Pearls in the sand

Pearls in the sand

Monday, 19 September 2016

Bermula Sebelum Ia Berakhir

Mencari titik permulaan untuk melakukan pembaharuan dalam hidup sememangnya satu cabaran. Bukan seperti cabaran mendaki Gunung Broga untuk silembik macam aku. Atau bersyarah selama 10 minit di atas pentas untuk sipemalu yang sangat penyegan,

Bukan. Ini cabaran jauh lebih tercabar, walau kadang-kadang pembaharuan yang baik itu hanya melibatkan diri sendiri. Ya, diri sendiri dan pencabar yang paling kental - nafsu.

Aku teringat suatu kisah. Kisah penyanyi Yusuf Islam (dulunya Cat Stevens) yang mendapat hidayah ketika sedang bergelut dengan maut ketika hampir lemas di lautan. Ramai juga orang Islam yang melihat sendiri bagaimana mayat dikafankan dan akhirnya dibaringkan di dalam lubang semuat-muat tubuh badan, tetapi tidak terusik hatinya, tidak langsung terbayang itulah juga tempat pembaringan terakhir sipenonton jenazah.

Kematian?
Inilah topik paling aku gemari. Bukan saja-saja menyukai. Tapi ia ibarat pengetuk pada kelalaianku, ibarat alarm bila aku hilang dalam solatku, malas bermuhasabah, seronok melayan kehendak yang entah apa-apa. Kematian kerana sesungguhnya dengan berasa ia terlalu hampir, aku mula mencari titik permulaan yang entah kali keberapa itu.

Selalu aku terfikir (bila mendapat khabar kematian), apakah agaknya yang difikir dan diinginkan oleh simati sekiranya dia tahu dia akan pergi meninggalkan dunia dan segala keseronokannya sebentar lagi. Sekiranya dia berada di kelab malam, apakah itu tempat yang akan dipilihnya untuk dijemput oleh malaikat Izrael? Kalau sedang mengumpat dan mengeji, apakah itu aksi terakhir yang diingininya sewaktu nyawa direntap oleh Sang Pencabut Nyawa?

Okey, tak perlu sibuk bertanya kepada oranglain. Tanyakan pada si'aku' ini..

Benar, kalau boleh aku nak berada di atas sejadah, sedang sujud, atau ketika membaca ayat-ayatNya, atau kurang-kurang ketika berwudhuk, atau setidak-tidaknya ketika tidak melakukan kelalaian malah dosa. Tapi apa guna berangan kalau tidak mahu mengusahakannya. Kalau rasa berdosa, taubatlah. Kalau selalu lalai, sedarlah. Dan takkan termampu aku melakukan semua itu kalau tidak mendapat pertolongan dari Allah. Maka pohonlah...dan pohonlah hanya kepadaNya, tanpa penat dan putus asa!

Aku adalah pendosa. Kalian yang membaca juga, malah kita semua. Aku tidak mahu berkata dengan selambanya, "Alah, semua orang pun mati..so what?" Aku mahu berbisik pada kalbu yang paling dalam - mati itu hanya permulaan pada perjalanan yang sangat panjang. Ia mungkin jadi rehat yang mendamaikan kalau amalan baikku yang menjawab persoalan. Atau ia akan menjadi pembuka pada penyiksaan yang maha dasyat kalau dosa-dosaku yang menjadi bekalan.

Bagaimana mungkin sipendosa seperti aku dan kalian dapat mengharungi perjalanan yang panjang itu kalau hanya leka membayangkan kebaikan sikit yang kita pernah lakukan itulah yang akan menjadi penyelamat. Tak mungkin...!Percayalah....Takkan mungkin!

Marilah kita cari titik permulaan itu....bermulalah! Mulalah belajar mendirikan solat dan bukan hanya melakukannya. Mulalah beramal dengan ajaran Al-Quran dan bukan hanya membacanya. Mulalah meninggalkan perkara yang sia-sia dan bukan menangguhkannya. Mulalah bermujahadah dengan beribadah di waktu tengah malam dan bukan hanya mengangankannya. Marilah bermula duhai aku, kau dan mereka. Dan pohonlah kekuatan daripada Alah, Yang Maha Rahman untuk terus melakukannya. Jika tersungkur, bangun semula, mulakan lagi...dan lagi.....dan lagi, selagi nafas masih diizinkanNya.

"Dan bersegeralah kamu mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa. (Iaitu) orang yang menafkahkan (hartanya) di waktu senang mahupun susah, orang yang menahan kemarahannya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan. Dan (juga) orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak lagi meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui."  (Ali-'Imran, 3:133-135)

No comments: