Pearls in the sand

Pearls in the sand

Wednesday, 14 April 2010

Cerita paku dan tukul



Suatu ketika yang agak lama dahulu, aku selalu terdengar ungkapan ini - "awak tu kan macam tukul dengan paku, kalau saya tak ketuk, kat situ je lah awak duduk". Itu adalah dialog berbisa seorang isteri yang aku kenali kepada sisuami yang juga rapat denganku.

Tika itu aku selalu menghakimi pertikaian mereka di dalam hati - kadang-kadang aku mengkritik siisteri kerana acap benar melontarkan kata-kata itu sedang sisuami selalunya hanya membisu (mungkin tidak mahu melaratkan suasana) Namun kerap juga (selepas melihat kenyataan yang sebenarnya), aku jadi geram pada sisuami kerana dengan 'kesabaran'nya yang tidak mahu berganjak dari sikapnya itu, dia seakan membuka ruang yang lebih luas untuk siisteri mencari silapnya.

Perlahan-lahan dengan peredaran masa, seiring dengan kematangan usia, aku sedar bahawa benarnya siisteri itu ialah apabila setelah berpuluh tahun, sisuami memang sah seperti paku yang perlu dipahat sentiasa. Dan salahnya pula ialah apabila dia tidak cuba mencari resolusi yang lebih manis diterima, atau setidak-tidaknya ungkapan yang lebih enak didengar, atau mungkin mencari nada yang lebih merdu walaupun dengan ungkapan yang serupa.

Dan sisuami (yang sepatutnya bertugas memegang tukul) mungkin lebih suka dirinya dipahat, dan kemudiannya mendiamkan diri...seterusnya membenarkan lubang kecil yang sepatutnya boleh ditimbus menjadi kian besar dan akhirnya tak mungkin dapat dikambus dengan apa cara jua pun.

Aku seperti biasa....suka menjadikan pengalaman oranglain sebagai salah satu media untuk mendewasakan aku dengan hidup. Aku berbicara untuk mereka yang tidak mampu mencari kata-kata, aku seperti tanah lapang yang luas untuk mereka hamparkan segenap perasaan. Dan aku jugalah simurid yang tidak henti-henti belajar dengan kedukaan dan kegembiraan orang...dan akhirnya mungkin aku jugalah sitolol yang melemparkan persoalan kepada dunia yang tuli ini...bilakah ini semua akan berakhir...

Kalau saja di dunia ini setiap orang mampu menzahirkan rasa kasih, belas dan menghargai orang lain, dan mengenepikan kepentingan diri bila keperluan meminta berbuat demikian, kalau saja manusia mampu mempelajari setiap kesilapan tanpa perlu mengulanginya berpuluh kali, kalau saja manusia sentiasa berlapang dada bila mendapat teguran ikhlas yang membina.....kalau dan kalau saja mereka tidak pernah melengahkan masa untuk berbuat sesuatu, maka tidak adalah paku dan tukul lagi untuk dipahat acap kali dalam ungkapan yang akan menjadi racun....

Dan mungkin kuranglah persoalan yang tak akan terlontar lagi pada sesuatu yang tak mungkin dapat memahami...dunia yang bisu, dunia yang tuli, dunia yang tidak pernah merungut dengan kedukaaan yang sudah membanjirinya....

No comments: