Entah berapa kali berjanji
Konon mahu berubahkelalaian ini mahu ditinggalkan
mahu mula menghitung masa yang tinggal
mahu cepat mengejar redha Tuhan
Tapi di sini juga aku tersadai
dengan mimpi-mimpi taubat yang tidak terlunas
diulit harapan langkah yang masih panjang
bersama masa yang masih berbaki
Tak mungkin aku sebegitu bebal;
Bukankah sudah diajar
Mati itu bukan aku yang menentukan
Malaikat Maut tidak berbelas kasihan
hanya menjunjung perintah yang tidak akan lewat
walau sesaat
Bukankah telah difahami
dunia ini hanya ladang untuk menanam amal
bukan tanah untuk aku punyai
Aku hanya musafir ke lembah abadi
bukan simukim yang kekal di sini
sedang modal masa kian susut
dan telah kian kupersiakan,
sedang bekalan sering tiris
dimakan ingkar dan alpa
Berapa banyak sakit yang aku perlu
untuk kusebut namaNya tanpa jemu
Berapa dalam luka yang harus aku hadap
untuk kusujud dalam tulusnya taubat
Duhai...
tidak cukup lagikah berdosa di bumi Allah....