Pearls in the sand

Pearls in the sand

Monday, 8 June 2009

Mengapa dia yang dipilih,
mengapa bukan yang ini,
apa yang bagusnya tentang dia,
apa yang kurangnya pada yang itu....
Aku tersenyum dengan telahan orang, kegusaran mereka kulayan dengan sengeh yang berpanjangan.

Lalu kujawab ikhlas....
Kerana keihlasannya tidak ada yang ingin kuragukan,
kerana dia menilaiku secara hormat,
kerana ketika yang lain berkobar2 menyatakan kesudian menebarkan pengorbanan; dia telah mengorak langkah menghulurkan tangan dan memimpin aku menyeberang lautan,
kerana mereka hanya memandangku dengan cinta yang dilaungkan, namun dia menghidangkan kasih dengan tingkahlaku yang amat diam,
kerana dia tidak pernah gagal menghadirkan diri tika airmataku tumpah, ketika oranglain penuh dengan falsafah alasan yang memualkan,

Mereka terdiam, entahkan setuju, entahkan mencebik, entahkan cuba menelah lebih dalam lagi...

Tapi aku sudah lama tidak peduli,
sudah lama ianya tidak berkuman di hati,
sejak hati tahu apa erti sandiwara,
atau mungkin sejak hati dilunyai dan dibiarkan,
namun yang pasti sejak aku kenal erti kasih yang sentiasa ingin diharumkan.

Hari ini...ketika aku melihat wajah sepi (yang kufikir ada bayangnya dalam hati),
dan ketika aku merenung jauh ke mata redup di sisiku,
aku terlalu bersyukur....dan menginsafi,
lautan yang kuharungi kini adalah kasih dan ikhsan dari Allah,
jauh nikmatnya dari lautan yang pernah ingin kurenangi.
Rupanya hati telah banyak belajar...apa yang diinginkannya tidak semestinya indah dan diredhai Allah,
rupanya apa yang berlaku adalah hikmah yang terlalu indah untuk diungkapkan.

Alhamdulillah....

Sunday, 7 June 2009

Kehidupan...untuk sekian kalinya

Hakikat hidup sentiasa mengajar kita bahawa tiada kesempurnaan yang nyata dalam kehidupan itu sendiri, malah tiada apa yang yang sempurna selagi kita dan maya ini terdiri dari apa yang dijadikan dan terjadi dengan sebabnya.
Hanya Allah yang menguasai setiap kesempurnaan yang Maha sempurna.
Apa yang pernah berlaku hanyalah suatu masa silam yang kita namakan ia kenangan, mungkin lebih tepat untuk dilapukkan atau disimpan khas dalam muzium memori...namun apa yang lebih penting mengambil iktibar tanpa perlu mengungkit luka dan sakit di antaranya.
Maka bukankah apa yang berlaku itu mempunyai rahsia yang amat seni dan iktibar yang paling mujarab, tidaklah semua itu Allah jadikan dengan sia-sia.....
Aku menyedari jua bahawa hakikat pengorbanan hanya mampu direalisasikan oleh hati yang dikurniakan keteguhan dalam keikhlasan.
Aku sudah melihat rahsia hidup yang pelbagai (mungkin belum cukup lengkap lagi koleksi sebegitu) dan aku cuba menjadi pelajar yang paling setia...menghimpun setiap pengajaran yang boleh dikutip, menghindar sakit yang perlu dilupakan, melukis impian yang mesti bernadakan harapan.
Bukankah takut dan berharap itu menjadi rempah ratus setiap doa yang dipanjatkan?
Akhirnya di sinilah hakikat kesedaran yang masih tidak sempurna itu mencari tapak untuk direnungkan.
Aku tidak mahu memandang masa silam yang tidak lagi berwarna,
kenangan yang sudah tidak berepisod itu biarlah berkubur tanpa nesan,
setiap helaan nafas yang entah bila akan bernoktah ini perlu disyukuri tanpa sempadan,
nikmat yang sudah bersepah di perjalanan perlu dikutip dan dihalusi,
perhentian pasti akan ada di hujung destinasi....

Junjung kasih untuk suamiku,
yang telah mengajar aku setiap nilai hidup yang tidak sempurna ini...walau cacat langkah dan geraknya, pasti tak mungkin terlewat untuk membetulkan apa yang sumbang di dalamnya....

Tuesday, 7 April 2009

suatu coretan

adakah kemampuan
mengalun resah di hujung pena
menghindar tangis di balik tawa
mungkinkah pagi yang menyinar
tidak kan menjemput senja yang kelam

kalau takdir bisa teralih
kiranya hati bisa dicambah
mampukah aku memungkinkan duka yang terhindar
mencantikkan wajah takdir yang tercoreng
atau inikah saja yang mempu terzahir
atau apakah nikmat sabar perlu dikucup....

apakah kemampuan yang terbatas ini
bisa menyelam suatu dasar pengertian
mengundang redha tak terbatas
atau sekadar merenung langit petang
yang pasti beralih arah

atau
apakah mungkin
mentari kan mengulangi takdirnya....