengingatkan diriku dan kamu, bahawa bukan kelazatan dunia ini yang akan membantu kita menghadapi sakaratul maut, dan tidak sekali-kali jua ia akan menemani kita di alam kubur, tidak juga membantu kita ketika dihisab....dan tidak sekali-kali ia sebagai mahar untuk ke syurga.


أَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنْتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلا أَمْ تَحْسَبُ أَنَّ أَكْثَرَهُمْ يَسْمَعُونَ أَوْ يَعْقِلُونَ إِنْ هُمْ إِلا كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ سَبِيلا
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya. Maka apakah kamu dapat menjadi pemelihara atasnya?. Atau apakah kamu mengira bahwa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. mereka itu tidak lain, hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya (dari binatang ternak itu).” (Surat Al-Furqon 43-44)











No comments: