Berhentilah memberi alasan!
A : Bila nak solat ni, azan dah pun dilaungkan.
B : Eh, kejaplah..sikit lagi ni..drama ni dah nak habis, 10 minit pun tak sampai, Kang tengah solat
teringat pulak apa yang jadi kat hero yang tengah kena belasah ni.
A : Jom gi dengar ceramah, tajuknya memang nak kena setepek kat muka - 'Sudahkah bersedia
untuk mati?'
B : Allah...betul ke? Esok kerja pagi, pukul 6 nak kena gerak dah dari rumah. Takut ceramah habis
lambat, balik pun dah lewat, risau melalut pulak tidurnya nanti.
A : Cubalah tutup aurat dengan sempurna, belajar-belajar labuhkan tudung, pelan-pelan pakai stokin,
in shaa Allah lama-lama sempurnalah nanti.
B : Issh...ni dah pakai tudung dah ok apa..cuba banding dengan orang yang langsung togel
je..tengoklah esok-esok bila Allah dah gerakkan hati.
A : Dah la tu, tak payahlah nak panjang-panjangkan cerita pasal orang..mengumpat dah namanya ni,
kang jenuh pulak merangkak nak mintak maaf.
B : Ada pulak mengumpat...ni kebenaran ni, kalau tak betul tak adanya orang nak bercakap. Untuk
pengajaran kita jugak ni.
Inilah antara alasan-alasan yang aku dan kau selalu ucapkan. Alasan yang kadang-kadang kita sendiri kagum bagaimana kita mampu memikirkannya. Kreatif, penuh inovasi - tetapi bebal. Bebal kerana kita lupa kadang-kadang alasan yang kita beri memakan diri sendiri. Dan semestinya bebal kerana kita mencari alasan untuk mengelak dari berbuat kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.
Segala macam drama yang kita nak tonton, awal-awal dah pasang niat nak duduk depan tv sebelum cerita bermula. Siap dengan air limau segelas dengan keropok berbagai perasa. Siap bagi amaran 'do not disturb'. Punyalah kita nak menghadam cerita tu. Tak ada pulak terpasang niat nak bersedia depan sejadah bila masuk waktu solat. Seakan-akannya kita beritahu Sang Pencipta ..'kejap ya Tuhan, Kau kan Maha Pengampun...aku memang nak solat, Kau pun tau niat aku...'. Akhirnya kita pun bersolat. Solat ala-ala mencuri. Curi waktu rukuk, curi waktu sujud...punyalah macam kilat kita nak habiskan solat. Drama satu jam kita boleh hadap, solat 5 minit pun macam lama sangat nak selesaikan.
Bebalkah kita? Betul - bebal.
Nak dengar ceramah yang sekali setahun tu pun kita mengorek alasan. Ustaz mana yang bagi ceramah tu...best ke dia? Tajuk boring tak? Start pukul berapa...lepas isyak? Bila pulak nak habisnya? Seribu satu persoalan yang meligatkan kepala mencari alasan. Dah tu..masa musim bolasepak yang tayangannya pukul 2,3 pagi boleh pulak kita bertoleransi. Tak ada pulak fikir nak kena bangun awal pagi untuk ke pejabat. Sanggup pulak terhengguk-hengguk kat pejabat sebab kononnya tak cukup tidur. Rela bangun pukul 2,3 pagi untuk bolasepak, tak rela pulak untuk bangun mengerjakan tahajjud. 'Suci' benar pengorbanan kita demi melayan minat dan kegilaan pada sesuatu.
Bebalkah kita? Sunguh betul -bebal.
Kita selalu mencari alasan bila tidak mahu (bukan tidak mampu) berbuat sesuatu. Kita selalu merasa cukup dengan kebaikan dan kewajipan yang telah kita laksanakan. Kita yakin kekurangan kita akan diampunkan. Kita akan cuba bandingkan 'kelebihan' kita dengan orang yang kita rasa kurang dari kita. Bila kita terpaksa melihat ada orang lain yang lebih baik dari kita, kita akan cari alasan lain pulak - alah, nampak je bagus tu, entah-entah hati kat dalam macam kerang busuk. Kita terjemahkan ala-ala baik kita itu sebagai cukup murni dan sudah layak untuk digelar mukmin, mukminah sejati dan sudah menempah first class ticket untuk ke jannah.
Bebalkah kita? Sungguh...jawablah sendiri.
Sudah...sudahlah.
Berlapang dadalah dengan teguran, berlembut hatilah dengan nasihat. Berhentilah memberi alasan. Carilah kekuatan untuk melakukan. Tingkatkan amal. Tinggalkan yang mungkar. Perlahan-lahan, sedikit-sedikit. Kita tak perlu berlari, tetapi jangan berhenti. Yakinlah Allah melihat segala usaha kita. Dia sedang menghitung segalanya.