Pearls in the sand

Pearls in the sand

Friday, 13 August 2010

Izinkan aku Ya Allah....

izinkan aku Ya Allah...
meratap kasihMu yang agung, kerna aku tersedar dari lenaku yang panjang
tentang kasih duniawi yang hanya menyesakkan;
demi sesungguhnya aku tidak lagi redha dengan esak tangisku
yang hanya menyelimuti kesakitan nikmat sementara,
sedang dosaku ditangisi dan dibenci para malaikat;
kerna aku terlalu ingin Ya Rabbi,
menghangatkan nafas dinginku pada kerinduan sujud padaMu
yang dengan kehinaanku menyeret sisa-sisa waktu yang selalu kualpakan janjiMu
bahawa aku akan kembali menghadapMu
....apa yang ingin kubentangkan di hadapanMu....
hanya helaan nafas yang tidak bersyukur padaMu

izinkan aku Ya Allah...
memeluk cintaMu yang agung, kerna aku ingin jaga dari tidurku
yang kian membelai aku dalam mimpi2 yang tiada kesudahan;
demi sesungguhnya aku tidak lagi sudi mendambakan hatiku
pada kesudahan pesona dunia yang tiada berpenghujung,
sedang ingkarku didakap oleh syaitan2 yang Kau laknati:
Sungguh Ya Rabbi....aku hanya ingin lemas
dalam kelelahan mencari redha dan rahmatMu...
bahawa aku sudah terlalu cukup menghamburkan airmata
untuk dunia dan isinya
...apa yang ingin kubawa kepadaMu.....
...apa yang tinggal lagi untukku....

izinkan aku Ya Allah...
izinkan aku...
menangisi hanya untuk dosaku...
menangisi hanya kerana aku rindu padaMu....

Thursday, 12 August 2010

Ramadhan...yaa Ramadhan

Hari kedua dalam bulan yang penuh barakah ini.....alhamdulillah, aku dan ramai lagi insan di dunia yang kian uzur ini diberi peluang untuk menikmati udara Ramadhan, sekaligus membuka jalan yang seluasnya untuk menjejaki rahmat dan keredhaanNya...yang entah bila akan bersua dengan noktah penamat.

Hari kedua kulalui dengan azam yang sentiasa dibaharui tanpa jemu. Banyak benar perkara sunat nak dikejar, kalau boleh nak dihimpun semua tapi aku teringat pesan aruah datukku...sikit sikit lama lama jadi bukit, biar istiqamah, jangan termengah (itu aku yang menambah) nanti semua amalan bersepah...last last yang wajib entah ke mana, yang sunat tersangkut kat album nawaitu saja.

Kuhisab diriku yang diberi kekuatan oleh Allah untuk mengira detik amal....dan aku menghisab kesabaranku yang terbang seketika ketika menghadap kerenah anak-anak murid yang 'baik budi bahasanya' di kelas 5 Musytari dan 4 Musytari (maklum kelas intan terpilih). Lepas tu rasa naik sedikit angin bila menyemak kertas peperiksaan anak-anak UPSR ku di tahun 6. Kelalaian masih bermaharajalela walaupun tinggal sebulan sikit saja lagi nak berperang dgn UPSR.
Ya Allah...! Rupanya aku masih belum bersabar benar lagi....astaghfirullahhal'azim....

Entah kerana aku memang dilahirkan untuk selalu berazam, selalu pula menghimpun harapan, tak pernah jemu membina impian..dan kemudiannya memanjatkan sekian perkara itu dalam doa...maka aku yang telah dua hari merasa gagal dalam memaksimumkan kesabaran tak mahu rasa kalah. InsyaAllah....aku mahu membaiki diri, Ramadhan ini lah peluangnya untuk kusemai keimanan dan ketakwaan yang hakiki....Ya Allah...janganlah Kau tutup pintu rahmatMu untuk hambaMu yang selalu berdosa ini....

Ramadhan....duhai Ramadhan...

Kalau bukan suamiku...siapa lagi yang layak untukku berterima kasih kerana mendidikku untuk bersederhana, memberi semangat untuk kuakhiri puasa ku di penghujung senja, yang pengertiannya ke atas kedaifan ku tidak ada tolak bandingnya..mudah2an Allah permudahkan urusanmu dalam menuju kejayaan di dunia dan akhirat..

Permata2 hatiku...yg dekat mahupun jauh di mata....apa lagi yang boleh kuimpikan darimu melainkan harapan agar Ramadhan ini kalian perindahkan dengan amalan yang seakan tidak pernah kau lakukan seumur hidupmu, agar kerinduan menanti kehadiran Ramadhan sentiasa berakar di benak hatimu...mudah2an mujahadahmu melalui udara Ramadhan yang tidak lama ini akan dirahmati oleh Allah...

Aku tersadai lagi di sini....mahu menghentikan detik yang berlalu...kalau mampu ingin kuminta Ramadhan yang semalam datang semula...dan datang lagi..lagi dan lagi....ingin kubaiki apa yang cacat, mahu kubetulkan apa yang salah....namun mungkin itulah dugaan dariNya, agar aku menghisab diri setiap ketika.....

Friday, 14 May 2010

Duhai anak....


Kasihan sialong...belajar setakat habis tingkatan enam jika dibandingkan dengan angah dan kaklang yang sudah memanjat menara gading, Si uda pun bermuka monyok kerana impian sekurang-kurangnya nak mengenggam segulung diploma pun tersangkut kerana semua tawaran ditolak...memang lah tak menghairankan kerana kelulusan spm uda pun suam-suam kuku saja. Dan semuanya lebih hebat dirasai oleh kaklong dan uda kerana ayah dan ibu selalu sangat mencanangkan kehebatan sianak yg bijak sedangkan yg lemah macam along dan uda selalu sangat tersisih dari sebarang pujian.

Inilah panorama hidup yang kusaksikan baru-baru ini. Aku sudah lama tahu sikap seperti ini...kalau sianak berjaya cepat2 sibu ayah mahu keliling kampung mencanangkan kejayaan anak. Kalau yang suam-suam kuku pulak, kalau boleh nak disorokkan muka dalam reban ayam!

Entah apalah resepi 'motivasi' ibu bapa yang suka menghebahkan kehebatan anak yang satu dan tak mahu menyebut pasal 'kurang hebat' anak yang lain. Mengapa tidak di'motivate'kan dengan memuji kehebatan mereka yang lain, kerana sememangnya mereka hebat dengan cara mereka sendiri. Tidak tahukah kita bahawa Allah berhak mengambil apa sahaja yang dikurniaNya kerana sememangnya semuanya itu adalah kepunyaanNya? Mengapa tidak sahaja kita panjatkan kemegahan itu dalam pujian-pijian kepada Yang Maha Memberi, yg mudah2an dengan itu anak kita yang tersangat hebat itu juga belajar untuk memulangkan segala kepujian kepada Yang Empunya?

Kasihanlah pada anak-anak lain yang juga laparkan pujian ikhlas dari ibu bapa...mereka amanah yang juga mempunyai hak yang sama. Tidak ada perbezaan antara mereka...hanya kita yang mencorakkan mereka, dan kita jugalah yang mampu mencacatkan masa hadapan mereka....!

( Anak-anak ummi....kalian adalah permata yang paling berharga, dan sesungguhnya adalah suatu anugerah dan penghargaan yang tidak ternilai dariNya menakdirkan aku sebagai ummimu...)

Sunday, 9 May 2010

Puisi Untuk Ummi

benar suatu ketika dulu
tika jari jemariku sebesar tapak tanganmu
kau pimpinku meredah jalan
yang asing buatku,
benarlah tindak tandukmu...
tika sang lalat menghidu laukku
kau halau ia ibarat musuh ketatmu,
tika pisau menghiris dagingku
airmatamu sederas aliran darahku..

ummi,
benarlah kata-katamu
kerna hanya kau tidak akan menipuku
tentang hidup
tentang mati
kerna hanya doamu yang mengikhlaskan
perjalanan sebenarku....

benarlah ummi
cinta kasihmu
tak mampu kuandaikan dengan kata-kata
biar seindah mana,
kerna siapa lah yg kan renangi lautan api untukku
kalau bukan kau ummi,
siapakah yang kan menyuap lauk basi
demi sepinggan lauk enak untukku

maka benarlah detik ini ummi...
doaku untukmu
yang masih tak setanding doamu untukku
sehingga habis nafasmu....

Friday, 23 April 2010

Melihat suatu perjalanan kecil...


Aku terlihat seorang anak yang ingin menendang bola. Mengikut fahaman hati kecilnya, dia mampu menyepak bola itu seperti hebatnya pemain bola kegemarannya...tidak pun dia sedar kakinya lebih kecil dari bola itu sendiri!

Seorang anak yang lain terlalu asyik melukis, tangannya pantas menarikan warna di atas kertas putih. Kemudiannya sibuk pula dia menayang lukisan itu ke sana kemari sambil sibuk membandingkan bakatnya dengan pelukis Lenoardo daVinci, padahal hasil lukisan pelukis terkenal itu pun tak pernah dikenalnya!

Kemudiannya ada pula seorang anak ini yang duduk membisu mendengar cerita kawan-kawannya. Mulutnya terkomat-kamit ingin menyampuk namun entah apa yang menghalangnya. Akhir sekali dia hanya tertawa dan tersengih sendiri, sedang kawan sekeliling tidak pun tersedar kehadirannya!

Inilah antara watak-watak utama yang kulihat seharian, bukan sahaja di dalam kelas, di padang, rumah, atau di mana jua...watak-watak ini sentiasa memberi pengajaran kepadaku bahawa jiwa-jiwa kecil ini juga mempunyai semangat setinggi awan, ada cita-cita yang menggunung tinggi, malah menyimpan rasa malu dan rendah diri!

Mereka hanya anak-anak yang melakar impian tanpa mengenal apa itu cubaan, terkadang mereka juga terlanjur menyombong tanpa melihat kemampuan sendiri, dan selalu juga mereka menghindar jauh, bersembunyi dalam terang tanpa menyedari kewujudan dan keunikan diri sendiri.

Kita lah mata mereka, kita jugalah telinga, kaki dan tangan yang menggerakkan mereka, malah otak yang membawa mereka jauh dari ketempangan hidup dan kecacatan keputusan yang mereka ambil....namun kita jugalah yang akan terpaksa melepaskan mereka menyeberangi lautan hidup mereka sendiri, hanya mengharapkan apa yang kita pinjamkan kepada mereka suatu hari nanti akan mereka ingati.

Anak-anak ini tak pernah bersalah, tak pernah juga akan berasa bersalah dan tak pernah tahu menyalahkan diri sendiri. Dalam kebekuan ini, mereka akan tersentuh dengan kasih sayang dan kebencian serta kesakitan. Di mana patut kita sandarkan naluri mereka, ke mana mahu disalurkan perasaan halus mereka...semuanya itu adalah persoalan yang perlu kita jawab sebagai ibu dan ayah, guru, kakak ataupun abang, saudara mara, malah sebagai individu yang dewasa.

Biar siapa pun mereka, atau kita kepada mereka....sepertimana kita yang ada impian, kasih, sakit, benci dan seribu satu variasi perasaan, begitu jugalah mereka...!

Wednesday, 14 April 2010

Cerita paku dan tukul



Suatu ketika yang agak lama dahulu, aku selalu terdengar ungkapan ini - "awak tu kan macam tukul dengan paku, kalau saya tak ketuk, kat situ je lah awak duduk". Itu adalah dialog berbisa seorang isteri yang aku kenali kepada sisuami yang juga rapat denganku.

Tika itu aku selalu menghakimi pertikaian mereka di dalam hati - kadang-kadang aku mengkritik siisteri kerana acap benar melontarkan kata-kata itu sedang sisuami selalunya hanya membisu (mungkin tidak mahu melaratkan suasana) Namun kerap juga (selepas melihat kenyataan yang sebenarnya), aku jadi geram pada sisuami kerana dengan 'kesabaran'nya yang tidak mahu berganjak dari sikapnya itu, dia seakan membuka ruang yang lebih luas untuk siisteri mencari silapnya.

Perlahan-lahan dengan peredaran masa, seiring dengan kematangan usia, aku sedar bahawa benarnya siisteri itu ialah apabila setelah berpuluh tahun, sisuami memang sah seperti paku yang perlu dipahat sentiasa. Dan salahnya pula ialah apabila dia tidak cuba mencari resolusi yang lebih manis diterima, atau setidak-tidaknya ungkapan yang lebih enak didengar, atau mungkin mencari nada yang lebih merdu walaupun dengan ungkapan yang serupa.

Dan sisuami (yang sepatutnya bertugas memegang tukul) mungkin lebih suka dirinya dipahat, dan kemudiannya mendiamkan diri...seterusnya membenarkan lubang kecil yang sepatutnya boleh ditimbus menjadi kian besar dan akhirnya tak mungkin dapat dikambus dengan apa cara jua pun.

Aku seperti biasa....suka menjadikan pengalaman oranglain sebagai salah satu media untuk mendewasakan aku dengan hidup. Aku berbicara untuk mereka yang tidak mampu mencari kata-kata, aku seperti tanah lapang yang luas untuk mereka hamparkan segenap perasaan. Dan aku jugalah simurid yang tidak henti-henti belajar dengan kedukaan dan kegembiraan orang...dan akhirnya mungkin aku jugalah sitolol yang melemparkan persoalan kepada dunia yang tuli ini...bilakah ini semua akan berakhir...

Kalau saja di dunia ini setiap orang mampu menzahirkan rasa kasih, belas dan menghargai orang lain, dan mengenepikan kepentingan diri bila keperluan meminta berbuat demikian, kalau saja manusia mampu mempelajari setiap kesilapan tanpa perlu mengulanginya berpuluh kali, kalau saja manusia sentiasa berlapang dada bila mendapat teguran ikhlas yang membina.....kalau dan kalau saja mereka tidak pernah melengahkan masa untuk berbuat sesuatu, maka tidak adalah paku dan tukul lagi untuk dipahat acap kali dalam ungkapan yang akan menjadi racun....

Dan mungkin kuranglah persoalan yang tak akan terlontar lagi pada sesuatu yang tak mungkin dapat memahami...dunia yang bisu, dunia yang tuli, dunia yang tidak pernah merungut dengan kedukaaan yang sudah membanjirinya....

Tuesday, 6 April 2010

Pejamlah Mata


pejamlah mata,
jangan dikisah suara-suara kelam yang membisu
biarkan saja bayangan yang tidak berjasad
lihatlah pada harapan semalam,
lagukan ia dengan dendangan zikir malam...

duhai mata...pejamlah,
hitunglah detik yang pasti kan berlalu...
akan datang hari-hari yang kau nantikan,
bila suara kelam kan pasti tenggelam,
bila bayangan kejam hanya mempu mendiam....
bila lenamu kan menghentikan detik malam...

pejam..pejamlah mata,
malam yang terlalu diam...
terlalu indah untuk tahajud yang berahsia
antara suara sendu dan keinsafan,

sungguh ia bukan lagi menakutkan...

Wednesday, 31 March 2010

Duhai hati.....

duhai hati....
masih sakit lagikah luka yang kau diamkan,
masih hibakah rajukmu yang tidak dipujuk,
mana Ar-rahman yang pernah kau lagukan....
hilang sudahkah tahajud mu yang membuai sepi malam....

duhai hati....
airmata yang tak mahu diam....biarkanlah,
cinta yang tidak difahami orang...redhakanlah,
mana kan basi kemaafan yang ikhlas....
mana mungkin penatmu membelah impian....

duhai hati....
kau hanya boleh mengeluh kesah,
cuma mampu merajuk hiba,
lupakah siapa pemilikmu....
yang memberi duka dan kan memujuk pula,
yang pasti di sana mendengar rintihanmu,
yang tentunya kan datang berjuta langkah...
dengan selangkahmu kepadaNya....

bukankah kau hati.....
hanya pinjaman sementara dariNya.....

