Pearls in the sand

Pearls in the sand

Wednesday, 17 December 2008

Menyelami makna pengorbanan

Hari Raya Aidil Adha sudah seminggu berlalu, selalu sangat aku terlewat menghitung bicara namun kupanjatkan syukur, kerana masih diberi izin olehNya untuk mengetuk kekunci laptop dan merakam sesuatu buat tatapan semua.
Selalunya waktu-waktu beginilah aku melapangkan sedikit masa, menghitung setiap detik yang berlalu, menghisab setiap langkah, dan dengan belas ihsanNya, mampu memperbaiki apa yang cacat, mewujudkan apa yang tiada, menambah apa yang kurang dan tentu sekali melempar jauh apa yang keji.
Aku teringat wajah-wajah yang terlalu sinonim dengan makna pengorbanan. Tanpa perlu menunggu bulan pengorbanan tiba, mereka sentiasa melakukan pengorbanan tanpa perlu diminta, tanpa kadang-kadang mahu diterima. Keringatnya, kasih sayangnya, airmatanya sekalipun....semuanya mengiringi pengorbanan yang dilakukannya untuk orang-orang yang dikasihinya. Selalu sangat aku rasa tersentuh bila teringat wajah-wajah itu, dan aku tahu setiap kali musim raya (yang secara tak langsung membawa harapan untuk berkumpul bersama-sama) airmatanya akan tumpah lagi.
Duhai...sianak yang sanggup berkorban wang ringgit menumbangkan lembu (untuk menyelami makna pengorbanan pastinya) tidak pula redha mengorbankan masa mendail nombor mananya khabar siibu.
Duhai...siisteri yang sanggup mengorbankan wang gajinya untuk dihulur kepada orangtua, selalu benar terlupa mengorbankan penat menghulur senyum kepada sisuami.
Duhai...sisuami yang sanggup mengenepikan wang simpanannya untuk bersedekah, tidak terdaya mengorbankan keegoannya memohon maaf atas kesilapannya kepada siisteri.
Dan duhai...duhai.....betapa ramai hamba Allah yang terleka dari menghisab diri yang sudah terlalu alpa...
Ramai antara kita yang sentiasa sibuk berterima kasih dengan oranglain sedang kita lupa kepada siapa yang perlu kita halakan keikhlasan itu terlebih dahulu. Ramai juga yang mampu berkorban untuk banyak perkara, namun terlalai dari memahami makna pengorbanan itu sendiri.
Mungkin kita perlu memahami peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakanda baginda, Nabi Ismail AS dari setiap sudut dan menghalusinya agar makna pengorbanan yang sebenarnya tidak hanya terhenti dengan amalan mengorbankan lembu, kambing atau unta setahun sekali itu. Sesungguhnya ia lebih dan lebih dari itu.....
Dan dalam waktu-waktu begini, ketika menanti kepulangan lelaki yang kucintai itu dari masjid, aku terasa sayu mengenangkan makna pengorbanan yang telah diadaptasinya ke dalam kehidupan kami sekeluarga. Mudah-mudahan ingatan itu akan sentiasa menyuntik semangatku, walau dengan sekurang-kurangnya mengikhlaskan diri menunggunya di muka pintu dengan senyuman....