Hakikat hidup sentiasa mengajar kita bahawa tiada kesempurnaan yang nyata dalam kehidupan itu sendiri, malah tiada apa yang yang sempurna selagi kita dan maya ini terdiri dari apa yang dijadikan dan terjadi dengan sebabnya.
Hanya Allah yang menguasai setiap kesempurnaan yang Maha sempurna.
Apa yang pernah berlaku hanyalah suatu masa silam yang kita namakan ia kenangan, mungkin lebih tepat untuk dilapukkan atau disimpan khas dalam muzium memori...namun apa yang lebih penting mengambil iktibar tanpa perlu mengungkit luka dan sakit di antaranya.
Maka bukankah apa yang berlaku itu mempunyai rahsia yang amat seni dan iktibar yang paling mujarab, tidaklah semua itu Allah jadikan dengan sia-sia.....
Aku menyedari jua bahawa hakikat pengorbanan hanya mampu direalisasikan oleh hati yang dikurniakan keteguhan dalam keikhlasan.
Aku sudah melihat rahsia hidup yang pelbagai (mungkin belum cukup lengkap lagi koleksi sebegitu) dan aku cuba menjadi pelajar yang paling setia...menghimpun setiap pengajaran yang boleh dikutip, menghindar sakit yang perlu dilupakan, melukis impian yang mesti bernadakan harapan.
Bukankah takut dan berharap itu menjadi rempah ratus setiap doa yang dipanjatkan?
Akhirnya di sinilah hakikat kesedaran yang masih tidak sempurna itu mencari tapak untuk direnungkan.
Aku tidak mahu memandang masa silam yang tidak lagi berwarna,
kenangan yang sudah tidak berepisod itu biarlah berkubur tanpa nesan,
setiap helaan nafas yang entah bila akan bernoktah ini perlu disyukuri tanpa sempadan,
nikmat yang sudah bersepah di perjalanan perlu dikutip dan dihalusi,
perhentian pasti akan ada di hujung destinasi....
Junjung kasih untuk suamiku,
yang telah mengajar aku setiap nilai hidup yang tidak sempurna ini...walau cacat langkah dan geraknya, pasti tak mungkin terlewat untuk membetulkan apa yang sumbang di dalamnya....
No comments:
Post a Comment