Monday, 1 March 2010

Renungan Buat Suatu Diri

Siapa lagi yang bisa berada di sini
merenung redup senja di ufuk barat
menanti sinar esok hari;
siapa yang bergelar umat-umat terpilih
yang bisa menghargai Islam dalam diri
yang bisa tersenyum dengan iman hakiki..

Tuhanku,
apakah aku seorang pengkhianat
bisa melihat lagi keindahan itu
dengan darah-darah hanyir membusuk di dada hidup
bisa mengucap walau sekali ALHAMDULILLAH
bisa menangis dengan ASTAGHFIRULLAH....

Siapa lagi yang bisa menemani pejuang-pejuang itu,
mengangkat senjata dengan tangan kudung
menjerit ALLAHHUAKBAR dengan mulut sopak;
siapa bisa meneropong jihad di dada keinsafan
sedang aku, kau dan mereka
sedang kita di garisan ini
sudah hilang kemanusiaan
sudah mati pengertian
sudah terbenam di bumi kekufuran...!

Tuhanku,
apakah aku yang semalam bisa lahir lagi hari ini
senyum dengan doa para-para malaikat
tidak gentar walau untuk mengatakan kedaifan
tidak sayu bila kesedaran ditusuk ejekan
izinkan aku Tuhanku,
seorang pengkhianat..berdiri lagi di sini,
walau cuma sebentar
bersujud taubat walau sesaat
sebelum janjiMu datang menuntut.......

Wednesday, 24 February 2010

Epilog Hati


Kekadang kita ingin tertawa...walau tak pasti apa kelucuannya,
sesekali terasa mahu dilayan berbicara...meski tiada pembuka cerita,

biar....biarlah...
ia tak perlu berakhir di sini,
kalau perlu dijerit, luahkan saja madah harapan...
dunia memang begitu...segersang tanah tidak bertanam,
...sebeku benua tidak berpenghuni,

teruskan anganmu,
mintalah apa yang tak pasti,
biarkan ia bersarang...pasti akan terlerai di suatu masa...

nafasmu pun bukannya lama,
entahkan esok lusa....
entahkan seminit dua....

Monday, 22 February 2010



Untuk sekian kalinya.....dan untuk sekian...dan sekian kalinya..
Aku melihat kedukaan orang2 yg kusayang, aku mendengar rintihan hati yang tidak dapat disuarakan..
Kata-kata sentiasa dapat menyembunyikan perasaan sebenarnya, kekadang senyuman juga mampu menjadi medan lakonan....tapi aku tak mungkin dapat menidakkan kebenaran yg dapat kuselami.
Mampukah aku menukar kedukaan itu dengan secebis kebahagiaan yang kukecapi, cukupkah kekuatan yg kuberi kiranya kedukaan masih mengambil tempat di hati itu...
Benar dan benarlah.....
Hidup ini sakit,hati itu kan mudah rapuh,jiwa itu selalu gundah gelana...hanya kekuatan iman yang mampu merawati, hanya kembali kepadaNya kan mampu memmberi ketenangan..
Akhirnya, (duhai orang2 yg kusayangi),
kasih tulus kusiram atas kedukaanmu,
doa ikhlasku kuiringi bersama langkahmu,
ibarat bulan kalau mampu kuletak atas ribamu,
laksana mentari kalau ingin kuterangi atas kemuramanmu,
tapi semuanya itu mana mungkin manandingi keredhaan Allah atas ujian yang kau tempuhi, mana mungkin menyamai hikmah sabar yang dikurniakanNya kepadamu...
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih
hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya),
jika kamu orang-orang yang beriman" ~ Surah Al-Imran ayat 139