KEHIDUPAN TIDAK DINILAI DARI BANYAKNYA HEMBUSAN NAFAS YANG DIAMBIL TETAPI DIUKUR DARI SETIAP DETIK DI DALAM HELAAN NAFAS ITU
Pearls in the sand
Friday, 23 October 2015
Mengingati mati - suatu prolog perjalanan
Lumrah manusia....bila sakit, berkeluh kesah. Kekadang yg sakit hanya sebatang gigi, tapi seharian tak jadi kerja dibuatnya. Kalau naik angin, benda sehalus kuman pun boleh jadi sebab terletusnya kemarahan. Bila hendak mengira pertolongan yang dihulurkan, seperti oranglain tidak pernah berbuat apa-apa. Bila hendak menghukum salah pula, seperti diri kita maksum dari segala dosa.
Apakah memang resam manusia, bila berjalan sering tidak melhat bumi yang dipijak, malah sentiasa mendongak mengagumi langit dan keindahan semesta. Apakah begitu anehnya manusia....tidak pernah gagal merasa takjub dengan segala keindahan dan kelebihan tetapi sentiasa lupa mensyukuri Pemberi pada kenikmatan itu.
Kita selalu menghitung rezeki melimpah, sudah ke mana kita habis dan belanjakan, dan ternanti-nanti duit yang lebih banyak lagi untuk diusahakan. Namun sering kita terlupa untuk menghitung usia yang sudah dikelek saban tahun, bulan, hari dan detik.....terlupa kita untuk menghisab dan menimbang perlakuan dan amalan selama mana kita meminjam nafas itu..
Sungguh begitulah lumrah kita, manusia...selalu lalai, leka dan cuai, seakan kitalah yang memegang perbendaharaan hidup dan tidak akan mati sampai bila-bila.
Tidak matikah kita?
Semua kita akan mengatakan pasti kematian itu akan datang.
Namun menyebut mati seakan menyebut satu fasa kehidupan yang lumrah. Ketika menziarahi orang yang telah meninggal dunia dan menghantar pula hingga ke liang lahad, kita beraksi seperti ia salah satu rutin yang biasa. Tidak terdetik di hati, tidak tercuit rasa....bahawa itulah KITA. Itulah kita yang sedang menghadapi sakaratul maut, itulah kita yang berhempas-pulas menghabiskan nafas terakhir, itu jualah kita yang dihimpit di liang lahad...dan itulah kita yang akan berseorangan dalam kegelapan alam kubur, menghadap perhitungan dengan dua Malaikat Allah yang setia menanti.
Apakah dengan mengingati mati, kita akan menjadi jumud dalam kehidupan dan pemikiran? Apakah kita tidak akan lagi mahu keluar mencari nafkah, menutup rapat pintu dari dunia luar dan berteleku tanpa noktah di satu sudut dengan sejadah dan tasbih di tangan? Apakah itu prinsip mengingati kematian dan menghisab diri yang Rasulullah Sallallahhu'alai hiwassalam ajar dan sunnahkan?
Iman al-Termizi telah mengeluarkan hadith riwayat Shidad bin Aus katanya;
sabda Nabi s.a.w.“الكيس من دان نفسه ، وعمل لما بعد الموت ، والعاجز من اتبع نفسه هواها ، وتمنى على الله “.
“Orang yang sempurna akalnya ialah orang yang sentiasa memeriksa dirinya, dan beramal untuk bekal sesudah mati, sedangkan orang yang lemah akalnya ialah orang yang mengikut hawa nafsunya, dan bercita-cita untuk mendapat keredaan Allah tanpa beramal”.
Inilah prinsip mengingati mati yang datangnya dari orang yang sempurna akalnya iaitu memperbanyakkan amalan. Setiap anggota dan pancaindera akan kita pergunakan semaksimum mungkin untuk menghimpun amalan sebagai persiapan untuk perjalanan yang panjang kelak. Kelalaian dan kelekaan menghirup kelazatan dunia akan kita kawal dan awasi. Tiada lagi keutamaan pada perkara sia-sia, malah setiap tindak-tanduk akan kita hisabkan. Tiada apa yang lebih penting membawa nafas ini melainkan untuk mencari keredhaan Allah semata-mata.
Sungguh hidup di dunia ini hanyalah seperti sepohon pokok untuk kita berteduh sementara waktu..,.suatu masa kita kan pergi meninggalkan ia jua. Kita adalah sidagang yang merantau di dunia ini, bukan untuk bersenang-lenang tapi hanya untuk mencari bekal sebanyak-banyaknya untuk dibawa pulang ke kampong akhirat nanti. Kalau kita sipendatang ini hanya mahu bersuka-ria, maka percayalah...akan pulanglah kita ke tanahair asal nanti sebagai simuflis yang tidak membawa apa-apa. Wa'Iyazubillah.
"Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh Al-Quran tentang sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan sedikitpun padanya. Merekalah orang-orang yang tidak ada baginya pada hari akhirat kelak selain daripada azab neraka, dan pada hari itu gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan"
(Surah Hud, ayat 15-16)
Tuesday, 13 October 2015
Berat sungguh ujian...demi ujian...
Apakah pernah terlintas di fikiran bahawa suatu hari nanti suami akan dipanggil menghadap Sang Pencipta di saat kita sangat memerlukannya? Atau lebih sakitnya bila kita mendapat tahu diri diberi pemberian 'madu' oleh suami yang kita sangkakan tidak berupaya mengasihi selain dari diri kita sebagai isterinya? Rasanya lebih rela Allah yang mengambilnya dari diambil oleh perempuan lain kan?
Berat sungguh ujian ini sekiranya ia ditimpa ke atas pundak seorang perempuan.
Atau mampukah kita bertahan sekiranya menerima panggilan telefon mengabarkan bahawa anak yang ditatang bertahun-tahun menghembuskan nafasnya yang akhir dalam kemalangan...anak yang kita doakan kesolehannya dan mendoakan kita, anak yang logiknya diharapkan menguruskan jenazah kita, kini takdir menghadirkan sebaliknya.
Bukankah terasa seperti direnggut segenap jantung dan urat nadi....Allahhuakbar.
Dan sejuta satu lagi masalah yang seperti tak mungkin cukup untuk disenaraikan satu persatu, dan tak mampu juga untuk dihitung beratnya bahu menanggung, jauh sekali untuk ditimbang kesabaran yang perlu diraih. Acap kali kita mengatakan kering sudah airmata, tapi setiap kali itu juga ujian yang datang tidak pernah gagal membuat kita tersedu-sedan. Kekadang terasa hati sudah keras dan kebal tapi ibarat air terjun yang jatuh ke atas batu yang sama tanpa hentinya, pasti akan berlekuk juga ia dibuatnya.
Kita hanya insan biasa, ada hati dan perasaan yang amat kerdil...sejauh mana 'sado'nya kita, akan terhempuk juga jika dilanda gesaan dugaan yang perlbagai.
Tapi percayalah...! Seberat mana pun ujian itu, kita pasti dapat menempuhnya.
“ Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya… ( Al-Baqarah: 286)
Kita masih ada orang sekeliling, suami/isteri, anak-anak, ibubapa, sahabat dan jiran tetangga untuk berkongsi rasa, mengadu duka. Yang paling utama kita masih mampu berbisik menyeru "Ya Allah..Ya Allah..", masih terdaya memohon kekuatan dan kesabaran dariNya, masih mampu meyakini bahawa di sebalik kesukaran itu, pasti Allah akan menguniakan kesenangan yang tidak terduga.
Sungguh ujian yang kita rasakan sangat berat dan sakit itu, ada lagi ujian yang amat berat...ujian yang terakhir Allah janjikan kepada kita, namun ujian itu perlu kita harungi seorang diri, Tiada lagi yang mampu membantu walau mereka berada sangat hampir dengan kita dan tersangat ingin meringankan beban kita. Malah lebih dasyat, tidak lagi mampu kita menyeru kekuatan dari Allah. Apakah ujian yang lebih dasyat selain dari ujian menghadapi sakaratul maut....bila dada sudah berombak, bila hati sudah kaku, bila nafas semakin pendek dan terlampau sukar. Campaklah emas permata, hamparkanlah segala kesenangan dunia dan isinya, semuanya tidak menjadi keinginan lagi. Sungguh waktu itu airmata sudah tiada, sungguh kita tidak mampu merasai apa-apa lagi...hanya berperang antara amalan baik dengan kufurnya akidah.
Itulah ujian yang terakhir di dunia ini sebelum kita bergelar jenazah, itulah ujian yang paling berat, mengatasi segala keberatan ujian yang kita tempuh selama ini. Dan sungguh itulah ujian yang perlu kita lulus dengan jayanya sebagai langkah pertama kepada perjalanan panjang yang bakal kita tempuhi.
Maka hati...duhai hati, tidak apa lah dengan ujian yang sikit-sikit ini. Kalau ingin menangis, menangislah. Kita tetap insan....tapi katakanlah pada hati itu, bahawa ujian ini tidak seberapa, ujian ini adalah wadah untuk membawa kita dekat pada Yang Memberi, ujian inilah yang perlu direbut untuk dijadikan salah satu bekalan amalan mahmudah yang perlu dikumpul sebanyak-banyaknya.
"Setiap yang hidup akan merasakan mati, dan Kami menguji kamu dengan keburukan dan kesenangan sebagai cobaan; dan kepada Kamilah kamu akan kembali." (Surah al-Anbiyak ayat 35)
Subscribe to:
Posts (Atom)