KEHIDUPAN TIDAK DINILAI DARI BANYAKNYA HEMBUSAN NAFAS YANG DIAMBIL TETAPI DIUKUR DARI SETIAP DETIK DI DALAM HELAAN NAFAS ITU
Pearls in the sand
Friday, 23 April 2010
Melihat suatu perjalanan kecil...
Aku terlihat seorang anak yang ingin menendang bola. Mengikut fahaman hati kecilnya, dia mampu menyepak bola itu seperti hebatnya pemain bola kegemarannya...tidak pun dia sedar kakinya lebih kecil dari bola itu sendiri!
Seorang anak yang lain terlalu asyik melukis, tangannya pantas menarikan warna di atas kertas putih. Kemudiannya sibuk pula dia menayang lukisan itu ke sana kemari sambil sibuk membandingkan bakatnya dengan pelukis Lenoardo daVinci, padahal hasil lukisan pelukis terkenal itu pun tak pernah dikenalnya!
Kemudiannya ada pula seorang anak ini yang duduk membisu mendengar cerita kawan-kawannya. Mulutnya terkomat-kamit ingin menyampuk namun entah apa yang menghalangnya. Akhir sekali dia hanya tertawa dan tersengih sendiri, sedang kawan sekeliling tidak pun tersedar kehadirannya!
Inilah antara watak-watak utama yang kulihat seharian, bukan sahaja di dalam kelas, di padang, rumah, atau di mana jua...watak-watak ini sentiasa memberi pengajaran kepadaku bahawa jiwa-jiwa kecil ini juga mempunyai semangat setinggi awan, ada cita-cita yang menggunung tinggi, malah menyimpan rasa malu dan rendah diri!
Mereka hanya anak-anak yang melakar impian tanpa mengenal apa itu cubaan, terkadang mereka juga terlanjur menyombong tanpa melihat kemampuan sendiri, dan selalu juga mereka menghindar jauh, bersembunyi dalam terang tanpa menyedari kewujudan dan keunikan diri sendiri.
Kita lah mata mereka, kita jugalah telinga, kaki dan tangan yang menggerakkan mereka, malah otak yang membawa mereka jauh dari ketempangan hidup dan kecacatan keputusan yang mereka ambil....namun kita jugalah yang akan terpaksa melepaskan mereka menyeberangi lautan hidup mereka sendiri, hanya mengharapkan apa yang kita pinjamkan kepada mereka suatu hari nanti akan mereka ingati.
Anak-anak ini tak pernah bersalah, tak pernah juga akan berasa bersalah dan tak pernah tahu menyalahkan diri sendiri. Dalam kebekuan ini, mereka akan tersentuh dengan kasih sayang dan kebencian serta kesakitan. Di mana patut kita sandarkan naluri mereka, ke mana mahu disalurkan perasaan halus mereka...semuanya itu adalah persoalan yang perlu kita jawab sebagai ibu dan ayah, guru, kakak ataupun abang, saudara mara, malah sebagai individu yang dewasa.
Biar siapa pun mereka, atau kita kepada mereka....sepertimana kita yang ada impian, kasih, sakit, benci dan seribu satu variasi perasaan, begitu jugalah mereka...!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Alangkah halusnya pemikiran dan perasaan anda, semoga ia dapat dikongsi oleh pembaca dan impian murni anda direalisasikan. Alangkah beruntungnya generasi akan datang jika berada di telapak tangan orang seperti anda Saphire!
Post a Comment