Pearls in the sand

Pearls in the sand

Monday, 10 October 2016

Semalam makan kambing bakar yang sedapnya hingga menjilat jari. Esok makan kambing bakar lagi ke? Gulai kambing pun belum tentu lagi.

Minggu lepas seronok benar jumpa kawan-kawan sekolej, makan dan gelak macam tak ingat dunia. Minggu ni ada gathering lagi ke? Eh! Takkanlah...tahun depan pun tak boleh jamin dapat jumpa.

Bulan lepas satu keluarga pergi melancong ke Istanbul, masyaAllah...cantik sungguh tempat-tempat di sana. Bulan depan nak pergi mana pulak ya? Entah-entah ke Langkawi pun tidak.

OK - jom tukar tune.

Tahun lepas kereta second hand yang dah pakai sepuluh tahun tu lah yang mampu ayah beli. Tahun ni minta maaf la nak naik kereta buruk tu, ayah dah mampu beli kereta Toyota Camry!

Masa sekolah rendah punyalah susah nak memahami cikgu ajar, sampai berpinar-pinar anak mata. Sekarang di sekolah menengah rasa senang sangat, sampai rasa nak tolong cikgu ajar kelas lain pulak!

Dulu sememeh benar Eton kat sebelah rumah, tambah dengan badan serupa tong drum..nak mengorat pun tak sampai hati. Tapi sekarang Eton cantik bebenor la pulak, slim mengalahkan ratu cantik, dia pulak tak sampai hati nak tengok muka kita!

Senario apakah ini?
Dulu, tahun lepas, bulan lepas atau seminit yang lalu sekalipun....tiada yang kekal berpanjangan di dunia ini. Apa yang bermula pasti ada akhirnya. Yang muda akan tua. Yang sihat hari ini mungkin akan sakit satu hari nanti. Yang pakai kereta kecil bulan lepas mungkin akan berkereta besar esok lusa. Yang kaya raya hari ini tak mustahil untuk kurang duit di esok hari. Tak ada apa yang kekal. Tidak ada yang sempurna. Zero perfect.

Tapi kita, walaupun tahu, tetap mengambil dan melihat segala kejadian mengikut neraca kesempurnaan.

Bagi yang muda dan cantik sekarang, masa tua dan berkedut sangat ditakuti. Seakan kemudaan dan kecantikan itu adalah hak milik kekal yang tidak boleh dirampas. Kalau yang kurang duit sampai makan pakai pun terpaksa bersukat, hari esok seperti halilintar yang tak mahu ditempuh. Sudah muak dengan segala kekurangan.

TIADA apa yang sempurna dan kekal pada dan untuk kita. Bagaimana mungkin untuk sempurna kalau kita sendiri akan mati juga satu hari nanti. Ini bukan masanya. Sama sekali bukan tempatnya juga. Jadi berhentilah mencipta dan mencari kesempurnaan yang tak mungkin akan ada itu. Sekarang dan di sini adalah untuk menghimpun bekal untuk apa yang sempurna dan kekal di sana nanti. Di sana ada lebih dari kambing bakar. Bersukaria lah dengan kawan-kawan soleh dan solehah di sana. Segala macam Istanbul boleh dilihat. Sentiasa muda dan cantik. Sentiasa kaya dan bahagia. Di sana. Bukan di sini. Di sini kita mati. Di sana kekal abadi - samada di syurga nikmatNya, atau di neraka azabNya.

Belajarlah menerima dan mengadaptasi keseimbangan yang cantik ini. Allah itu Maha Adil. Maha Baik. Tidak diberi atau ditakdirNya sesuatu tanpa diciptakan hati untuk bersyukur dan otak untuk berfikir. Cuma kita sentiasa memilih untuk menentang fikrah kita sendiri.

"Apa yang ada di sisi kamu akan lenyap dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami akan memberi balasan kepada orang yang sabar dan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan." (An-Nahl 16:96)




Monday, 3 October 2016

Bersyukur di atas nikmat yang Allah beri - nikmat sihat, cantik, cerdik, kaya, berkeluarga, kasih sayang....dan sangat banyak lagi.
Bersabar di atas ujian yang Allah bagi - ujian sakit, cacat, miskin, dungu, kehilangan keluarga dan sahabat, dibenci dan difitnah...dan terlalu banyak lagi.
Sungguh, sangat sukar untuk melakukan kedua ini (syukur dan sabar) jika tiada pertolongan dari Allah. Dan setelah mampu bersyukur dan bersabar, lebih sukar pula untuk tetap beristiqamah dengannya.
Jangan mengalah, jangan pernah berputusasa. Sedangkan Allah tidak pernah jemu menunggu permohonan dari hambaNya, mengapa kita pula harus penat berharap padaNya.
Bermunajatlah....
'He is always there for you to reach'.