KEHIDUPAN TIDAK DINILAI DARI BANYAKNYA HEMBUSAN NAFAS YANG DIAMBIL TETAPI DIUKUR DARI SETIAP DETIK DI DALAM HELAAN NAFAS ITU
Pearls in the sand
Sunday, 20 January 2013
Perjalanan Suatu Kehidupan...
Akhirnya jari-jemariku menari lagi. Bohonglah kalau aku katakan aku tidak merindui dunia penulisan ini...dan tak mau pula aku mencari beribu alasan. Teringin aku nak jadi manusia yang tak pandai mencari helah bermadah...seperti selalu aku katakan pada anak2....'manusia sentiasa mencari alasan untuk menutup kesalahan yang mereka lakukan sepertimana pandai juga mereka mencari alasan untuk tidak membuat kebaikan'. Ya Allah....hambaMu ini merangkak lagi, janganlah Kau berpaling dari memberi redhaMu atas kedaifanku.
Hari ini hampir separuh hari aku membaca entri seorang hamba Allah yang sudah pun dijemput pulang oleh Yang Maha Pencipta. Bukannya aku kenal sihamba Allah ini....aku cuma mengenali sipemberitahu, kenalan pada anak-anakku.Inilah kali kedua dalam bulan ini aku jadi sangat terpaku dengan dua khabar kematian dunia dan permulaan alam barzakh bagi dua hamba Allah yang tidak kukenali sama sekali. Aku jadi sedih dan hiba bukan kerana rasa kehilangan (kerana aku tidak mengenali keduanya) tapi kerana aku melihat diriku dalam kedua kematian ini. Aku melihat AKU yang persediaannya masih suam2 kuku untuk pulang kepadaNya. Aku melihat AKU yang masih merangkak mendidik anak2 ke arah ruh dan hidup keranaNya. Aku melihat AKU yang masih berhutang kasih dan budi pada kedua orangtuaku. Aku melihat AKU yang masih belum puas melihat Islam dalam diri kekasihku. Dan aku...aku melihat AKU yang takut pada kematian namun tidak sanggup mengatakan aku tidak mahu bertemuNya.
Kerana itu...aku sangat sedar duhai Allah kenapa Engkau datangkan sakit ini padaku. Aku sangat insaf mengapa Kau bataskan kemampuanku. Aku tidak akan merungut dengan lelahnya aku duduk lama, atau tidak kemampuanku menelentangkan tubuh badan pinjamanMu, pun aku malu untuk merungut kalau gerakan pantasku terpaksa dibantu. Namun sungguh Ya Rabb...janganlah Kau tarik nikmat sujud yang Kau ambil waktu ini....pinjamilah aku walau sebentar...hanya sebentar Ya Rabb....sebentar cuma....
Kematian pada dua jiwa yang tidak kukenali itu banyak mengetuk pintu alpaku...alpa yang tiada kesudahan seperti panjangnya mimpi2 indah dan harapan2 yang tidak bernoktahku. Kuteropong sudah masa2 yang banyak terbazir, usaha2 yang tidak cukup gah, tazkirah2 yang belum cukup menyentuh hati. Aku melihat sembilan nyawa yang sangat kukasihi di dalam tabir potret di dinding. Sudah cukupkah kasih yang kuhamparkan...sudah cukupkah ajaran yang kuhidangkan, sudah cukupkah contoh teladan untuk diikut....cukupkah. Mampukah kujawab semua itu di hadapanNya kelak....mampukah duhai AKU....sedangkan masa sudah tidak cukup panjang, detik sudah kian menjauh....panggilan sudah sayup2 menyapa....
Maafkan aku...kerana jari-jemari ini hanya menari tanpa ada iramanya. Anak2 sedang berteleku di hadapan televisyen(itulah antara tinggalanku yang perlu kujawab nanti). Ada yang di dalam kamar menelekup telinga dengan headphone (lagu2 yang melalaikan kah yang didengarinya....duhai....). Ada yang di dapur mencari habuan untuk siperut(yang kudoakan sehingga akhirnya hanya akan menjamah rezekiMu yang halal). Ada yang tiada di hadapan mata...entah sedang apa, hanya yang baik sahaja kuharapkan. Dan kekasihku yang masih menyintai masjid (moga Allah memandumu selalu kepadaNya). Aku terasa lelah...bukan kerana sakit yang masih berpanjangan...lelah kerana menyedari pada baki nafas yang dipinjamkan sedang banyak yang belum kulaku dan betulkan....
Ya Allah.....pandangilah aku sebentar...dengan rahmat kasih dan redhaMu....
sungguh aku takut pada masa yang Kau janjikan...
sungguh aku sangat merindukan akan saat mendekatiMu...
Di sini aku....dengan hamparan kasih yang tiada bertepi.....bila kan bertemu daratan, entah bila kan jari-jemari berhenti menari lagi...bukan untuk sekian kalinya...bukan lagi dengan izinNya......
Maafkan aku....dari awal hingga akhirnya....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
:-)
alaa..cni xleh nk like..hehe..
Post a Comment